red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://liewchintong.com 

 

 

Kenyataan Media oleh Liew Chin Tong di Pulau Pinang pada hari Ahad, 7hb Februari 2010:

JASA tidak berjasa

Perkhidmatan Hal Ehwal Khas (JASA), sebuah agensi kerajaan pusat, perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas kenyataan bekas pegawai khas Perdana Menteri Datuk Nasir Safar telah membuat kenyataan berbau perkauman yang memperlekehkan kaum bukan Melayu baru-baru ini.

Ini adalah kerana JASA – sebuah jabatan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Warisan – secara sedar telah menganjurkan majlis “Rapat 1Malaysia” di Melaka di mana Nasir berpeluang membuat kenyataan yang menghina sebahagian besar rakyat Malaysia.

JASA, sebagaimana Biro Tata Negara (BTN) yang juga sebuah agensi kerajaan pusat, telah terlibat dengan usaha-usaha menanam unsur-unsur negatif terhadap hubungan antara kaum serta menabur kebencian terhadap pihak pembangkang.

Sebagai penganjur majlis di Melaka itu, JASA mesti meminta maaf kerana program anjurannya bercanggah dengan slogan perpaduan kaum “1Malaysia” yang dibawakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Walaupun ramai mengetahui tentang BTN, ramai yang masih kurang faham dengan fungsi dan peranan JASA. Sebenarnya JASA adalah salah satu agensi propaganda untuk kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

Walaupun jabatan tersebut hanya mengupah 150 pegawai dan kakitangan kerajaan sepenuh masa, JASA digunakan sebagai saluran bagi kerajaan UMNO dan Barisan Nasional untuk membayar pertugas-pertugas parti-parti kompomen dengan sumber kerajaan termasuk wang cukai rakyat.

Saya pernah bertanyakan bekas Menteri Penerangan Datuk Shaberry Cheek di Parlimen semasa perbahasan Bajet 2009 dan diberitahu bahawa seramai 1,100 orang telah ditakrifkan sebagai “pegawai JASA” yang dibayar gaji oleh kementerian tersebut. Kebanyakan mereka ahli-ahli akar umbi UMNO dan Barisan Nasional.

Melalui Bajet, JASA diperuntukan sebanyak RM 54.86 juta pada tahun 2010 manakala peruntukan pada tahun sebelumnya adalah RM 67.36 juta.

Peruntukan kepada JASA ini hampir sama dengan peruntukan kerajaan kepada Parlimen. Termasuk alaun yang dibayar kepada ahli-ahli parlimen, Parlimen Malaysia hanya diberikan peruntukan RM 66.28 juta untuk tahun ini manakala RM 70.49 juta disediakan untuk tahun lepas. Parlimen mempunyai 263 orang pegawai dan kakitangan tetap.

Ini bererti kerajaan Barisan Nasional menganggap JASA, sebagai alat propaganda, sama penting dengan Parlimen yang merupakan badan perundangan persekutuan dan penggubal undang-undang Negara!

Oleh kerana JASA dan BTN serta agensi-agensi propaganda lain selama ini wujud dengan peruntukan wang cukai rakyat semata-mata untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional serta bersifat anti-pembangkang, semua badan itu perlu dimansuhkan segera.

UMNO dan Barisan Nasional boleh menggunakan sumber-sumber parti, dan bukannya menyalahgunakan wang rakyat, untuk alat propaganda mereka. Jika agensi-agensi itu dikekalkan, akan terus timbul suara-suara perkauman dan anti-perpaduan yang lahir dari budaya pemikiran sempit JASA dan BTN.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Biro Antarabangsa & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional