red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) pada hari Selasa, 13hb Julai 2010:

Ucapan atas perbahasan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor)

Hari ini, Kerajaan Selangor mencipta sejarah sebagai negeri yang pertama yang menggubal undang-undang tentang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor), sekali lagi mendahului Kerajaan Persekutuan dalam menggubal undang-undang yang memupuk semangat Ketelusan, Kecekapan dan Beramanah.

Walaupun begitu, Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 di mana orang ramai tiada akses terhadap sebarang maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di bawah akta ini walaupun sesuatu maklumat itu mempunyai kepentingan awam untuk didedahkan.

Seksyen 6(3) menetapkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan fi terhadap setiap permohonan yang dikemuka. Apa yang membimbangkan saya ialah mungkinkah peruntukan ini disalahguna oleh Pihak berkuasa Negeri mengenakan fi atau bayaran yang terlampau tinggi terhadap sesuatu permohonan yang ringkas dengan tujuan untuk mengelakkan maklumat yang dipohon itu daripada diperolehi oleh orang ramai?

Kita sedia maklum bahawa jika fi yang ditetapkan terlalu tinggi, ianya tidak menggalakkan akses kepada maklumat. Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memperincikan perkara ini supaya ianya tidak disalahgunakan untuk melindungi sesuatu maklumat yang mempunyai kepentingan awam daripada diperolehi orang ramai?

Kedua, jikalau maklumat itu telah dipohon dan diberi kepada pemohon, adakah pemohon berhak untuk menyediakan salinan kepada orang lain atau pihak ketiga? Bolehkan pemohon membuat salinan fotokopi? Adakah tindakan fotokopi ini mencabuli hak cetak pemilik asalnya, iaitu kerajaan negeri?

Ketiga, walaupun enakmen ini hanya dikuatkuasakan terhadap jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri, adakah ianya termasuk agensi-agensi dan badan-badan berkanun yang beroperasi di bawah kerajaan negeri juga? Bagaimana dengan jabatan kerajaan yang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya?

Keempat, di bawah enakmen ini, berapa ramai Pegawai Maklumat yang akan dilantik? Adakah Pegawai Maklumat tertakluk kepada apa-apa bentuk semakan? Jika tidak, saya meminta supaya Pegawai Maklumat ini bertanggungjawab kepada EXCO dan EXCO perlu membentangkan satu laporan tahunan ke Dewan yang Mulia ini setiap tahun berhubungan dengan kerja ini.

Kelima, adakah enakmen ini mempunyai kesan retrospektif? Kita juga sedia maklum bahawa terdapat dokumen-dokumen dan perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan syarikat swasta yang mengandungi klausa-klausa tertentu untuk melindungi kandungan perjanjian didedah atau diberi kepada orang ramai, contohnya Perjanjian Konsesi Air di antara Syabas, kerajaan negeri malahan kerajaan persekutuan. Apa akan berlaku kepada perjanjian atau dokumen ini?

Saya berharap Exco dan Jawatankuasa Pilihan yang akan ditubuhkan untuk meneliti enakmen ini wajar meneliti masalah-masalah yang dibangkitkan saya tadi.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional