red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng di Majlis Penutupan Ulangtahun Kedua George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO di Georgetown pada hari Rabu, 7hb Julai 2010: 

Merayu peruntukan adil RM 25 juta seperti RM30 juta kepada Melaka daripada Kerajaan Persekutuan sempena Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia George Town UNESCO dan bukannya 1.6% sekarang 

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada T.Y.T. Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama meraikan ulangtahun kedua George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang dinobatkan oleh UNESCO hari ini.

Hari ini merupakan peluang kepada masyarakat umum untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepelbagaian warisan dunia dan usaha yang diperlukan bagi melindungi, memelihara dan mempromosikan aspek warisan ketara dan tidak ketara bandar George Town. Di samping itu, kerjasama antara masyarakat madani, piahk swasta, pakar-pakar tempatan dan antarabangsa di dalam bidang pemuliharaan warisan adalah wajib khususnya berhubung sumbangan idea tindakan yang cekap serta berkesan pada aspek kos perbelanjaan seiring dengan konsep PPP- Public Private Partnership.

Bagi membolehkan Kerajaan Negeri terus menjalankan tugas pemeliharaan warsian suatu enakmen warisan baru perlu digubal yang memberikan kuasa kepada pihak Kerajaan negeri dan PBT mewartakan tapak warisan di negeri ini serta satu Tabung Warisan ditubuhkan dengan sumbangan dari semua pihak termasuk peringkat antarabangsa dapat disempurnakan pada tahun depan. Di sini saya melahirkan harapan bahawa pihak Kerajaan Persekutuan boleh bersama-sama menjaga lambang kebanggaan warisan ini.

Kini, adalah penting dan menjadi kewajipan kita untuk bersama menguruskan Tapak Warisan Dunia mengikut piawaian antarabangsa. Itulah sebabnya sekali lagi di depan TYT Tun, bagi pihak kerajaan negeri merayu peruntukan adil RM 25 juta seperti RM 30 juta kepada Melaka daripada kerajaan persekutuan sempena pengiktirafan Tapak Warisan Dunia George Town UNESCO dan bukannya 1.6% sekarang. Peruntukan penyelenggaran yang diterima oleh negeri Pulau Pinang amatlah kecil, cuma RM 35,880 untuk 4 tahun bagi 4 projek iaitu 1.55% dari jumlah keseluruhan RM 2,304,474.00. Sementara pada masa yang sama, negeri Melaka pula memperolehi RM 1,005,954 bagi 62 projek iaitu sebanyak 43.65%.(lihat rajah di bawah)

Jumlah perbelanjaaan bagi penyelenggaraan Tapak Warisan Negara yang telah ditanggung oleh Jabatan Warisan Negara bagi tahun 2006 hingga 2010 adalah RM 2,304,474.00 bagi 178 projek menurut sumber Jabatan Warisan Negara pada 7 Mei 2010. Terdapat 9 buah negeri yang memperolehi peruntukan penyelenggaraan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan dan Pulau Pinang adalah kedua rendah sekali.

Bilangan tapak Pulau Pinang adalah 2 kali ganda negeri Melaka, namun telah mendapat 43 kali ganda peruntukan. Kesimpulannya jelas memperlihatkan bahawa Pulau Pinang dianaktirikan sungguhpu disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Walaubagaimanapun kerajaan negeri akan cuba mencari sumber kewangan lain yang dinafikan oleh kerajaan Persekutuan demi mengekalkan status antarabangsa itu.

PERUNTUKAN PENYELENGGARAAN TAPAK WARISAN NEGARA

TAHUN NEGERI BIL. PROJEK JUMLAH PERUNTUKAN
2006 Melaka 5 96,230.00
Jumlah 2006     96,230.00
2007 Kedah 2 17,880.00
Pulau Pinang 1 6,000.00
Johor 1 9,960.00
Pahang 2 18,000.00
Perak 4 97,640.00
Terengganu 2 22,200.00
Negeri Sembilan 5 67,900.00
Melaka 15 228,280.00
Jumlah 2007 467,860.00
2008 Kedah 2 24,960.00
Pulau Pinang 1 9,960.00
Johor 1 9,960.00
Pahang 4 19,560.00
Perak 17 99,720.00
Terengganu 3 39,600.00
Negeri Sembilan 4 143,220.00
Melaka 14 227,148.00
Kelantan 1 6,000.00
Jumlah 2008 580,128.00
2009 Kedah 2 24,960.00
Pulau Pinang 1 9,960.00
Johor 1 9,960.00
Pahang 4 19,560.00
Perak 17 99,720.00
Terengganu 3 39,600.00
Negeri Sembilan 4 143,220.00
Melaka 14 227,148.00
Kelantan 1 6,000.00
Jumlah 2009 580,128.00
2010 Kedah 2 24,960.00
Pulau Pinang 1 9,960.00
Johor 1 9,960.00
Pahang 4 19,560.00
Perak 17 99,720.00
Terengganu 3 39,600.00
Negeri Sembilan 4 143,220.00
Melaka 14 227,148.00
Kelantan 1 6,000.00
Jumlah 2010 580,128.00

Sumber: Jabatan Warisan Negara, 7 Mei 2010

Sambutan 'George Town Festival 2010' dan "The Unforgettable George Town 7 Julai" juga dilihat sebagai pemangkin untuk meningkatkan kesedaran dan keperihatinan orang ramai dalam seni dan untuk menambah pengetahuan orang ramai tentang kepelbagaian warisan kita. Saya berharap dengan sambutan 'George Town Festival 2010' ini, Negeri Pulau Pinang akan terus melangkah ke hadapan untuk menanda araskan dan penjenamaan di arena antarabangsa.

Akhir kata, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Wong Hon Wai, George Town World Heritage Incorporated ( GTWHI ), MPPP, Penang Global Tourism ( PTG ), Encik Joe Sidek sebagai " Festival Director" dan seluruh rakyat Pulau Pinang yang turut serta bagi menjayakan sambutan ulangtahun kedua George Town sebagai Tapak warisan Dunia UNESCO.

Sekian, terima kasih.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional