red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng di Majlis Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP 2010 pada Sabtu, 9hb Januari 2009: 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghulurkan pinjaman RM10 juta dan bantuan RM1.3 juta untuk kos pentadbiran dan pembekalan kelengkapan kutip sampah kepada MPSP yang menghadapi masalah kewangan besar selepas kehilangan RM230 juta dalam 7 tahun agar dapat mendirikan MPSP yang cekal dan celik  

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Pertama sekali kita perlu bersyukur kepada tuhan kerana diberi kesihatan dan juga kekuatan sehingga dapat berkumpul di Dewan Kenanga, MPSP dalam majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP tahun 2010 - untuk menjalankan satu lagi amanah rakyat.

Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada barisan Ahli-ahli Majlis MPSP bagi tahun 2009 yang lalu, di atas peranan mereka yang cemerlang bersama Tuan YDP dalam mentadbir-urus MPSP. Sesungguhnya pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sangat- sangat saya hargai.

Tidak dilupakan, penghargaan dan terima kasih khusus kepada YB Tuan Chow Kon Yeow sebagai Pengerusi MMK Kerajaan Tempatan dan Lalulintas, dimana MPSP terletak dibawah portfolio beliau.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan;

Saya mengalu-alukan usaha MPSP untuk meningkatkan “system pengurusan kualiti”. Bagi mengekalkan prestasi yang tinggi, kita tidak akan teragak-agak untuk menamatkan tempoh perkhidmatan ahli majlis sekiranya prestasi yang ditunjukkan amat lemah walaupun perkhidmatan belum genap setahun. Saya difahamkan bahawa selama dua hari yang lepas, SIRIM QAS International baru saja selesai menjalankan Surveillance Audit bagi maksud menaiktaraf persijilan ISO iaitu dari MS ISO 9001: 2000 kepada MS ISO 9001 Siri 2008 Ia adalah siri terkini dalam “system pengurusan kualiti” . Dengan persijilan ini, MPSP diiktiraf telah mencapai standard antarabangsa.

Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa. Ini akan menjadikan MPSP sebagai agensi awam yang pertama di Malaysia memperolehi sijil MS ISO 9001 siri 2008.

MPSP tidak harus berhenti setakat itu. Sudah sampai masanya Ahli-ahli Majlis dan pentadbiran MPSP membawa MPSP ke satu imej yang baru. MPSP perlu di jenama semula atau “rebrand” dan mengamalkan cara bekerja yang penuh berintegriti. Bukan “rebrand” setakat luaran sahaja, tetapi “rebrand” yang disertai dengan “transformasi” dalam erti kata sebenar iaitu merangkumi semua aspek pengurusan di semua jabatan dalam MPSP.

Bagi memasti usaha ini dijalankan secara menyeluruh, saya menyarankan agar MPSP menganjurkan pelbagai “sesi perbincangan makmal (Lab)” serta “brainstorming” dengan badan-badan professional, agensi-agensi luar, Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang juga disertai oleh Ahli-ahli Majlis bagi mendapatkan maklumbalas serta rumusan terbaik untuk melaksanakan transformasi berkenaan demi menjamin Service Delivery yang berkesan.

Apa yang lebih penting adalah usaha-usaha “transformasi” dan “rebranding” ini dijalankan sendiri oleh MPSP dan bukan dengan melantik konsultan luar yang dibayar.

Saya berharap ; “Tahun 2010 - Menjadi Tahun Transformasi Kepada MPSP”.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan;

Pengurusan kewangan adalah satu aspek yang paling penting dalam setiap tadbir urus. Saya suka mengingatkan MPSP supaya memberikan tumpuan dan memperkemaskan aspek ini. Saya melihat sememangnya terdapat peningkatan.

Satu dari innovasi dalam pengurusan kewangan yang telah dilaksanakan oleh MPSP adalah menubuhkan Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Pengurangan Kos. Forum ini telah digunakan untuk membincang dan menimbangkan semua cadangan sumber-sumber baru yang boleh menjana pendapatan dan juga mencari kaedah menjimatkan kos.

Ahli-ahli Majlis juga telah diberi mandat untuk sama-sama mengetuai beberapa Task Force bagi menangani isu-isu khusus seperti isu lesen dan penggerai, isu tunggakan hasil, isu papan iklan dan banner, isu penguatkuasaan tempat meletak kereta serta isu isu bengkel dan kilang tanpa kebenaran.

Justeru, usaha-usaha ini perlu diteruskan oleh Ahli-ahli Majlis yang baru dilantik atau dilantik semula dengan penambahbaikan yang seharusnya lebih kreatif dan innovatif.

Hasil dari usaha gigih tuan-tuan pada tahun 2009, kutipan tunggakan hasil telah meningkat sebanyak RM 3.7 juta berbanding tahun 2008 (hasil 2009: RM 14.9 juta & hasil 2008: RM 11.2 juta).

Peningkatan hasil ini disumbangkan dari jualan kupon meletak kereta yang meningkat sebanyak RM 0.2 juta ( kutipan 2009: 1.8 juta & kutipan 2008: 1.6 juta). Hasil dari kompaun kesalahan meletak kereta juga meningkat iaitu sebanyak RM 0.37 juta ( kompaun 2009: RM 0.79 juta & kompaun 2008: RM 0.42 juta). Kutipan sewa pasar dan gerai juga meningkat sebanyak RM 0.8 juta ( kutipan sewa 2009: RM 2.4 juta & kutipan sewa 2008: RM 1.6 juta).

Diatas inisiatif Kerajaan Negeri, bayaran Tipping Fee & transfer station untuk pelupusan sisa pepejal dapat dijimatkan sebanyak RM 4.7 juta ekoran dari kadar baru yang lebih rendah ( anggaran bayaran 2009: RM 15.4 juta berbanding bayaran 2008: RM 20.1 juta).

Saya juga difahamkan bahwa setakat 31 Disember 2009, jumlah keseluruhan pendapatan adalah sebanyak RM 152.85 juta - iaitu peningkatan 4.5 % (pendapatan 2008: RM 146.28 juta). Manakala anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM 150.61 juta - iaitu peningkatan 5.12% ( perbelanjaan 2008: RM 143.27).

Ini bermakna, secara “anggaran awal dan tidak rasmi”, MPSP mempunyai lebihan sebanyak RM 2.24 juta berbanding dengan bajet defecit 2009 sebanyak RM 15 juta. Ini adalah suatu pencapaian baik yang sekurang-kurangnya dapat menukarkan keadaan kerugian kepada keuntungan.

Namun yang demikian, Kerajaan Negeri juga tidak lupa untuk membantu dalam pengurusan kewangan MPSP. Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan kepada MPSP untuk pembelian 5 buah lori “compacter” yang bernilai RM1.3 juta bagi meningkatkan kualiti kebersihan di kawasan Seberang Perai yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Pinjaman Kewangan sebanyak RM 10 million telah disalurkan kepada MPSP untuk membiayai kos pentadbiran kerana MPSP mengalami deficit yang teruk. MPSP telah mengalami kerugian dan deficit sebanyak RM 230 million dalam masa yang singkat, iaitu 7 tahun sahaja. Mereka yang berkuasa pada ketika itu masih enggan menjelaskan atau meminta maaf atas salah laku ini yang tidak bertanggungjawab.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan;

Satu lagi kreativiti dalam pengurusan kewangan yang telah dicuba oleh MPSP untuk mendapatkan tunai adalah dengan menggalakkan bayaran cukai pintu tahun 2010 dibayar awal, mulai 1 disember 2009.

Sedikit insentif telah ditawarkan, iaitu hadiah kupon meletak kereta harian bernilai 10% dari jumlah bayaran atau maximum 50 kupon bernilai RM 150.00. Sambutan dari pembayar cukai sangat menggalakkan dan hasilnya sebanyak RM 9.39 juta telah dapat dikutip mendahului masa sebagai satu langkah untuk menampung keperluan tunai MPSP.

Pemberian kupon meletak kereta tidak merugikan MPSP, sebaliknya secara tidak langsung, ia mendidik orang awam supaya menggunakan kupon meletak kereta.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan;

Keperluan dan harapan rakyat pada masa ini bukan setakat menuntut kemudahan asas yang baik sahaja. Maka peranan Pihak Berkuasa Tempatan juga tidak hanya terkongkong kepada kutipan sampah, pemotongan rumput dan kebersihan parit serta longkang sahaja. Mereka mahukan segala urusan berjalan senang, mudah dan cepat. MPSP tidak ada pilihan melainkan terpaksa menggunakan kemudahan ICT untuk bergerak seiring dengan evolusi teknologi maklumat. “The use of ICT as a service delivery tool is NECESSITY and no more an OPTION”

Saya faham, walau pun ia memerlukan pelaburan dan sukar untuk berbelanja besar dalam situasi kewangan yang belum selesa ini, namun sebahagian bajet perlu disediakan untuk maksud ini.

Saya percaya, MPSP sedang berusaha menggunakan teknologi maklumat sebagai pemudah cara untuk meningkatkan kecekapan (competency). Sistem komunikasi diantara Ahli Majlis dengan pentadbiran MPSP menggunakan SMS adalah sesuatu yang sangat wajar dimenafaatkan sepenuhnya iaitu sebagai tambahan kepada saluran e-mail dan laman web Ahli Majlis.

Yang Berhormat, Dato’-Dato’,Tuan-tuan dan Puan-puan;

Saya berharap semua Ahli-Ahli Majlis yang dilantik dan semua pegawai MPSP akan berganding bahu bekerjasama semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat. Dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab, dasar CAT Kerajaan Negeri mestilah sentiasa dijadikan panduan kepada sebarang keputusan dan tindakan.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah diatas perlantikan Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sebagai Ahli Majlis MPSP. Semoga dengan amanah, keazaman dan kommitmen yang tinggi, kita dapat sama-sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Seberang Perai khususnya dan juga kepada kemakmuran Negeri Pulau Pinang.

Marilah kita bersama-sama dengan kelengkapan fizikal dan sumbangan modal insan menunjukkan sebuah kerajaan tempatan yang disanjung orang ramai – MPSP yang cekal dan celik!

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang; Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional