red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blospot.com 

 

 

Kenyataan Media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Sabtu, 30hb Januari 2010:

Khaled Nordin harus tarik balik keputusan pilihanraya UM

Saya membidas komen Menteri Pengajian Tinggi Dato' Khaled Nordin tentang pilihanraya kampus UM di mana keputusannya terpaksa digantung berikutan bantahan keras daripada mahasiswa-mahasiswi terhadap e-voting yang dituduh tidak telus.

Saya menyeru Khaled Nordin supaya jangan memandang remeh bantahan daripada mahasiswa-siswi ini kerana dalam mana-mana pilihanraya, ketelusan merupakan antara kriteria terpenting dalam menentukan kredibiliti keputusan pilihanraya itu.

Dalam isu ini, kita difahamkan bahawa e-voting di pilihanraya kampus UM merupakan satu cara pengundian yang tidak telus.

Pertama sekali, undi melalui e-voting bukan lagi undi rahsia kerana mahasiswa-siswi perlu log-in ke dalam sistem e-voting melalui nombor matriks mereka. Dengan ini, pihak yang berkuasa boleh mengetahui undi yang dibuang mahasiswa-siswi.

Kedua, pemantau pilihanraya dan ejen kira undi calon tidak dapat memantau proses pengiraan undi kerana undi yang dibuang tidak akan dikira dan ianya hanya akan dipaparkan secara elektronik dan ini mengurangkan tahap ketelusan e-voting.

Ketiga, proses pengiraan undi semula tidak dapat dijalankan dengan pelaksanaan e-voting ini apabila berlaku perbezaan undi yang kecil.

Kesemua kekurangan teknikal e-voting ini merupakan tuduhan-tuduhan yang sah dan tidak boleh dipandang remeh.

Saya memahami perasaan mahasiswa-siswi yang berdemonstrasi kerana selama ini pihak pengurusan UM dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah memandang serious terhadap rintihan-rintihan mahasiswa-siswi ini.

Sebagai bekas mahasiswa UM, saya menyeru Khaled untuk menarik balik keputusan pilihanraya UM ini dan mengadakan satu pilihanraya yang adil dan telus melalui cara konvensyenal yang tidak pernah dipertikaikan ketelusannya.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional