http://pgforward.blogspot.com/
Kenyataan media oleh Ng Wei Aik di Georgetown pada hari Rabu, 22hb Disember 2010: Golongan bukan rakyat Malaysia sebenar adalah pengkhianat bangsa dan negara DAP ingin menegaskan bahawa golongan yang bukan rakyat Malaysia sebenar adalah mereka yang mengkhianati negara dan sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencapai matlamat atau kepentingan sendiri. Sesiapa yang cuba memutarbelitkan ucaptama Y.A.B. Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kebangsaan ke-2 bahawa beliau cuba mempersoalkan dan mempertikaikan kerakyatan mana-mana warga negara merupakan tingkahlaku yang tidak bertanggungjawab sekali dan harus dikecam oleh semua rakyat Malaysia yang sebenar. Lihatlah betapa tamaknya segelintir pemimpin Barisan Nasional yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai kekayaan negara sehingga golongan miskin menjadi semakin miskin dan golongan kaya menjadi semakin kaya. Kekayaan negara semakin dibolosi oleh kroni-kroni Barisan Nasional menyebabkan Malaysia akan menjadi sebuah negara muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Dato' Sri Idris Jala. Lihatlah dengan mata sendiri betapa dashyatnya fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh Utusan Malaysia setiap hari. Adakah taktik-taktik sebegini yang cuba memecahbelahkan rakyat jelata ini selaras dengan 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri selama ini? Adakah kewujudan Utusan Malaysia dapat menyatupadukan rakyat? Akhbar ini bukan lagi akhbar sebenarnya yang bersandarkan fakta dan kebenaran, tetapi akhbar palsu yang hanya ketagih dalam peranannya sebagai kaki fitnah dan tohmah. Saya yakin semua rakyat Malaysia yang sebenar tidak ingin lihat negara kita berkecai dengan adanya golongan yang bukan rakyat Malaysia sebenar yang cuba menjualkan maruah negara. Mereka adalah musuh negara dan juga pengkhianat negara dan lenyaplah harapan kita jikalau mereka dibiarkan terus berkuasa dan bermaharajalela dalam negara ini. Hancurlah masa depan anak kita jikalau golongan yang bukan rakyat sebenar dapat terus mengkhianati rakyat Malaysia yang sebenar tanpa mengambil kira kepentingan dan keadilan untuk semua. DAP ingin menyeru golongan yang bukan rakyat Malaysia sebenar supaya bertakwa kepada Tuhan sebelum terlambat. Golongan yang bukan rakyat Malaysia sebenar harus kembali ke pangkuan jalan yang benar untuk menjadi rakyat Malaysia sebenar yang mahukan kebebasan, kebebasan daripada penyalahgunaan kuasa yang rakus, amalan rasuah dan ancaman atau kebebasan daripada ketakutan. Biarlah kita sama-sama menghayati erti dan maksud rakyat Malaysia yang sebenar. Marilah kita sama-sama mendokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan. Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia! Ng wei Aik, Setiausaha Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar
|