Kenyataan media oleh Thing Siew Shuen, Pegawai Alam Sekitar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Tuan Lim Guan Eng di George Town pada hari Khamis, 23hb Disember 2010: Akhirnya GERAKAN telah menunjukkan siapa sebenarnya mereka dengan menentang inisiatif hijau Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang - 'Hari Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari' yang akan dilancarkan pada tahun depan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan akhirnya telah menunjukkan siapa sebenarnya mereka dengan menentang kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari' yang akan dilancarkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang meskipun objektif inisiatif tersebut adalah supaya generasi akan dapat menikmati masa depan yang lebih mapan dan lestari. Dengan penentangan tersebut, GERAKAN dilihat hanya sebagai sebuah parti yang diibaratkan seperti hilang arah dalam membawa misi utama parti tersebut. Semasa Datuk Dr Teng menjadi EXCO Negeri pun, GERAKAN tidak berani untuk melaksanakan apa-apa dasar hijau, apakah alternatif yang pernah GERAKAN tawarkan, apakah asasnya GERAKAN mempertikaikan inisiatif hijau Kerajaan Negeri? Ketika Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) merancang bukan sahaja untuk mengedar risalah- risalah malah turut mengedar lebih 150 000 beg plastik percuma kepada pengguna, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus menyatakan pendirian kerajaan negeri termasuk mendesak NGO dan kumpulan- kumpulan hijau bersiap sedia melawan kempen daripada MPMA ini. Selepas Ketua Menteri menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa NGO yang langsung tidak hadir dalam menyatakan sokongan terhadap inisiatif kempen hijau ini, Dr Teng berkata sudah sampai masanya kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma ini dikaji semula. Dr Teng juga melancarkankan serangan peribadi ke atas Ketua Menteri dengan menuduh Lim sebagai diktator dan harus bertanggungjawab berikutan tindakan Lim meluluskan kempen larangan beg plastik tersebut. Persoalannya di sini, adakah salah bagi sebuah kerajaan negeri meminta kerjasama daripada NGO dalam memastikan kempen yang sentiasa didesak oleh mereka sebelum ini berjaya dilaksanakan? Dr Teng turut mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri telah melarang sepenuhnya penggunaan beg plastik sehingga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Tuduhan ini sama sekali tidak benar dan disangkal. Ini kerana kerajaan negeri tidak pernah melarang sepenuhnya penggunaan beg plastik. Sebaliknya pengguna yang masih ingin menggunakan beg plastik masih boleh membelinya dengan harga 20 sen untuk setiap satu. Rundingan bersama antara pihak hypermarket, supermarket, kedai serbaneka dan beberapa pihak lain telah diadakan dari masa ke semasa sejak tahun 2009. Keputusan untuk melanjutkan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma ke setiap hari juga adalah satu persefahaman yang dicapai antara pihak yang terlibat dalam mesyuarat. Kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan konsep 3R(Reduce, Reuse and Recycle) betul- betul dipraktiskan dalam kempen ini oleh rakyat Pulau Pinang. Antaranya ialah dengan mengedar beg membeli-belah percuma yang diperbuat daripada kain rentang terpakai. Sejumlah kecil pengguna yang prihatin juga telah memulakan kempen ini. Mereka menyimpan semua beg plastik yang bersih dan kemudianya melipat beg plastik di dalam beg dan menggunakannya semula. Program lain yang kini sedang dalam perancangan ialah memperkenalkan satu tong mengutip bahan untuk kitar semula setiap 100 langkah atau '100 Steps for Cleanliness' di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Sesiapa yang masih ingin menggunakan beg plastik masih boleh berbuat demikian. Tetapi mereka akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen di mana wang tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti - Kemiskinan Negeri Pulau Pinang (RAK). Kerajaan Persekutuan nampaknya cuba mengalihkan perhatian untuk menarik sokongan rakyat dengan membawa pendekatan yang sama di mana kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Hari Sabtu' diperkenalkan bermula Januari 2011. Kerajaan Negeri ingin memperingatkan semua bahawa penjaja dan peniaga-peniaga kecil adalah dikecualikan daripada peraturan baru tersebut. Kami faham bahawa orang awam memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan dasar baru ini. Sesetengah Badan Bukan Kerajaan telah meminta pihak Kerajaan Negeri melarang penggunaan beg plastik sepenuhnya, namun Kerajaan Negeri tidak berbuat demikian kerana kami memahami dan prihatin terhadap kesukaran pengeluar plastik. Kerajaan negeri akan terus menumpukan fokus kepada usaha gigih memastikan kempen ini terus berjaya sungguhpun kami menghadapi risiko kehilangan populariti. Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar dan mengurangkan Kesan Tapak Kaki Karbon (carbon footprint) dan perubahan iklim dengan inisiatif' Hari Tanpa Beg Plastik Percuma' sepanjang tahun mulai 1 Januari 2011. Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berjaya mencapai apa yang Barisan Nasional (BN) ingin tetapi gagal melaksanakan pada masa dahulu. Kini, Dr Teng dan Gerakan diharap dapat terus bersama-sama dengan kerajaan negeri bagi mewujudkan sebuah negeri yang bersih, ceria dan indah demi kesejahteraan dan keselesaan dunia. *Thing Siew Shuen, Pegawai Alam Sekitar kepada Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Tuan Lim Guan Eng
|