Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada Selasa, 19hb Januari 2010: MB Selangor perlu bertegas dengan YBK – YBK terlibat dalam program partisan UMNO Menteri Besar Selangor berhak untuk bertegas dengan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kerana YBK bukan sahaja tidak telus dalam pentadbirannya berkenaan dengan pemberian oleh kerajaan negeri Selangor tetapi ianya juga kelihatan tidak bebas dan berat sebelah terhadap UMNO dalam menjalankan aktivitinya. Kerajaan negeri Selangor sebelum ini telah meminta YBK mendedahkan maklumat semua bantuan yang telah diterima daripada Kerajaan Negeri semenjak yayasan itu ditubuhkan kerana laporan kewangan yayasan tersebut yang dipaparkan di dalam laman web rasminya tidak memberi maklumat penuh berkenaan harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berkata laporan kewangan yang dipaparkan tidak menyebut tentang tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar), di mana tanah itu adalah antara pemberian yang terbesar nilainya. Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah memohon kepada YBK supaya melantik Dato Menteri Besar Selangor sebagai pengerusi YBK sementara ahli EXCO kebajikan dan dua lagi wakil Kerajaan Negeri dilantik sebagai ahli lembaga penasihat . Namun demikian YBK telah menolak permohonan tersebut. Saya percaya tindakan ini dilakukan kerana YBK telah menerima banyak pemberian daripada kerajaan negeri dan kerajaan negeri Selangor sebagai penyumbang terbesar mempunyai hak untuk memantau operasi YBK supaya ianya menepati sasarannya. Saya percaya kini kerajaan negeri Selangor mempunyai satu sebab untuk berbuat demikian apabila YBK terlibat secara langsung dalam program “Juara Rakyat” yang diadakan oleh UMNO baru-baru ini di Hulu Selangor (Sila rujuk http://www.ybk.org.my/BERITA/2010/20100108-2.html) walaupun YBK tidak menyebut bahawa program itu sebenarnya dianjurkan oleh UMNO. Bagaimanakah YBK dapat berfungsi dengan bebas tanpa gangguan politik daripada UMNO jika ianya hanya mengikut telunjuk UMNO sahaja? Memang menjadi pengetahuan orang ramai bahawa program “Juara Rakyat” ini merupakan program parti UMNO seperti yang diterangkan oleh Ketua Penerangannya Datuk Ahmad Maslan. Malahan Datuk Ahmad Maslan pernah berkata mereka hanya menggunakan sumber-sumber UMNO dan tidak melibatkan sumber-sumber kerajaan persekutuan. Jikalau sedemikian, mengapa pula YBK sebagai sebuah badan NGO pula terlibat dalam program berpartisan ini? Saya berharap YBK memahami konsep ketelusan dan lebih-lebih lagi ianya perlu telus terhadap antara penyumbang terbesarnya – Kerajaan Negeri Selangor dan tidak harus dilihat sebagai memihak kepada UMNO. * Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku
|