red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di George Town pada hari Selasa, 14hb Disember 2010: 

Bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada semua 1,376 guru kafa dan bantuan khas sekolah RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang sebanyak RM6.25 juta adalah daripada sumber kerajaan negeri bukannya kerajaan Persekutuan  

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah sebanyak RM100 kepada semua 1,376 guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah minggu lepas. Pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7, 812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat. Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM 6.25 juta, yang telahpun dibayar kepada 7, 812 juta pada 1 Disember 2010.

Penerimaan RM 800 oleh anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam Persekutuan. Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pianng telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini. Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam. Dan saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi.

Penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri. Sumbangan yang diberikan ini melibatkan 20 Jabatan Negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI);

Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai/kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta. Sekiranya kita mengambilkira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri (BBN) dan agensi negeri, ianya melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta. Bantuan khas ini diberikan kepada semua Pegawai Perkhidmatan Awam di Pentadbiran Negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama/ Gred Khas. Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua. Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional