red arrow http://dapmalaysia.org 

 

 

Kenyataan Media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada Jumaat, 22hb Januari 2010:

DAP PERAK hari ini mengutuk keras tindakan anasir jahat yang membakar dua buah surau di kawasan Muar, Johor semalam. Tindakan sedemikian disifatkan sebagai perbuatan menjijik dan memalukan imej Negara

DAP mengutuk keras apa bentuk tindakan atau niat untuk merosakkan mana-mana rumah ibadat Agama termasuk Islam kerana ia adalah perbuatan yang merbahaya dan menghantar mesej salah bahawa seolah-olah Negara ini tidak ada undang-undang. Bagaimanapun, semua Rakyat digesa bertenang supaya tidak mengikut irama dan rentak kumpulan ekstremis serta parti perkauman yang cuba menghasut sentimen perkauman dan pertelingkahan antara Agama demi agenda politik mereka yang tersirat .

Kejadian membakar 10 buah Gereja pada tempoh minggu lepas termasuk St Lois Church dan All Saint Church di Taipng telah menjejaskan imej Negara. Jika ia tidak dibendung, ia akan mengakibatkan keparahan kepada pembangunan ekonomi Negara serta usaha untuk cuba menarik pelaburan asing. Tanpa dana pelaburan yang baru, rakyat kita akan kehilangan peluang pekerjaan dan akhirnya akan timbul masalah social yang serius seperti pengangguran dan sebagainya.

Mengikut yang diterbitkan oleh Bank Dunia, pada tahun 2008, Malaysia telah mengalami penguncupan pelaburan asing sebanyak USD 12 billion yang mengalir keluar berbanding dengan pelaburan asing yang mengalir masuk setakat USD 8 billion sahaja.

Pengaliran keluar modal asing berbanding dengan yang masuk telah meningkat setinggi 370% dalam tempoh 2005 hingga 2009. Keadaan ini amat membimbangkan tetapi parti pemerintah masih jumuk dengan mainan perkauman mereka.

Keadaan tenat sedemikian sudah menampakkan impak negatif besar kepada pertumbuhan ekonomi Negara khususnya dengan HUTANG NEGARA kini mencecah angka RM400 billion. Sekiranya isu kalimah ALLAH tidak dikendali dengan bijak dan tenang, ia akan membawa akibat buruk kepada semua pihak dan rakyat jelata akan menerima padah.

DAP berdiri teguh dengan PAKATAN RAKYAT dalam isu kalimah Allah dan bertekad membela keamanan Negara demi kepentingan rakyat.


* Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Perak & Ahli Parlimen Kawasan Taiping

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional