red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Khamis, 18hb Februari 2010:

Pemuda UMNO tidak faham fungsi sistem demokrasi berparlimen negara komanwel

Demontrasi yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO semalam sekali lagi menunjukkan kejahilan mereka terhadap fungsi system demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara-negara komanwel termasuk Malaysia dan Australia.

Kira-kira seminggu selepas lebih 50 Ahli Parlimen Australia membuat desakan supaya menggugur pertuduhan konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Negeri untuk Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad dan mereka mengatakan bahawa adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pandangan terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry pula mahu perbicaraan itu dijalankan dengan adil dan saksama.

John Kerry meminta kerajaan Malaysia memastikan perbicaraan yang adil dan saksama terhadap Anwar dan menyediakan perlindungan perundangan sewajarnya sebagaimana yang patut diperoleh rakyat mahupun Ahli Parlimen.

Dalam system Demokrasi Berparlimen, Jawatankuasa Kecil atau Jawatankuasa Parlimen (Parliament Select Committee) merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Parlimen dan dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen sendiri yang tidak memegang apa-apa portfolio dan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan atau eksekutif.

Selalunya, jawatankuasa-jawatankuasa ini ditubuhkan berdasarkan isu-isu atau portfolio-portfolio pentadbiran sesebuah kerajaan itu dan berfungsi sebagai satu cabang untuk memantau dasar dan pelaksanaan dasar oleh eksekutif selaras dengan semangat pengasingan kuasa antara legislatif (parlimen), eksekutif (pentadbiran) dan judisiari (kehakiman).

Malahan dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab untuk meneliti sesuatu akta yang dibentangkan oleh eksekutif sebelum ianya diluluskan oleh Parlimen. Oleh itu, dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, adalah tidak ganjil jikalau parlimennya mempunyai berpuluh-puluh jawatankuasa sebegini. Maka berdasarkan prinsip ini juga, Jawatankuasa Pilihan tentang Hal Ehwal Luar Negara juga ditubuhkan oleh Parlimen.

Tugas mereka termasuk menilai dan menegur dasar-dasar luar negeri yang diamalkan oleh kerajaan. Apa yang dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen dari Australia dan Amerika Syarikat ini merupakan tugas mereka sebagai Ahli dan Pengerusi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas / Kecil parlimen mereka tentang hal ehwal luar negeri.

Malangnya, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan mewarisi tradisi parlimen ala-Westminster, Malaysia jarang-jarang menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk memantau hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Apa yang pernah dilakukan oleh Parlimen Malaysia yang berkaitan dengan hal ehawal luar negeri ialah penubuhan Kokus Parlimen Malaysia terhadap Myanmar dengan tujuannya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut politik di Myanmar. Maka adalah tidak tepat jikalau hendak dikatakan bahawa Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di mana dalam kes Myanmar ini, terbukti bahawa Malaysia pernah melakukan sesuatu di peringkat Parlimen terhadap Myanmar.

Adakah ini dituduh sebagai mencampuri hal ehwal sesebuah Negara berdaulat? Jika ya, maka Malaysia juga pernah melakukannya dan tindakan Malaysia menubuhkan Kokus Parlimen Malaysia terhadap Myanmar adalah betul kerana keadaan Myanmar yang tidak stabil telah mengugat kestabilan politik serta ekonomi serantau.

Justeru itu, saya menyeru Pemuda UMNO dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menyertai demonstrasi di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tertinggi Australia ke Malaysia untuk meneliti fakta-fakta sejarah yang saya terangkan di atas agar tidak tertembak sendiri.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional