red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://holeng.dapsarawak.com/ 

 

 

Ucapan oleh Wong Ho Leng semasa menyertai perbahasan ke atas Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 14hbJun 2010:

Ucapan atas Rancangan Malaysia Kesepuluh

Terima kasih YB Yang DiPertua kerana memberikan peluang kepada saya mengambil bahagian dalam perbahasan RMK10 ini.

1. Rasuah di Malaysia/Sarawak

RMK10 akan memetakan pembangunan negara kita untuk 5 tahun yang akan datang. Statistik kejadian rasuah bagi 10 tahun yang lalu menunjukkan usaha-usaha untuk memerangi rasuah telah gagal dengan teruk. Gejala rasuah semakin serius dan berleluasa.

Jika rasuah tidak dikawal, Malaysia akan muflis pada tahun 2019, bukan kerana subsidi tetapi rasuah.

Hakikatnya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah jatuh dari 47 pada tahun 2008 ke 56 pada tahun 2009. Ini membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan di bawah Najib juga gagal dalam usaha memerangi rasuah.

Contoh kes Rasuah banyak, seperti skandal PKFZ, enjin jet yang hilang dan dijumpai di Uruguay; kapal selam yang tidak dapat menyelam yang dibeli daripada Perancis; 60% daripada tabung pembangunan yang telah lesap dan tidak disalurkan kepada kumpulan sasaran; dan banyak lagi. Sudah tentunya, rakyat Malaysia akan bersetuju bahawa negara ini memang berada dalam senario "burning platform".

Apabila tiada seekor pun "ikan besar" berkaitan dengan skandal PKFZ ditahan, maka "ikan besar" dalam kes-kes rasuah di Sarawak turut akan terlepas.

Taib Mahmud merupakan Ketua Menteri yang berkhidmat paling lama di Malaysia. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 1981 dan beliau masih Ketua Menteri pada tahun 2010, iaitu selama 29 tahun.

Kebanyakan kes-kes rasuah di Sarawak boleh dikaitkan dengan projek-projek yang diberi kepada syarikat syarikat ahli-ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak.

"Politik pembangunan" ala Taib adalah "politik diskriminasi, nepotisme dan rasuah".

Dasar kerajaan dalam isu tanah dan tanah NCR, dan juga dasar pemberian konsesi kayu balak dan kontrak-kontrak kerajaan semuanya tidak memihak kepada keperluan dan kepentingan rakyat. Selain daripada ahli-ahli keluarga Ketua Menteri, ramai pemimpin SUPP yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Ketua Menteri juga menjadi sangat kaya.

Banyak masalah yang dihadapi oleh Sarawak boleh dikatakan disebabkan oleh kuasa mutlak yang tertumpu pada seorang Ketua Menteri untuk tempoh yang terlalu lama.

Ketiga-tiga kementerian yang paling berkuasa di Sarawak ialah:

  • Pejabat Ketua Menteri

  • Kementerian Kewangan

  • Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber

Ketiga-tiga kementerian ini diketuai oleh satu orang -- Taib Mahmud.

Dalam Bajet Negeri 2009, daripada Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure) Kerajaan Sarawak sebanyak RM1,189.6 juta, RM590.2 juta (49.6%) diperuntukkan kepada ketiga-tiga kementerian yang diketuai oleh Ketua Menteri. Yang tertinggal hanya RM599.4 juta (50.4%) untuk dikongsi oleh 10 kementerian yang lain.

Penumpuan kuasa dan sumber dana dalam tangan satu individu adalah tidak sihat dan tidak berpatutan demi pembangunan demokrasi di Sarawak. Memetik kata-kata seorang ahli sejarah dan moralis yang terkenal, Lord Acton: "Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely." (Kekuasaan itu cenderung korup, dan kekuasaan mutlak korup secara mutlak.)

DAP dan Pakatan Rakyat memperjuangkan urus tadbir yang baik. Rekod urus tadbir di bawah Taib Mahmud dan BN adalah sangat buruk. Syarikat-syarikat keluarga Taib menguasai kebanyakan kontrak dan kegiatan perniagaan yang memberi keuntungan lumayan kepada mereka, manakala rakyat dan peniaga-peniaga kecil menghadapi beban kehidupan yang sangat sukar.

Tiga syarikat yang telah meraih keuntungan yang tinggi ialah:

  • Kumpulan Syarikat-syarikat CMS

  • Naim Cendara Sdn Bhd

  • Titanium Management Sdn Bhd

MACC tidak patut pilih kasih; ia seharusnya menyiasat semua yang disyaki terlibat dalam rasuah termasuklah pemberian kontrak kerajaan pusat dan negeri di Sarawak.

2. Isu-Isu Banjir

Banjir sentiasa berlaku di Sarawak. Ahli-ahli politik telah bercakap tentang isu ini bertahun-tahun tetapi nampaknya kerajaan persekutuan tidak mengambil serius masalah ini.

Kami diberitahu bahawa 2 projek utama telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 di kawasan Kuching. Projek-projek ini ialah "Kuching Flood Mitigation Project" dan "Bau Town Mitigation Project". Di Sibu pula, ada "Sibu Flood Mitigation Project". Di Bintulu, BN telah mengenal pasti pelbagai kerja-kerja pulih-baik sistem saliran untuk Sungai Plan Besar dan Sungai Sebiew Catchment. Di Miri, BN berkata bahawa terdapat "Miri Town Drainage Master Plan Study".

Setakat mana projek-projek pengurangan bencana banjir ini berjaya? Rancangan Malaysia ke-9 telah berakhir, dan kami langsung tidak nampak kesan pengurangan banjir di bandar-bandar utama di Sarawak.

Bagi 15 tahun yang lalu, banjir kerap berlaku di Sibu. Sebab utama Sibu mengalami banjir ialah bahagian sungai yang tersendat (bottleneck) dan pengelodakan di sepanjang dasar Sungai Rejang, yang disebabkan oleh kegiatan pembalakan sembarangan di hulu sungai sejak tahun 1980-an.

Di tempat-tempat tertentu di tengah sungai yang pernah saya ukurkan, Sungai Rejang hanya sedalam 6 1/2 kaki.

Cara penyelesaian yang paling praktikal untuk mengatasi banjir di Sibu ialah melebarkan bahagian sendat dan mengorek dasar sungai bagi mendalamkannya.

Masalah banjir telah mengakibatkan kerugian harta berjuta-juta ringgit di Sibu setiap tahun.

Walaupun penduduk Sibu sering merayu kepada kerajaan supaya meluluskan kerja-kerja mengorek dasar sungai Rejang dan melebarkan bahagian sendat, tetapi kerajaan telah mati-matian tidak mempedulikan rakyat Sibu.

Berdasarkan data pada tahun 2001, jumlah kelodak yang mengalir dari hulu sungai Batang Rejang dan cabang-cabangnya lebih kurang 60 juta metric tan/tahun. Tetapi, berdasarkan data Bahagian Tanah Dan Ukur, jumlah pasir yang diekstrak daripada Batang Rejang dan Batang Igan dari tahun 2002 hingga Mac 2008 hanya berjumlah 3.085 juta metrik tan. Amat jelasnya banjir di Sibu disebabkan oleh pengelodakan.

Kerajaan BN telah mencadangkan supaya membina permatang atau benteng dengan meninggikan paras jalan raya di Sibu. Walau bagaimanapun, apakah gunanya meninggikan paras jalan raya apabila air terus membanjiri rumah-rumah yang berada pada paras yang lebih rendah?

Jika sungai ini tersekat dan tidak mengalir dengan sempurnya kerana pengelodakan, maka cara penyelesaiannya ialah dengan mengorek sungai. Jika arteri jatun tersekat dalam seseorang, maka cara penyelesaiannya ialah menjalankan angioplasti sebelum dia mati.

Sungai Rejang sudah "jatuh sakit", tetapi ia ialah "talian hayat" (lifeline) bagi penduduk Sibu. Kerajaan harus menyelamatkannya dari ambang maut.

Bolehkah kerajaan pusat menjelaskan sebab mengapa pelan pengurangan banjir untuk Sibu tidak termasuk kerja-kerja pengorekan Sungai Rejang?

Kontraktor-kontraktor dan pemaju-pemaju boleh mengorek pasir dari dasar Sungai Rejang untuk kegunaan pembangunan perumahan - pasir merupakan bahan yang penting, maka harga perumahan akan jatuh. Ini ialah suatu keadaan "menang-menang" (win-win situation).

Sekarang baru saya dapat tahu bahawa RM300 juta untuk pengurangan banjir diperuntukkan di bawah RMK9. Ada kalanya jumlah yang disebut adalah sebanyak RM400 juta. Pemimpin BN juga pernah sebut jumlah itu hanya RM237 juta. Mengapakah terdapat perubahan dalam angka tersebut?

3. Peluang Pekerjaan

Dalam ms. 13, RMK10, ia berbunyi:

"We need to leverage not only on Malaysians in the country but also those outside. The Government will establish a Talent Corporation, which will have as one of its key functions, the task of actively sourcing top talent including among the Malaysian diaspora."

Ramai pekerja profesional dan bukan profesional dari semua kaum meninggalkan negara ini kerana kekurangan peluang pekerjaan, rasuah, kekurangan demokrasi dan dasar-dasar BN yang tidak adil.

Penghijrahan cendekiawan menghalang pelaburan di Malaysia dan mengurangkan daya persaingan sedunia.

Jika negara ini terus mengamalkan rasuah, jika negara ini tidak memberi harapan kepada rakyat, dan jika tiada peluang pekerjaan yang sama tanpa mengira kaum dan agama, maka Talent Corporation akan gagal menarik rakyat Malaysia yang berbakat kembali ke negara kita.

Punca masalah ini mesti diatasi. Kita mesti memastikan bahawa mereka tidak akan meninggalkan negara ini, dan bukannya meminta mereka kembali ke negara ini.

Seorang pelayar Internet menulis blog pada 24/12/2009:

"A higher salary overseas is undeniably a factor in Malaysians who choose to stay abroad upon graduating but for a lot of people, it is hardly the main factor. Many of us have families and friends back home and would gladly accept less pay to be at home if it wasn't for the overtly discriminatory policies which have remained unchanged and probably will continue on in the forseeable future. I am a fresh medical graduate working in the UK and I will openly admit that under today's circumstances I would not consider working back home even if the salary is similar or higher, even. Besides, if I'm going to be treated as a foreigner in my own country why not be a foreigner elsewhere and earn better pay while at it?"

Ini bukan pilihan kita untuk menarikbalik bakat asing. Kita ada kira-kira 100,000 siswazah yang tidak ada pekerjaan. Apakah kita akan buat dengan mereka?

Di bawah kerajaan BN, terdapat kekurangan peluang pekerjaan yang amat teruk di Sibu. Pemuda-pemudi (semua kaum biarpun orang Cina, Melayu, Melanau dan Iban) mencari tempat pekerjaan yang lebih menguntungkan di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Singapura.

Saya setuju bahawa kerajaan mesti berubah untuk mengubah Malaysia (ms. 65, RMK10). Saya percaya bahawa rakyat boleh membuat perubahan melalui Pakatan Rakyat. Hanya Pakatan Rakyat yang mengamalkan pentadbiran "Cekap, Akauntabiliti dan Telus" (CAT). Negara kita hanya boleh memupuk, menarik dan mengekalkan bakat melalui pentadbiran CAT.

4. Pendidikan - Universiti

Untuk mana-mana masyarakat terus membangun, kerajaannya mesti menjaga kepentingan generasi akan datang. Pelaburan bijak harus dilakukan ke atas bidang pendidikan, khasnya pendidikan tertiary.

Di bawah RMK10, kerajaan merancang untuk membangunkan institusi-institusi pendidikan berkelas dunia, terutamanya universiti (ms. 81, RMK10).

Akan tetapi, bagaimanakah Sibu dapat menikmati faedah RMK10 ini jika ia tidak mempunyai universiti?

Bintulu ada satu kampus cawangan universiti. Mukah mempunyai kampus cawangan. Miri dan Kuching ada kampus universiti. Sibu tidak mempunyai sebarang universiti walaupun SUPP telah berjanji sejak 1996.

Dalam pilihanraya Parlimen 2008, SUPP berjanji Kolej TAR akan dibina di Bintangor jika calonnya menang di Sarikei. Walau bagaimanapun, janji ini tidak diakui oleh SUPP.

Pada tahun 2001, SUPP berjanji untuk memperkenalkan University of South Australia (UNISA). Tetapi janji ini sekali lagi menjadi suatu pembohongan.

Ini hanya menunjukkan bahawa SUPP/BN tidak boleh dipercayai apabila ia membuat janji.

Dalam pilihan raya kecil Sibu yang lepas, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kolej Laila Taib akan dinaiktarafkan menjadi sebuah universiti pada tahun 2012.

Akan tetapi, bagaimanakah ia boleh menjadi sebuah universiti yang bagus dan berkelas dunia jika ia dinaiktarafkan dari sebuah kolej kepada sebuah universiti demi pilihan raya kecil?

Saya menyeru supaya sebuah universiti lengkap dibina di Sibu. Ia mesti cukup berkualiti untuk memenuhi keperluan Sibu.

Kaum ibubapa Sibu faham bahawa mereka perlu melabur untuk pendidikan anak mereka. Mereka tiada pilihan dan terpaksa menghantar anak mereka belajar di luar Sibu kerana tiada universiti di Sibu.

Masalahnya hanya 5% siswazah kembali ke Sibu. Terdapat penghijrahan cendekiawan yang genting di Sibu. Anak-anak tidak kembali kerana di bawah BN, Sibu tidak memberi sebarang harapan. Ibu bapa tidak dapat berjumpa dengan anak mereka kerana anak mereka tidak kembali. Sibu ialah suatu "burning platform". Inilah sebabnya pengundi Sibu mempunyai hasrat yang "membara" untuk mengundi "perubahan". Inilah sebabnya kita memerlukan Pakatan Rakyat.

5. Royalti Petroleum

Sabah dan Sarawak sepatutnya sama-sama menikmati hasil pendapatan tinggi negara.

Satu isu yang sering mendapat perhatian rapi rakyat Sarawak dan Sabah adalah isu royalti petroleum.

Mengikut perjanjian yang dicapai dalam tahun 1976, Sarawak dan Sabah hanya diberikan 5% royalti petroleum sebagai pertukaran hak eksploitasi di Sarawak dan Sabah.

5% royalti petroleum adalah tidak adil. Ianya terlalu rendah untuk kedua-dua negeri ini.

Dalam mukasurat 216 Memoirnya, "A Life Twice Lived", mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Yong yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, menulis:

"Negotiation on Oil and Gas

"Sarawak's relationship with the Federal government was fairly good, but there were conflicting views on the State's ownership of the extensive gas and oil reserves which are found on the continental shelf, off the coast of Sarawak. We, in Sarawak, maintained that all rights should belong to the State, but the Federal government, for obvious reasons, had a different view. We put up a strong representation to the extent of referring the issue to the Court and obtaining Queen Counsel's opinion. The matter was partially resolved by the proposal to share the royalty from oil and gas extracted and to establish a National Petroleum Corporation in which Sarawak was to be given a certain share. However, the vital question remained as to what exactly Sarawak's share of the royalty would be. Abdul Rahman Yakub and I had numerous meetings with the Prime Minister, Tun Abdul Razak, the Finance Minister, Tun Tan Siew Sin and other officials, but with little progress.

"During our negotiations our position on royalty was severely weakened when the Federal government somehow managed to get Tun Mustapha Harun, the Chief Minister of Sabah, to agree to a paltry 5% as royalty for Sabah's oil and gas extracted. How could he agree to such ludicrous terms on behalf of the State? The Prime Minister, Tun Razak, then appealed to Sarawak to follow suit on the ground of national interest. He maintained that the Malaysian Royal Navy would have to bear the expenses of safeguarding the continental shelf. We reluctantly accepted the terms. But to many Sarawakians, this inequitable arrangement amounted to a give-away of our precious natural resources."

Kerajaan Sarawak mendakwa bahawa mereka telah berkali-kali meminta supaya kerajaan persekutuan mengkaji semula kadar 5% itu.

Ini bermakna Kerajaan BN yang memerintah di Sarawak juga bersetuju bahawa kadar 5% adalah terlalu rendah. Tetapi mengapakah kerajaan persekutuan enggan mengkaji kadar tersebut sungguhpun kadar 5% telah digunapakai selama 30 tahun lamanya?

Memandangkan hakikat bahawa Sabah dan Sarawak masih mundur secara perbandingan, kerajaan persekutuan sememangnya harus menambahkah kadar royalty petroleum dari 5% menjadi 20%.

Sekiranya Pakatan Rakyat menang kuasa dalam pilihanraya persekutuan, kami akan memberikan 20% royalti petroleum kepada rakyat Sarawak dan Sabah.

Sabah merupakan negeri paling miskin di Malaysia. Rakyat Sabah bukan sahaja tidak berpeluang menikmati hasil kekayaan petroleum negeri, malah menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik yang menjadi-jadi.

Sarawak merupakan negeri ke-empat paling miskin di Malaysia. Kami tidak akan menjadi begitu miskin sekiranya kerajaan persekutuan melayan kami dengan adil.

Perdana Menteri berkali-kali berkata bahawa Sarawak dan Sabah merupakan dua negeri "simpanan tetap" BN. Adalah Kerajaan BN melayan Sarawak dan Sabah setara dengan sumbangan kami?

Kekayaan petroleum dari Sabah dan Sarawak telah dihisap dan dihabiskan untuk membina Twin Tower and Putrajaya.

Tahun lepas, kerajaan menyerahkan kawasan yang kaya dengan petroleum di Blok L dan M kepada Brunei. Kerugian yang dihadapi Malaysia berjumlah RM320 bilion. Sarawak rugi kerana tidak lagi mendapat pendapatan dari Blok L dan M ini.

Rakyat Sarawak berhak diberitahu mengapakah kedaulatan negeri kami dikompromikan dan resab petroleum kami diserahkan kepada Brunei? Mengapakah kerajaan dan rakyat Sarawak tidak dirunding dalam hal ini?

6. Sarawak merupakan "koloni" yang terbiar

In 1963, Sabah and Sarawak joined to form Malaysia as equal partners.

James Wong Kim Min, bekas Menteri di Sarawak yang memainkan peranan penting dalam proses pembentukan negara Malaysia berkata dalam mukasurat 11 "The Birth of Malaysia":

"I would like to repeat and emphasise again, that Malaysia is a Nation formed of equal partners, Sarawak did not join; but Sarawak formed Malaysia together with Malaya, Sabah and Singapore.

"Malaysians are all equal under the Law and Constitution, irrespective of Race, Colour or Creed. There should not be distinction or discrimination. The rights of each component State are inviolable and inscribed in the IGC and London Agreements".

Banyak perubahan telah berlaku sejak tahun 1963. Sarawak dan Sabah telah menjadi "koloni-koloni" Semenanjung Malaysia. Tiada kesamaan walaupun terdapat Perjanjian-perjanjian IGC dan London. Tiada kesamaan walau di bawah naungan konsep "1Malaysia".

Tahap infrastruktur di Sabah dan Sarawak ketinggalan sekurang-kurangnya 20 tahun berbanding dengan Semenanjung Malaysia, dan tidak pernah dibangun bersama-sama dengan Semenanjung.

Kerajaan persekutuan telah mengecewakan Sabah dan Sarawak. Perdana Menteri tidak menganggap Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi bersama, tetapi menganggap Sabah dan Sarawak sebagai "simpanan tetap" BN.

Sebelum "buy-election" pada 16 Mei 2010, Sibu telah diabaikan oleh BN. Sejak kali terakhir kerusi Sibu dimenangi oleh DAP pada tahun 1986. memang tiada perubahan yang bermakna di Sibu. Projek-projek kerajaan pusat hanya segelintir sahaja. Pembangunan industri juga tidak banyak. Peluang pekerjaan di Sibu juga kurang. Di bawah BN selama ini, memangnya Sibu bukan merupakan sesebuah bandar yang memberi harapan, terutamanya kepada golongan muda.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk bercakap bagi pihak penduduk Sibu, dan Sarawak.

Memandangkan Laporan IGC dan Perjanjian Malaysia, memandangkan kemunduran Sabah dan Sarawak, penduduk Sabah dan Sarawak patut meminta Kerajaan Pusat supaya memberi lebih perhatian kepada keperluan mereka di bawah Model Ekonomi Baru dan RMK10.

Sarawak ialah sebuah negeri yang kaya. Sarawak, dengan tanahnya yang paling luas di Malaysia, mempunyai banyak sumber alam seperti kayu balak, tanah, kelapa sawit, emas, minyak dan gas.

Akan tetapi, Sarawak ialah negeri yang keempat termiskin di Malaysia. Rakyatnya menderita kerana gaji yang rendah, kurang peluang pekerjaan dan peluang perniagaan pula dibolot oleh segelintir individu.

Lebih daripada 300,000 orang muda Sarawak bekerja di Semenanjung Malaysia dan Singapura kerana tiada pekerjaan untuk mereka di tanah air mereka.

Tiada satu pun lebuhraya di Sarawak. Sehingga hari ini, tiada jalan raya ke Kapit atau Bario. Tahun lalu, kebuluran hampir berlaku di Bario kerana bantuan keperluan tidak dapat disalurkan kepada penduduk di situ. Kebanyakan jalan raya di Sarawak dalam keadaan buruk, terutamanya di Sibu. Bagi mereka yang datang ke Sibu untuk berkempen, kamu akan dialu-alukan oleh jalan raya yang terbaik di Sibu dari Lapangan Terbang Sibu ke hotel, di mana kamu berpeluang "menari" sepanjang perjalanan ke hotel.

Hakikatnya, Perdana Menteri melawat Sarawak hanya kerana pilihan raya negeri sudah hampir. Beliau datang ke Sarawak dengan bersungguh-sungguh demi pilihan raya kecil Sibu. Beliau memberi RM13 juta kepada sekolah-sekolah rendah Cina dan missionary schools dan RM5 juta kepada sekolah-sekolah menengah swasta beberapa hari semasa kempen pilihan raya kecil. Sehari sebelum hari pengundian, beliau berjanji untuk memberi RM5 juta untuk menyelesaikan masalah banjir di Rejang Park, Sibu, jika calon BN menang.

Saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana mengeluarkan kata-kata yang kini telah menjadi bahan Internet yang sangat terkenal di seluruh dunia, apabila beliau membuat perjanjian dengan pengundi di Rejang Park: "Can we have a deal? You help me, and I help you".

Mujurnya, penduduk Rejang Park telah membuat keputusan yang baik dengan menolak kata-kata manis BN.

Saya ingin berkata, apabila Perdana Menteri menggunakan taktik memancing undi ini di Rejang Park pada 15hb Mei 2010, beliau sedar bahawa RM5 juta diperlukan untuk membangun Rejang Park dan meninggikan taraf hidup di sana. Wang ini memang diperlukan untuk menyelesaikan masalah banjir di sana. Sepatutnya, penduduk Rejang Park dan Sibu berhak mendapat RM5 juta tersebut walau apapun keputusan pilihan raya kecil Sibu.

Terima kasih.


* Wong Ho Leng , Pengerusi DAP Negeri Sarawak & Ahli Parlimen Sibu

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional