red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://liewchintong.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Liew Chin Tong di Georgetown pada hari Jumaat, 18hb Jun 2010:

Kos Jambatan Kedua ¨C Jawapan Parlimen Perdana Menteri tidak benar

Adalah dikesali bahawa jawapan Parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada saya berkenaan kos pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah tidak benar.

Saya telah meminta Perdana Menteri menyatakan sebab jumlah kos pembinaan telah dinaikkan kepada RM 4.5 bilion dan adakah jumlah ini termasuk kos membina "casting yard".

Perdana Menteri menjawab bahawa "kos pembinaan projek adalah tidak berubah dan kekal sebanyak RM4,500 juta. Kos tersebut juga termasuk kos membina 'casting yard' oleh kedua-dua kontraktor iaitu CHEC Construction (M) Sdn Bhd dan UEM Builders Berhad."

Maklumat ini tidak benar kerana kos yang disebutkan selama ini dalam media massa dan juga di kalangan Kerajaan adalah RM4.3 billion dan kos pembinaan 'casting yard' tidak patut dimasuk ke dalam kos keseluruhan.

Isu kos pembinaan amat penting memandangkan pengguna jalan raya Pulau Pinang pada masa akan datang terpaksa menanggung kos ini dengan kadar tol yang tinggi. Contohnya, menurut Perdana Menteri, kadar tol untuk kereta peribadi yang menggunakan Jambatan Pertama dan Kedua akan diselaraskan kepada RM9.40 dalam masa tiga tahun lagi berbanding kadar selarang iaitu RM7, selepas pembinaan Jambatan Kedua.

Dalam Ucapan Penangguhan Dewan Rakyat pada 17 Jun 2009, saya merujuk kepada satu laporan bertajuk "Proposed Penang Second Bridge Crossing Independent Review: Costing Review" oleh firma perunding Zaidun-Leeng S/B yang mencadangkan bahawa harga yang wajar atau "fair price" untuk Jambatan Kedua adalah RM 4.3 bilion.

Laporan tersebut disediakan pada bulan Julai 2008 semasa harga minyak dan harga bahan bina sedunia memuncak ke tahap yang tidak pernah dialami sebelum ini. Kos pembinaan sekarang seharusnya berkurangan.

Laporan firma perunding Zidun-Leeng juga menyoal kos UEM yang terlalu tinggi. Kos UEM yang tinggi itu disebabkan oleh amalan korporat yang tidak jimat cermat. Contohnya, UEM mencadangkan untuk membiayai RM20 juta untuk majlis keraian atau "ceremonial functions." Apa yang diraikan sebelum jambatan itu dibina dan kenapa diperlukanRM 20 juta?

UEM juga meminta "HQ overhead and support" sebanyak RM63.51 juta yang agak terlampau. Saya tidak faham kenapa pembinaan jambatan memerlukan kos penyeliaan ibu pejabat yang begitu tinggi.

Tiba masanya Kerajaan Pusat mengkaji semula syarat-syarat yang tidak munasabah yang akan membebankan rakyat Pulau Pinang. Saya menyeru Perdana Menteri supaya memberi jawapan yang ikhlas dan benar, dan bukan cuba menyembunyikan fakta serta kebenaran.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional