Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik di George Town pada Isnin, 4hb Januari 2010: Ketua Pengarah Penyiaran harus dipecat! Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim seharusnya memecat Datuk Ibrahim Yahaya dari jawatannya sebagai Ketua Pengarah Penyiaran dan bukan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk melindungi Ibrahim Yahaya daripada berhadapan dengan tindakan undang-undang terhadap sebuah artikel bertajuk “Ada Orang Nak Penjarakan Saya” yang disiarkan dalam blognya iaitu “DuniaTiger” [http://duniatiger.blogspot.com/]. Saya amat terperanjat dengan reaksi Rais Yatim yang sanggup mempertahankan tindakan peribadi Ibrahim Yahaya yang tidak masuk akal serta tidak berasas sekali dan pada masa yang sama, ingin memberi bantuan kerajaan termasuk nasihat undang-undang jikalau Ibrahim Yahaya terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang kelak. Ini menunjukkan bahawa Rais Yatim tidak tahu membezakan apa yang betul dan apa yang salah serta cuba melindungi Ketua Pengarah Penyiaran daripada perlakuan peribadinya. Sebenarnya, blog tersebut merupakan blog peribadi Ibrahim Yahaya yang memuatkan artikel-artikel tulisannya. Dalam artikel tersebut, Ibrahim Yahaya telah mendakwa bahawa beliau telah diugut oleh “seorang yang mengaku bekerja di pejabat Lim Guan Eng”. Namun demikian, kita amat kesal dengan Ibrahim Yahaya yang tidak dapat mendedahkan identiti sebenar orang yang dimaksudkan olehnya. Rais Yatim tidak patut menyalahgunakan jentera kerajaan untuk mempertahankan kenyataan peribadi Ketua Pengarah Penyiaran melalui artikel yang disiarkan dalam blog peribadinya. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Ibrahim Yahaya adalah jelas sekali, di mana kesalahan pertama adalah berbohong bahawa terdapat pihak yang mengugutnya manakala kesalahan kedua adalah berbohong demi memastikan tembelang tidak akan dipecahkan. Adakah kita dapat menerima seorang Ketua Pengarah yang berkuasa terhadap jentera penerangan negara, khasnya Radio dan Televisyen Malaysia membuat sesuatu yang tidak bertanggungjawab sekali? Demi memastikan RTM mengekalkan kredibilitinya dan tidak menjadi alat pembohongan Barisan Nasional, maka Ibrahim Yahaya perlu dipecat dengan serta-merta atas tulisan peribadinya yang mengandungi dakwaan yang cukup serius dan boleh menjejaskan kredibiliti keseluruhan jentera penerangan negara. * Ng Wei Aik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang & ADUN KOMTAR
|