red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://chongeng.org 

 

 

Perutusan Hari Wanita Antarabangsa 2010 oleh Chong Eng di Bukit Mertajam pada hari Isnin, 8hb Mac 2010:

Perutusan Hari Wanita Antarabangsa 2010

Salam sejahtera dan salam perjuangan kepada saudari-saudari srikandi Wanita DAP.

Sayap Wanita telah ditubuhkan lebih kurang 5 tahun selepas penubuhan Parti kita. Pembentukan Wanita DAP merupakan satu visi progresif pemimpin-pemimpin Parti untuk mengetengahkan perjuangan kita dari perspektif gender pada masa itu.

Pada tahun 1992, Wanita DAP telah memberikan satu mesej yang lantang kepada Kerajaan UMNO-Barisan Nasional melalui Deklarasi Tanjong DAP Wanita 1992 yang antara lainnya menolak segala bentuk keganasan, diskriminasi dan exploitasi ke atas wanita. Pada masa itu, Wanita DAP telah mendahului zaman-nya di Malaysia dalam perjuangan kita membela hak dan nasib wanita Malaysia. Bayangkan ketika itu, Kerajaan UMNO-Barisan Nasional masih belum lagi meretifikasi CEDAW ataupun Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women, tetapi Wanita DAP telahpun menegaskan pendirian kita berdasarkan prinsip antarabangsa dalam hal ehwal gender.

Saudari sekalian yang saya kasihi,

Perjuangan Parti kita sejak penubuhan ialah untuk membina sebuah Malaysia di mana Rakyat Malaysia diutamakan. Kita ingin melihat sebuah negara Malaysia yang melayan setiap warganegara secara saksama tanpa mengira warna kulit, agama ataupun fahaman politik. Ramai pemimpin dan ahli-ahli DAP telah mengorbankan hayat mereka untuk memperjuangan kesaksamaan sosial di negara tercinta kita. Kita sebagai sayap Wanita akan bergerak bersama-sama dengan jentera Parti bagi mencapai objektif murni tersebut, iaitu sebuah negara Malaysia untuk Rakyat Malaysia.

Satu perkara yang saya selalu katakan dan di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memperingati kalian ialah; dalam kita memperjuangkan kesaksamaan sosial di negara kita, kita perlu sedar bahawa, tiadanya kesaksamaan sosial jikalau tiadanya kesaksamaan gender.

Sehingga kini, kita masih belum dapat melihat apa-apa kemajuan substantial oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional dalam mencapai kesaksamaan gender di Malaysia. Malah dalam kita menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac ini; kaum wanita di seluruh Malaysia masih hampa tatkala kita merenung tema sambutan Hari Wanita tahun ini iaitu "Equal Rights, Equal Opportunities: Progress For All. Kesamaan Hak, Peluang Bersama: Kemajuan Untuk Semua".

Di Malaysia, taraf ekonomi wanita masih rendah, kes rogol meningkat 300% dari tahun 2007 ke 2008 dan terutamanya di Sarawak; betapa kita berasa marah apabila mengetahui bahawa saudari-saudari kita yang berbangsa Penan di pedalaman Baram telah dicabuli. Sehingga hari ini, Kerajaan UMNO-Barisan Nasional tidak mampu untuk memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa tersebut.

Saudari sekalian,

Wanita masih tidak mendapat peluang setara dengan kaum lelaki walaupun kita telah membuktikan kepada semua bahawa wanita mampu mencapai kejayaan seperti kaum lelaki.

Lihat baru-baru ini, Setiausaha Agong CUEPACS Ahmad Shah Mohd Zain telah menyatakan kebimbangan bahawa wanita telah membanjiri perkhidmatan awam dan ini akan menjejaskan kemajuan negara dalam jangka masa panjang. Beginilah sikap sesetengah pemimpin kita yang masih terperangkap dalam masa. Walaupun telah terbukti wanita mampu memimpin organisasi koperat dan Kerajaan. Di Asia sahaja kita mempunyai tokoh-tokoh wanita seperti Megawati Sukarnoeputri, Corazon Aquino, Gloria Macapagal-Arroyo, Pratibha Patil dan Benazir Bhutto menjawat posisi yang tertinggi dalam Kerajaan masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Presiden. Dalam sejarah Islam, pemimpin wanita Islam seperti Saidatina Siti Khadijah dan Saidatina Siti Aishah yang menerajui kepimpinan masyarakat dan merupakan salah satu tonggak kestabilan dan kemajuan ummah pada masa dahulu.

Tetapi apa yang terjadi di Malaysia pada hari ini?

Walaupun telah lebih satu abad meretifikasi CEDAW, dalam pentadbiran Kerajaan UMNO-Barisan Nasional, daripada Parlimen sehingga ke Kabinet Menteri sehingga ke Pentadbiran Awam, wanita masih lagi ketinggalan di peringkat pembuat keputusan. Di Parlimen, hanya lebih kurang 10% sahaja Ahli Parlimen Wanita, di Kabinet Menteri, hanya lebih kurang 6% keanggotaan wanita dan begitu juga keadaannya di sektor pentadbiran awam di kalangan ketua jabatan, hanya terdapat kira-kira 15% terdiri daripada wanita. Padahal, semasa meretifikasikan CEDAW pada tahun 1995, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mengupayakan kedudukan wanita sebagai pembuat keputusan dan untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% bilangan pembuat keputusan wanita.

Komrad-komrad yang saya hormati,

Kita mestilah sedar bahawa kuasa sesuatu negara itu terletak di tangan Rakyatnya. Jika kita meminggirkan kaum wanita, maka di Malaysia ini, kita akan meminggirkan 50% daripada populasi negara. Fikirkan lah keupayaan dan kuasa yang berada di tangan 14 juta orang insan bergelar wanita. Dari segi ekonomi, 14 juta ini merupakan sumber manusia yang tidak ternilai harganya. Mereka bukan sahaja tenaga kerja, tetapi juga penjana inovasi melonjakkan ekonomi negara. Dari segi politik, sokongan 14 juta ini akan menentukan siapa yang menjadi kerajaan dan arah tuju negara kita. Jadi, dalam arus reformasi kita untuk mengecapi perubahan politik, menolak politik perkauman dan ketidakadilan UMNO-Barisan Nasional, DAP dan Pakatan Rakyat perlukan kuasa 14 juta wanita di seluruh Malaysia.

Kita telah sedar bahawa UMNO-Barisan Nasional telah gagal sama sekali akibat budaya kronisme, korupsi dan dasar perkauman yang mendalam. Di Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, kita telah menjalankan pelbagai polisi pengupayaan wanita seperti penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak dan Pusat Perkhidmatan Wanita yang pertama di Pulau Pinang dan perlanjutan cuti materniti kepada 90 hari di Selangor.

Justeru, saya ingin menyeru kepada saudari sekalian, ayuh, kita kerja dengan lebih kuat lagi untuk memberikan satu model alternatif kepada Rakyat khususnya kaum wanita di seluruh Malaysia. Wanita DAP akan menawarkan diri kita sebagai pemacu kecemerlangan Wanita Malaysia.

Salam perjuangan, Salam Hari Wanita, Kesamaan Hak, Peluang Bersama: Kemajuan Untuk Semua. Hidup Rakyat!


* Chong Eng, Pengerusi DAP Wanita & Ahli Parlimen Bukit Mertajam

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional