red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Ucapan Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semasa mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Titah Diraja pada hari Khamis, 17hb Mac 2010: 

 

Berapa ramai Ahli Jemaah Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, yang mempunyai DNA 1Malaysia dan berupaya lulus tiga ujian mudah 1Malaysia?

Dalam masa lebih kurang dua minggu nanti, Datuk Seri Najib Razak akan merayakan setahun penuh beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Sepanjang tahun ini, slogan 1Malaysia telah mendominasi media, radio dan TV sementara logo 1Malaysia dalam berbagai bentuk, rupa dan saiz telah meresapi setiap perusuk negara ini.

Paradoksikalnya, bagaimanapun, Najib nampaknya semakin hilang kawalan dalam slogan dan konsep 1Malaysianya dan contoh terbaru yang merunsingkan baru-baru ini adalah pada awal bulan Mac, seorang pemimpin UMNO yang biasanya tenang dan rasional iaitu Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd Hanadzlah, tiba-tiba mengeluarkan ungkapan rasis apabila dipaksa oleh anasir-anasir anti-1Malaysia di bawah pengaruh UMNO Pulau Pinang.

Sampai hari ini, Husni belum lagi meminta maaf atas ungkapan rasisnya yang dikeluarkan di suatu jamuan makan malam anjuran Dewan Peniaga Melayu Pulau Pinang di mana beliau berkata: “Kalau orang Cina di Pulau Pinang buli kita, kita lawan balik orang Cina” dan apa yang dikatakan oleh Husni telah dirakamkan di pita.

Seperti para ahli parlimen DAP yang lain, saya amat terkejut dengan Husni yang dulunya seorang Timbalan Menteri dan kini Menteri Kewangan Kedua yang biasanya rasional, tenang dan munasabah, tiba-tiba bertukar mengeluarkan ungkapan yang rasis yang bertentangan dengan apa yang diwakili oleh konsep 1Malaysia Najib.

Persoalan yang timbul di hati setiap rakyat Malaysia adalah mengapakan seorang pemimpin UMNO yang biasanya rasional, tenang dan munasabah boleh mengeluarkan ungkapan yang begitu rasis yang tidak selaras dengan wataknya selama ini?

Satu-satu penjelasan yang boleh dikemukakan adalah apabila Husni pergi ke Pulau Pinang, beliau telah dipengaruhi oleh kempen benci yang berterusan yang dilancarkan oleh UMNO Pulau Pinang yang mengeksploitasikan isu “kaum dan agama” dan membuat tuduhan liar bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat adalah “anti-Melayu dan anti-Islam”.

Sebagai seorang pemimpin UMNO yang sederhana, Husni sepatutnya mengawal emosi dan memeriksa secara berhati-hati kempen tidak bertanggungjawab dan bersifat hasutan yang dilancarkan oleh UMNO Pulau Pinang itu, yang secara melulu mengeksploitasikan isu “kaum dan agama”, bersubahat dengan media kawalan UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, langsung tidak mengendahkan kempen 1Malaysia Najib – dan bukannya terjangkit oleh virus UMNO Pulau Pinang sampai ke tahap membantu dan bersubahat dalam kempen tidak bertanggungjawab dan bersifat hasutan yang menyebarkan rasa benci dan rasis.

Bila pemimpin UMNO sederhana seperti Husni ini boleh hilang kawalan sederhana mereka dan terperangkap dengan politik benci UMNO Pulau Pinang, apakah harapan dan masa depan yang tertinggal dalam slogan dan konsep 1Malaysia Najib?

Adakah Perdana Menteri mendidik semua ahli Jemaah Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri supaya mereka faham sepenuhnay apa yang dimaksudkannya dengan konsep 1Malaysia?

Saya pernah bertanya secara terbuka bulan lepas samada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar dan serius berkomited terhadap konsep 1Malaysia Najib – samada beliau bertindak sebagai pegawai kanan Najib atau beliau sebenarnya bertindak bagi pihak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk menjaga warisan Mahathir di zaman pemerintahan Najib.

Saya bertanya samada Muhyiddin telah mendapat kelulusan dan persetujuan dari Najib terhadap semua ungkapan dan tindakan yang beliau lakukan yang sebenarnya memudaratkan pancapaian slogan dan konsep 1Malaysia, termasuklah:

  • Beliau mempertahankan sesi “brain washing” dan indoktrinisasi “ketuanan Melayu” oleh Biro Tata Negara sungguhpun timbulnya banyak kritikan dan pendedahan mengenai kandungan yang bersifat rasis, pemecahan dan hasutan selama dua dekad ini;

  • Percubaan beliau untuk meminggirkan keseriusan ungkapan Nasir Safar dengan menghurainya sebagai “a slip of tongue” apabila pembantu politik kanan Najib berkenaan mengecap kaum India dan Cina di Malaysia sebagai “pendatang”, mendakwa bahawa kaum Cina kemari sebagai pengemis dan wanita kaum Cina sebagai pelacur; mendakwa bahawa UMNOlah satu-satunya parti yang bertanggungjawab menggariskan perlembagaan, menafikan sumbangan MCA dan MIC, dan mengugut untuk menarik balik status kerakyatan mereka yang menentang kuat dasar had jumlah matapelajaran SPM.

  • Kebisuan beliau yang luar biasa terhadap forum JAKIM yang diadakan akhir bulan January di mana 800 kakitangan kerajaan yang hadir telah digesa memberontak menentang konsep 1Malaysia Najib. Di forum yang berkenaan, pensyarah dari pihak kerajaan telah mengeluarkan ucapan yang menghasut dan mengapi-apikan, menyalahkan masyarakat Kristian sebagai “membangkitkan kemarahan masyarakat Islam” dengan mencabar larangan penggunaan perkataan “Allah” dan menyalahkan ahli-ahli politik UMNO/BN kerana gagal “mempertahankan Islam”. Salah seorang pensyarah membangkitkan kemungkinan berlaku huru-hara seperti May 13 sekiranya masyarakat Kritian, yang beliau mendakwa sebagai “mengamalkan ekstrimism” tidak “berhenti”, dan mengugut bahawa “Siapa tau, mungkin sekali lagi 13 May?”

  • Kebisuan beliau yang luar biasa terhadap pendedahan mengenai setiausaha eksekutif UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh yang meracau di majlis kelab UMNO di London awal tahun ini; dan

  • Tindakan kuat beliau untuk membantu dan bersubahat dengan kempen media kawalan UMNO seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, radio dan TV Kerajaan yang berbau hasutan serta mengapi-apikan, yang memainkan sentimen perkauman dan agama, secara jahat menggambarkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam”.

Saya hendak tanya Muhyiddin secara terus: adalah beliau sedar bahawa keseriusan dan keikhlasan pentadbiran Najib mengenai 1Malaysia kini menghadapi cabaran yang paling serius di Pulau Pinang – mengapakah konsep 1Malaysia terjejas dan dilemahkan oleh berbagai serangan berterusan yang berniat jahat, mengeksploitasi sentimen kaum dan agama oleh media dan agen UMNO, demi menfitnah nama baik Ketua Menteri serta kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang?

Sekiranya rakyat Pulau Pinang melihat konsep 1Malaysia sebagai palsu dan hipokritikal, bagaimanakah beliau boleh mengharapkan rakyat negeri Sabah dan Sarawak, serta rakyat di seluruh negara mempunyai keyakinan terhadap slogan tersebut?

Sebagi seorang Timbalan Perdana Menteri, Myhyiddin harus berdiri di baris depan untuk mendapat kerjasama semua ahli parlimen dan parti politik dari luar BN supaya kempen 1Malaysia ini bejaya kerana ini berkait dengan isu negara dan bukan agenda mana-mana parti politik.

Melainkan konsep 1Malaysia hanya merupakan gimik UMNO dan BN, jika tidak, Muhyiddin harus mengambil inisiatif mendekati para ahli parlimen dan parti-parti politik dari luar BN supaya mengetepikan perbezaan parti dan memupuk pembangunan negara berlandaskan konsep 1Malaysia.

Beliau seharusnya bertemu dengan para ahli parlimen parti-parti pembangkang di Parlimen dan membentuk platform semua-parti untuk memastikan konsep 1Malaysia dicapai di setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, Myhyiddin tidak melakukan semua ini sepanjang setahun beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya pernah mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai oleh pihak pembangkang ditubuhkan atas isu 1Malaysia. Cadangan ini tidak mendapat sambutan langsung dari Muhyiddin dan menteri-menteri BN semuanya menunjukkan sikap yang tidak berminat.

Ini amat tidak masuk akal kerana sebenarnya, Muhyiddin dan Jemaah Menteri Najib yang sepatutnya memujuk para ahli parlimen Pakatan Rakyat supaya bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia dan bukan sebaliknya!

Mengapakah ini berlaku? Adalah kerana Jemaah Menteri Najib penuh dengan menteri-menteri yang mencurigai konsep 1Malaysia dan menganggapnya tidak lebih dari satu wayang politik yang tidak perlu dilayan dengan serius?

Siapakah menteri-menteri dalam Jemaah Menteri Najib yang mempunyai DNA 1Malaysia? Saya tak nampak satu pun. Itulah sebab mengapa samada Muhyiddin atau menteri-menteri yang lain, tidak seorang pun yang bertindak seperti seorang penyokong slogan dan konsep 1Malaysia.

Ada tiga ujian mudah untuk menguji samada Myhyddin dan Jemaah Menteri benar-benar ikhlas dan serius dan berkomited terhadap 1Malaysia Najib, iaitu:

  • Samada beliau bersetuju dengan penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia yang diketuai oleh pihak pembangkang;

  • Samada beliau bersedia untuk mengumumkan bahawa asas 1Malaysia adalah “ketuanan rakyat Malaysia” dan bukannya “ketuanan Melayu”; dan

  • Samada beliau bersedia untuk menyokong objektif 1Malaysia sebagaimana yang ditafsirkan oleh Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia (GTP) untuk membentuk sebuah negara di mana setiap rakyat menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan mengikut kaum, agama atau wilayah kemudian.

Adakah Najib, Muhyddin dan semua pemimpin UMNO bersedia berdiri dan mengumumkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan Melayu kemudian?

Saya mengumumkan di sini bahawa saya seorang rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah setiap Menteri BN sanggup membuat perishtiharan yang sama?

Berapa ramai Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, yang mempunyai DNA 1Malaysia dan boleh lulus dalam tiga ujian mudah yang disebut tadi?

Malah, berapa ramai ahli-ahli Parlimen BN yang mempunyai DNA 1Malaysia dan boleh lulus dalam tiga ujian mudah berkenaan?

Jelas sekali, 1Malaysia membawa makna yang berbagai-bagai kepada Najib, Jemaah Menteri dan kerajaan – samada menteri dalam UMNO atau bukan UMNO.

Apabila menteri-menteri bukan UMNO seperti Menteri KPI yang bertanggungjawab terhadap Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP), Tan Sri Koh Tsu Koon, dan Menteri-menteri dari MCA, MIC dan parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak tidak berani mempertahankan konsep 1Malaysia dan berdiri berucap di mesyuarat Jemaah Menteri mengenai keingkaran dan pemberontakan Jakim, atau eksploitasi sentimen “kaum dan agama”secara tidak bertanggungjawab oleh media dan agen UMNO, maka persoalan mengenai samada 1Malaysia mempunyai sebarang makna setelah dilaungkan buat pertama kalinya oleh Najib bulan April yang lepas menjadi amat penting.

Saya berani berkata bahawa, sebagai hakikatnya, musuh 1Malaysia bukanlah dari luar BN tetapi dari dalam UMNO sendiri.

Inilah sebab mengapa cadangan saya supaya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia tidak mendapat sebarang sambutan – termasuk dari Menteri KPI, Tan Sri Koh Tsu Koon – yang bermakna bahawa beliau tidak yakin Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan mendatangkan sebarang hasil ketara dan tidak akan berdaya menahan penelitian orang ramai dan parlimen.

GTP 1Malaysia menyentuh mengenai “menggalakkan media 1Malaysia yang inklusif”. Katanya:

“Sebaliknya, jika dan apabila terdapat kaedah pelaporan dan penulisan yang berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik atau lebih bersifat perkauman, maka, ini akan memperkukuhkan lagi tembok perkauman dan bukan meruntuhkannya. Selanjutnya, daripada memberikan kritik yang sahih dan membina, sesetengah penulis menyalah guna hak kebebasan bersuara yang lebih besar yang sedia ada dengan menggunakan istilah dan perasaan yang bersifat perkauman atau hasutan

“Sementara penapisan adalah bercanggah dengan demokrasi, terdapat keperluan bagi memulakan, menerap dan menghayati secara dalaman suatu komitmen terhadap kewartawanan yang bercorak professional, suatu perasaan kebertanggungjawaban dan kawal diri, dengan sifat sensitif terhadap pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia.”

Sebarang kajian bebas terhadap senario media massa di Malaysia akan menampakkan antara yang paling bersalah kerana “kaedah pelaporan dan penulisan yang berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik atau lebih bersifat perkauman”, salah gunakan “istilah dan perasaan yang bersifat perkauman atau hasutan”, langsung tidak sensitif terhadap “pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia” selama dua tahun sejak tsunami politik 308 dalam pilihanraya umum 2008 adalah media-media UMNO – Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Tidak siapa yang mencadangkan supaya Utusan Malaysia atau Berita Harian ditutup, tetapi apakah yang telah dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab menghasilkan Pelan Hala Tuju GTP khasnya Menteri KPI, Koh Tsu Koon - selain daripada menyokong “menggalakkan satu media 1Malaysia yang inklusif” – supaya berkomunikasi dengan media UMNO yang menyeleweng supaya “memulakan, menerap dan menghayati secara dalaman suatu komitmen terhadap kewartawanan yang bercorak professional, suatu perasaan kebertanggungjawaban dan kawal diri, dengan sifat sensitif terhadap pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia.”, dan paling penting lagi, makna sebenar konsep 1Malaysia?

Ironiknya, media UMNO-lah yang membekalkan bukti terbaik mengenai kebangkitan Middle Malaysia.

Dalam masa lampau, semua racun, dusta dan hasutan yang dikeluarkan secara bertubi-tubi oleh media UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian selama dua tahun berturut-turut ini – misalnya pembohongan bahawa DAP adalah anti-Melayu dan mahu menghapuskan sistem Raja Melayu dan menubuhkan republik – tentu telah mencetuskan huru-hara di Malaysia khasnya sebelum Mac 8, 2008 di mana sumber maklumat rakyat jelata terhad kepada media arus utama.

Bagaimanapun, pada hari ini, ramai tidak lagi berminat membaca semua racun, dusta dan hasutan yang disiarkan oleh media arus utama kerana mereka tidak lagi berkredibiliti, rakyat tidak lagi menjadi hamba media arus utama yang dimonopoli oleh UMNO/BN - sungguhpun kuasa jahanam mereka untuk mencetus masalah tidak boleh dipandang ringan juga.

Dalam masa-masa yang lepas, pemimpin-pemimpin DAP tentu merasa cemas dengan semua dusta dan racun yang disebarkan oleh suratkhabar UMNO ini.

Hari ini, sunggupun kami tetap mengawasi laporan media UMNO, tetapi adalah jelas dengan kebangkitan Malaysia Tengah, tidak lagi ujud keadaan di mana dusta dan pembohongan Utusan Malaysia dan Berita Harian dianggap sebagai kebenaran yang tidak tercabar oleh orang ramai. Rakyat Malaysia semua kaum – Melayu, Cina, India , Kadazan dan Iban – kini berupaya membezakan kebenaran daripada pembohongan, khasnya yang disebarkan oleh media UMNO.

Cara paling baik untuk memapalkan kepalsuan, racun, pembohongan dan dusta Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah menyangkalnya dengan fakta dan hujah yang rasional, sungguhpun ini tidak bermakna pihak Polis dan Peguam Negara tidak perlu mengambil tindakan terhadap media UMNO ini demi melindungi integriti dan kepentingan Malaysia yang majmuk.

Malang sekali, kita tidak mempunyai institusi-institusi nasional yang berkesan, bebas dan profesional. Kamar Peguam Negara, Polis, Kehakiman malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama, menegakkan apa yang betul dan benar, kerana sebaliknya lebih rela berkhidmat demi tuan politik mereka dan bukannya demi kepentingn negara.

Rakyat Malaysia berhak bertanya mengapakah Kementerian Dalam Negeri begitu tidak sensitif dan tidak prihatin terhadap eksploitasi sentimen “kaum dan agama” yang terus menerus dipermainkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian, sehinggakan 1Malaysia Najib menjadi bahan sindiran, tetapi begitu cepat mengambil tindakan terhadap media lain seperti China Press yang salah melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, telah meletakkan jawatan sungguhpun beliau dijangka bersara dalam bulan September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah menafikan bahawa editor China Press telah dipaksa meletak jawatan, jika tidak suratkhabar berkenaan akan digantung selama enam bulan sebagai hukuman – beliau hanya mengakui bahawa surat tunjuk-sebab telah dihantar kepada suratkhabar berkenaan.

Hishammuddin sepatutnya menjawab di Parlimen – apakah kesalahan yang begitu serius yang telah dilakukan oleh laporan China Press berkenaan? Akhbar tersebut telah membuat satu kesilapan, dan satu pembetulan telah diterbitkan.

Dalam sistem demokrasi yang matang dan di negara-negara maju, media mereka pernah membuat laporan bahawa presiden atau perdana menteri mereka telah meletak jawatan, dan sekiranya didapati laporan berkenaan silap, mereka akan menerbitkan pembetulan, dan menghadapi masalah kredibiliti yang terjejas sebagai “hukuman” nya.

Mengapakah Menteri Dalam Negeri begitu garang terhadap media dalam kes ini – adakah laporan yang berkenaan begitu serius sehingga boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara?

Sekiranya Hishammuddin cuba menjustifikasikan tindakannya dengan alasan-alasan seperti ini, ia hanya akan menjadi bahan ejekan ramai sahaja!

Contoh-contoh tadi yang mencabar konsep 1Malaysia sepatutnya dikaji dan ditelitikan oleh satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelan Hala Tuju GTP sekiranya Jemaah Menteri dan Parlimen serius dengan objektif nasional ini.

Di sini, saya ingin memberikan pemberitahuan bahawa saya akan membentangkan satu usul untuk meminda Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja untuk menambahkan perkataan-perkataan berikut -

“dan menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang diketuai oleh seorang Ahli Parlimen Pembangkang.”

Jawatankuasa Pilihan Parlimen 1Malaysia ini bukan sahaja akan menyelia pelaksanaan prinsip-prinsip “Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, tetpai turut menyelia tujuh kumpulan isu dan inisiatif yng berkaitan dengna perpaduan iaitu:

  1. Ekonomi dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia;

  2. Pendidikan dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia;

  3. Menggalakkan interaksi sosial 1Malaysia;

  4. Mengurusakan polariti agama dan budaya;

  5. Ke arah kerajaan 1Malaysia yang sebenarnya;

  6. Menggalak dan mengamalkan politik 1Malaysia yang inklusif

  7. Menggalakkan media 1Malaysia yang inklusif

Jawatankuasa Pilihan Parlimen 1Malaysia juga akan menyelia pencapaian-pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA iaitu: mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambahbaik pengangkutan awam, memperkasa prasarana luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Menyeru supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menkaji mengapakah impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia tidak tercapai atau dikhianati selama lima dekad

Bulan yang lepas, bersama-sama Ahli Parlimen DAP Dr Hiew King Cheu (Kota Kinabalu), Teo Nie Ching (Serdang) dan Lim Lip Eng (Segambut), saya telah membuat lawatan ke Kota Belud dan Tuaran, satu pengalaman yang memberikan kesan kuat kepada kami semua, iaitu: mengapakah impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia boleh dikhianati selama lima dekad lamanya.

Di Kota Belud, 800 pelajar dan 54 guru SMK Tambulion menderita setiap hari untuk pergi ke dan balik dari sekolah, kerana satu-satunya jalan yang sambung ke sekolah mereka adalah jalan lumpur, dan dalam musim kemarau ini, pelajar dan guru-guru semuanya sampai ke sekolah kelihatan seperti orang putih. Keadaan memalukan ini akan berterusan selama satu atau dua tahun lagi.

Tetapi masalah yang dihadapi oleh SMK Tambulion bukanlah satu-satunya masalah yang mencetuskan kemarahan umum. Kami turut melawat Kem Paradise, kompleks tentera yang bertujuan menempatkan 1,800 kakitangan tentera. Apa yang kami nampak adalah kuater-kuater bertingkat tinggi yang kosong belaka. Kem Paradise kini boleh ditukarkan nama menjadi Ghostland Paradise, hanya 35 kakitangan yang duduk di komplek yang bertujuan menempatkan 1,800 kakitangan – pembaziran wang rakyat yang ketara!

Adakah Kementerian Pertahanan akan menetapkan bahawa pihak berkuasa tidak akan menubuh sebarang kompleks tentera yang baru sehinggalah Kem Paradise digunakan sepenuhnya?

Kami juga membuat lawatan ke Jelapang Padi di Kota Belud di mana 5,300 ekar sawah padi dan 500 rumah ditenggelami air setinggi enam kai dalam bulan Januari kerana tidak ada sistem saliran air yang baik.

Di Tuaran, kami mendapati ianya harus dimasukkan ke Guinness Book of Records. Ini adalah apa yang telah saya tweet dari Tuaran semasa lawatan kami:

  • In Tuaran attend DAP CNY OH Sabah tale of horrors continue Tuaran has most unique hospital not just Msia but world - without a single bed!

  • 150k ppl Tuaran have 2go2KK 4hospitalisation Big shame! 4nearly 30 yrs string of promises 2build ward w beds never met #Save Sabah/Malaysia!

  • 2nd Tuaran horror Dy educ minister Fuad promised last yr work on new secondary school in Pekan Nabalu near Tuaran wld start b4 Xmas Not kept

  • Horror3 - 1994 Umno/BN promised 2build bridge over Sg Damit Tuaran Promises repeated in 4 gen elections Never kept #Save Sabah/Malaysia!

Lawatan kami ke Kota Belud dan Tuaran telah mengesahkan masalah yang berlarutan di Sabah, di mana kepentingan rakyat Sabah - tanpa kira kaum, agama atau kawasan mereka - terlalai, didiskriminasikan dan dipinggirkan. Dan orang yang menyebabkan semua ini adalah sekumpulan kecil ahli politik yang mengaut keuntungan peribadi dari kekayaan Negeri Sabah sementara rakyat Sabah terus merana menjadi orang paling miskin di Malaysia.

Tahun 2013, tiga tahun lagi, akan menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan Malaysia. Adalah sesuai bagi kita untuk bersiap sedia menghadapi ulangtahun ini dengan mengkaji samada impian rakyat Sabah tahun 1963 semasa penubuhan Malaysia telah ditunaikan atau dikhianati.

Adakah rakyat Sabah menikmati hak kerakyatan sepenuhnya sebagi rakyat Malaysia selama lima dekad ini?

Biarlah proses perbahasan dan soul-searching bermula sekarang mengenai soal mengapakah Sabah, sebuah negeri paling kaya di negara kita, menjadi negeri paling miskin dalam tempoh lima dekad ini.

Dalam tahun 90an, Barisan Nasional berjanji kepada rakyat Sabah bahawa kemiskinan di Sabah akan dihapuskan dalam tahun 2000. Bagaimanapun, bukan sahaja kemiskinan kekal di Sabah, malah kadar kemiskinan Sabah kini merupakan yang paling buruk sekali di Malaysia.

Seterusnya, Barisan Nasional berjanji bahawa kemiskinan tegal di Sabah akan dihapuskan dalam tahun 2010. Ini merupakan satu lagi janji-janji kosong BN yang bertimbun-timbun di Sabah dan di Malaysia.

Rakyat Sabah dan rakyat Malaysia masih ingat lagi pada suatu ketika dahulu, dalam usahanya untuk menumbangkan kerajaan PBS Sabah, UMNO dan BN berjanji ujudkan perkongsian kuasa yang tulin di Sabah, di mana jawatan Ketua Menteri akan digilir-gilirkan di antara tiga kaum utama di negeri berkenaan.

Apakah rekod pemerintahan UMNO/BN di Sabah selama 16 tahun sejak 1994?

UMNO/BN telah mebelakangkan janji perkongsian kuasa menerusi sistem Ketua Menteri secara bergilir – dalam 16 tahun ini, jawatan Ketua Menteri Sabah telah dipegang oleh masyarakat Kadazan selama sembilan bulan, Cina selama empat tahun dan UMNO selama 11 tahun!

Ini merupakan bukti paling kukuh mengenai begitu seriusnya pecah amanah dan pengkhianatan janji UMNO/BN terhadap rakyat Sabah selama 16 tahun mereka memerintah Sabah!

Ini semua tertinggal jauh dari janji-janji yang diberikan kepada rakyat Sabah pada awal tahun-tahun penubuhan Malaysia.

Bapa Malaysia dan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, mengemukakan cadangan yang penuh bersejarah mengenai penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapore di ucapannya di Singapore Foreign Correspondents’ Club pada 27hb Mei 1961.

Rakyat Sabah dan Sarawak telah dijanjikan dengan kemajuan dan pembangunan, sekurang-kurangnya pada tahap yang dicapai di Semenanjung Malaysia.

Adakah janji-janji ini telah ditunaikan dalam lima dekad ini? Jawapannya jelas “TIDAK”!

Ke mana perginya kekayaan Sabah dan Sarawak selama lima dekad ini?

Setelah lima dekad berlalu, ramai di Sabah dan Sarawak masih kekurangan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik yang berterusan, belakan air paip yang tidak tergendala, dan jalan serta jambatan yang baik, perkara-perkara yang dianggap sebagai biasa dan asas di lain-lain tempat di Malaysia.

Tahun ini, rakyat Tawau menyambut majlis makan malam sekeluarga menjelang Tahun Baru Cina dalam kegelapan kerana bekalan elektrik terputus lagi – suatu keadaan yang sering berlaku di Tawau, Sandakan, Lahat Datuk dan kebanyakan tempat di Sabah. Bekalan air paip berada dalam keadaan krisis yang berterusan. Keadaan jalan dan jambatan boleh dikatakan sebagai skandal yang memalukan.

Rakyat Sabah berhak bertanya: mengapakah Sabah yang begitu kaya dengan sumber semula jadi tidak menikmati kemudahan infrastruktur yang asas! Mengapakah, sebagai contohnya, rakyat Sabah terpaksa menghadapi masalah putus elektrik yang sering berlaku, sesuatu yang tidak lagi kedengaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Star, Ipoh, Seremban, Malacca, Johore Bahru, Kuantan, Kota Bahru, Kuala Terengganu – maupun di Kuching, Sibu, Miri?

Setelah Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan bersejarahnya mengenai pembentukan Malaysia pada Mei 1961, beberapa proses prundingan telah diadakan berikutan dengan berbagai bantahan samada dari dalam atau luar Sabah dan Sarawak, termasuk Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, terhadap cadangan yang berkenaan,

Suruhanjaya Cobbold telah menjalankan soal selidik dengan rakyat Sabah dan Sarawak untuk menentukan pandangan rakyat tempatan terhadap cadangan penubuhan Malaysia.

Saya rasa, tidak ada cara yang lebih bermakna untuk menandakan ulang tahun ke-50 kenegaraan Malaysia untuk Sabah dan Sarawak selain daripada mengendalikan satu kajian yang komprehensif mengenai kejayaan dan kegagalan semua aspek pembangunan di dua negeri ini selama lima dekad yang lepas dan mengumpulkan pandangan dari rakyat Sabah dan Sarawak.

Maka saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan, bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Siasaan Diraja mengenai impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia, samada ianya telah tercapai atau dikhianati sepanjang lima dekad ini.

Suruhanjaya Siasaan Diraja ini harus mengadakan perjumpaan awam di 57 kawasan parlimen di Sabah dan Sarawak supaya suara hati rakyat Sabah dan Sarawak dapat dikeudarakan sepenuhnya.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasaan Diraja ini, maka Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelan Hala Tuji GTP 1Malaysia harus mengambil alih tugas yang penting dan penuh cabaran ini.

Model Ekonomi Baru – telah dirampas oleh Umnoputera DEB-Baru seperti Perkasa?

Semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri April yang lepas, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan akan memperkenalkan satu model ekonomi baru untuk negara kita demi memastikan Malaysia akan melonjat ke depan dan mengelakkan perangkap pendapatan-menengah dan menjadi negara yang berpendapatan tinggi menerusi penekanan ketara ke atas inovasi, kreativiti dan persaingan.

Dalam bulan Mei tahun lepas, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bahawa model ekonomi baru akan diumumkan dalam tempoh separuh kedua tahun tersebut.

Masa merupakan intipati paling kritikal dalam pelancaran satu model ekonomi baru dan Husni mengaku secara terus terang dalam ucapannya di bulan Disember yang lepas bahawa Malaysia telah ketinggalan satu dekad kerana tersangkut dengan keadaan enonomi yang lembap.

Pada hakikatnya, tiga tahun yang lepas Bank Dunia telah mencadangkan supaya Malaysia mengamalkan model ekonomi yang baru, menekankan bahawa negara-negara industri telah mengacu ke arah model ekonomi 3.0, dan berikutan dengan persaingan yang semakin sengit di model ekonomi 1.0, Malaysia tidak ada pilihan lain kecuali mencuba sedaya upaya mencapai model ekonomi 2.0.

Persoalannya adalah mengapakah nasihat dari Bank Dunia supaya Malaysia berhijrah ke model ekonomi 2.0 telah diabaikan selama tiga tahun, menyebabkan kita kehilangan masa yang bernilai untuk mencapai daya saingan sedunia, sehinggakan negara kita tertinggal di belakang negara-negara yang lain.

Semasa negara kita merdeka pada 1957, kita merupakan negara kedua maju dalam segi pencapaian ekonomi di Asia di belakang Jepun.

Hari ini, GDP per kapita Korea Selatan adalah US$16,450, Singapore US$34,346, Hong Kong US$29,559 sementara Malaysia masih berada pada tahap US$7,469 - dan jurang berbezaan antara Malaysia dan negara-negara lain semakin meluas, malah menghadapi risiko ketinggalan di belakang Negeri Thai, Vietnam dan Indonesia!

Tarikh untuk mengumumkan model ekonomi baru telah berkali-kali ditunda, dari akhir tahun lepas ke permulaan tahin ini, ke bulan ini sekali dengan genap setahun jawatan Perdana Menteri Najib, dan kini ditunda lagi ke bulan Jun semasa Rancangan Malaysia Ke-10 (RM-10) dijangka dikemukakan di Parlimen. Kononnya kedua-dua RM-10 dan Model Ekonomi Baru akan diumumkan bulan ini untuk mendapat maklum balas dari orang ramai.

Gangguan rancangan pengumuman model ekonomi baru sekali dengan genap setahun Najib sebagai Perdana Menteri merupakan satu tamparan kepada 1Malaysia Najib serta model ekonomi yang berdaya saing dan inovatif, dan satu kejayaan bagi NGO dan NGI Umnoputera DEB-Baru yang kini merupakan pembekal luar bagi agenda DEB-putra UMNO.

Malaysia dan masyarakat dunia tertanya-tanya apakah jenis model ekonomi baru yang akan dibentuk oleh Najib yang kononnya lebih tertumpu kepada inovatif, kreativiti dan berdaya saingan di pertengahan tekanan menentang kemajuan dan ekstrimism yang melaung-laungkan slogan cemas seperti “masyarakat Cina akan mengambil alih negara ini dalam pilihanraya umum seterusnya” dan bahawa Artikel 153 Perlembagaan negara akan diketepikan dan kepentingan-kepentingan orang Melayu (apa yang dimaksudkan adalah sebenarnya kepentingan Umnoputra DEB-baru) dipinggirkan.

Adalah penting untuk bertanya bagaimanakah Najib dapat mencetuskan keyakinan orang ramai terhadap model ekonomi baru 2.0 sekiranya beliau tidak melakukan apa-apa dalam tempoh setahun lepas sebagai Perdana Menteri untuk menghalang braindrain para cerdik pandai Malaysia dari meninggalkan Malaysia, atau menarik balik cerdik pandai rakyat Malaysia supaya pulang ke tanah air.

Satu cadangan spesifik yang dibuat oleh Bank Dunia tiga tahun yang lepas supaya Malaysia berhijrah ke model ekonomi baru 2.0 adalah “Engaging and attracting back talented, experienced, wealthy and well-connected members of Malaysian diaspora”.

Sekiranya Najib gagal menyekat arus braindrain yang menyebabkan negara kehilangan dua generasi rakyat yang paling cerdik pandai dan membina diaspora Malaysia yang berjumlah dua juta di seluruh dunia, bagaimanakah Perdana Menteri akan berjaya untuk menarik balik golongan cerdik pandai ini atau menghentikan braindrain yang beterusan?

Bukan hanya rakyat bukan Melayu yang berhijrah ke luar negara, semakin ramai rakyat Melayu yang kini berhijrah dan meninggalkan tanah air.

Saya masih ingat lagi program yang bercita-cita tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-8 sepuluh tahun yang lepas demi “menterbalikkan braindrain” dan mentransformasikan Malaysia menjadi K-ekonomi dan Masyarakat Maklumat menerusi strategi dua-mata:

  • Mendapat 5000 “brain-gain” setiap tahun dari seluruh dunia yang berkepakaran luar biasa – menarik golongan cerdik pandai tanpa kira kaum atau kerakyatan, dari Bangalore ke California; dan

  • Menggalakkan 500 rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang menetap di luar negara supaya pulang ke tanah air setiap tahun bermula dari tahun 2001

Program “brain gain” yang bercita-cita tinggi ini telah gagal dengan teruk – Malaysia bukan sahaja tidak dapat menarik cerdik pandai ke negara kita, malah lebih ramai bakat tempatan yang telah mengalir keluar setiap tahun.

Malaysia tidak kekurangan cadangan satu model ekonomi baru 2.0, bagaimanapun, yang kita tidak ada adalah keazaman politik untuk melaksanakan model-model ini.

Bagaimanakah Najib boleh memastikan bahawa model ekonomi baru 2.0 yang akan diumumkan oleh beliau itu tidak akan gagal disebabkan kekurangan keazaman politik untuk melaksanakan program transformati kerajaan termasuk memulihkan keyakinan nasional dan antarabangsa terhadap institusi-insitutsi nasional penting serta sistem pentadbiran di Malaysia?

Kadar Jenayah & Ketua Polis Negara

Selepas satu tahun sebagai Perdana Menteri, keyakinan nasional dan antarabangsa terhadap institusi-insitutsi nasional penting serta sistem pentadbiran di Malaysia tidak nampak pulih malah semakin buruk.

Sungguhpun ujudnya berbagai perbincangan mengenai pencapaian NKRA untuk memerangi jenayah, khasnya jenayah jalanraya, hakikatnya adalah untuk orang biasa, mereka masih hidup dalam ketakutan kerana kadar jenayah yang serius.

Hakikatnya kini ujud semakin banyak komuniti gated-and-guarded di negara kita merupakan bukti paling baik bahawa kesemua perbincangan mengenai pencapaian NKRA dalam memerangi jenayah tidak membawa sebarang makna kepada rakyat biasa.

NKRA memerangai jenayah hanya akan bermakna sekiranya rakyat merasa cukup selamat sehingga tidak lagi memerlukan komuniti gated-and-guarded dan bukan sebaliknya – di mana semakin ramai yang terpaksa duduk di dalam komuniti gated-and-guarded kerana merasa tidak selamat.

Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mestilah menerima realiti bahawa salah satu unsur penting untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan, kebebasan dan profesionalisma pihak polis adalah dengan pertukaran Ketua Polis Negara.

Inilah sebab mengapa Hishammuddin tidak harus mengambil tindakan drastik terhadap China Press yang melaporkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara supaya pihak Polis boleh membuka lembaran baru sempenan Hari Polis pada 25hb Mac. Sebenarnya sekiranya laporan berkenaan dibuktikan benar, bukan sahaja rakyat Malaysia yang patriotik yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara akan merasa gembira, malah pegawai-pegawai kanan polis dari setiap peringkat akan turut merasa lega hati.

Itula mengapa:

  • Pada 28hb Julai 2009, saya mengetuai satu persidangan meja bulat parlimen untuk mencapai persetujuan umum bahawa Malaysia memerlukan seorang Ketua Polis Negara baru untuk membentuk sebuah negara yang selamat, terputus dari praktik zaman kolonial, dan memperkenalkan sistem polis yang demokratik untuk melindungi rakyat dan bukan regim yang memerintah;

  • Pada 1hb Ogos 2009, saya berkata dalam ucapan di Kuantan bahawa Musa sedang melancarkan tindakan membalas dendam terhadap saya dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat kerana mengadakan persidangan meja bulat parlimen menyeru supaya dilantik seorang Ketua Polis Negara baru demi negara yang lebih selamat;

  • Pada 7hb Ogos 2009, saya mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan bahawa “jika dilakukan undian rahsia di kalangan 200 pegawai polis kanan dari ASP ke atas, majoriti dari undi berkenaan tentunya menyokong perlantikan seorang Ketua Polis Negara yang baru”; dan

  • Pada 8hb Ogos 2009, saya berkata dalam kenyataan media saya bahawa “Polis, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri tidak dapat berdiri tegak dan rasa bangga di depan masyarakat antarabangsa sekiranya jawatan Musa diperbaharui kerana dalam tiga tahun kepimpinannya dalam polis, hanya 1% dari rakyat Malaysia yang rasa selamat.”

Rasuah & PKFZ

Atas isu rasuah, di manakah ikan-ikan yu yang pihak berkuasa kata akan dihadapkan ke mahkamah berhubungan dengan RM12.5 bilion skandal Port Klang Free Zone?

Saya merasa terperanjat apabila terbaca di suratkhabar hari ini suatu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa Pembangkang tidak mahu beliau menang dalam pilihanraya parti MCA - yang lebih dikenali sebagai pilihanraya parti “Three Kingdoms” - supaya terpilih semula sebagai Presiden MCA.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa DAP tidak berminat langsung apa yang berlaku dalam pertempuran “Three Kingdoms” MCA ini, khasnya pertempuran kedudukan President MCA yang dijangka melibatkan Ong sendiri, bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting, serta Timbalan Presiden Datuk Seri Chua Soi Lek.

Saya tidak ingin mencontohi bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik, yang baru-baru ini mengumumkan bahawa Gerakan telah “ lost Penang for good”, memberi markah yang amat rendah kepada penggantinya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, dan secara menghina mengecil-kecilkan jawatan Perdana Menteri Najib dengan berkata: “I give up la talking to this government”. Tidak, saya tidak akan berkata sebegitu.

Bagaimanapun, saya ingin memberitahu Ong bahawa sekiranya beliau dicatat dalam sejarah sebagai Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan yang paling pendek tempoh jawatannya, beliau seharusnya bersara “with a bang and not in a whimper”.

Beliau sepatutnya memastikan semua ikan yu dalam skandal RM12.5 billion PKFZ ini dihadapkan ke mahkamah dan bukannya hanya ikan bilis yang didakwa.

Untuk beberapa bulan ini, saya menahan diri daripada membuat sebarang komen mengenai skandal PKFZ setelah memberikan tekanan kuat kepada Ong supaya “tell all” mengenai skandal berkenaan – hingga pada satu tahap, saya mengemukakan tiga soalan setiap hari untuk selama 36 hari tanpa berhenti-henti, mengumpulkan 108 soalan untuk memaksa Ong supaya mengambil tindakan mengenai skandal PKFZ.

Saya ingin mengizinkan Ong bertindak bebas dan bukannya merasa dipaksa oleh apa-apa tekanan bila timbulnya petanda bahawa ada tindakan yang diambil untuk memastikan skandal PKFZ sedang diuruskan dan akauntabiliti mula dipulihkan,

Bagaimanapun, sehingga ke kini, hanya empat orang yang bukan watak utama yang telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam skandal PKFZ, sungguhpun Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Othman telah mendedahkan akhir tahun lepas bahawa ikan-ikan yu dalam skandal PKFZ akan dihadapkan di mahkamah bila-bila masa saja.

Seluruh negara menunggu dengan berdebar-debar penangkapan dan pendakwaan ikan-ikan yu dalam skandal RM12.5 bilion PKFZ ini, kerana tidak seorang pun yng percaya empat orang yang didakwa setakat ini yang bertanggungjawab sepenuhnya atau merupakan watak utama dalam skandal PKFZ.

Bagaimanapun, 27 juta rakyat Malaysia yang tunggu dari hari ke hari, minggu ke minggu, dan bulan ke bulan, tidak nampak apa-apa perkembangan baru.

Rakyat menjadi lebih kagum apabila Ong mengaitkan masalah dan survival politiknya sebagai Presiden MCA kepada skandal PKFZ, sungguhpun kesemua ikan yu skandal PKFZ masih bebas dan belum dikenakan tindakan.

Semua rakyat Malaysia mahu satu penjelasan daripada Ong – di manakah ikan yu RM12.5 bilion skandal PKFZ itu?

Adakah Najib akan menjadi Perdana Menteri UMNO terakhir dan ramalan RAHMAN akan ditunai dalam pilihanraya umum seterusnya?

Pada ketika kita sampai ke penghujung tahun pertama Najib sebagai Perdana Menteri, negara masih tersangkut dengan persoalan-persoalan dan isu-isu yang belum diselesaikan, antaranya:

  • Dua enjin jet yang hilang sampai ke Uruguay;

  • Kapal selam bernilai berbilion-bilion ringgit yang enggan menyelam;

  • Skandal PKFZ bernilai RM12.5 bilion yang belum kelihatan kemuculan ikan yu sebenar;

  • Kematian misteri pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock yang secara sukarela hadirkan diri di ibu pejabat SPRM Selangor pada 15 Julai 2009 tetapi tinggal mayatnya yang dijumpai pada hari kemudiannya;

  • Sampai bilakah SPRM akan memutuskan hubungan dengan tuan politiknya dan berhenti menjadi alat dan agen agenda politik UMNO/BN sehingga melancarkan perang terhadap Pakatan Rakyat dan bukannya rasuah;

  • Daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa yang terus menjunam serta kehilangan FDI dari pasaran tempatan;

  • Ulang tahun pertama slogan dan konsep 1Malaysia Najib yang tercemar oleh politik kaum dan agama yang paling buruk dalam tahun-tahun kebelakangan ini, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dan media UMNO Utusan Malaysia;

  • Ketiadaan keazaman politik pihak berkuasa untuk menginsitusikan perundingan antara-agama demi memupuk persefahaman antara-agama, goodwill dan keharmonian, dibuktikan dari kontroversi yang memecah belahkan dan memudaratkan dalam soal penggunaan kalimat “Allah”;

  • Kegagalan Najib mengumumkan model ekonomi baru 2.0, tambah lagi dengan masalah braindrain yang semakin serius, menunjukkan bahawa pentadbiran Najib tidak berazam untuk mentransformasikan kerajaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa untuk mendapat bakat yang sesuai demi membebaskan Malaysia dari jerat pendapatan menengah dan melonjat ke kelas pendapatan tinggi;

  • Penindasan dan perbicaraan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim;

  • Kegagalan kerajaan untuk memulihkan keyakinan masyarakat dalam dan luar negeri terhadap kebebasan, integriti dan kredibiliti sistem kehakiman negara ini, terserlah dalam keputusan Mahkamah Persetukuan 5-0 dalam kes dua Menteri Besar Perak;

  • Konspirasi yang semakin mendadak dari UMNO/BN untuk memecah dan menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat, dan sebagainya.

Kita baru meraikan ulang tahun kedua tsunami politik bersejarah 308 yang menampakkan paradigm shift di pemikiran dan harapan politik Malaysia.

Apa yang sebelum itu tidak dianggap boleh jadi dalam tempoh 50 tahun negara merdeka telah menjadi realiti, malah dianggap sesuatu yang sepatutnya berlaku.

Kini semua menunggukan pilihanraya umum yang seterusnya – samada pilihanraya umum ke-13 akan menyempurnakan proses yang dimulakan oleh pilihanraya umum ke-12 dan membawa sebuah kerajaan persekutuan campuran baru di Putrajaya selain dari perubahan di peringkat negeri.

Pilihanraya umum seterusnya, yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh 18 bulan, akan memberika, jawapan kepada persoalan-persoalan menarik termasuklah:

  • Samada ramalan politik termasyhur, RAHMAN, akan ditunaikan dengan Najib sebagi Perdana Menteri UMNO keenam yang juga menandakan Perdana Menteri UMNO yang terakhir?

  • Sama Pakatan Rakyat akan berjaya mengakhiri pemerintahan BN dan menggantikannya sebagai kerajaan persekutuan seterusnya?

  • Samada 1Malaysia Najib dan model ekonomi baru 2.0 akan berjaya menyelamatkannya dan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum seterusnya?

  • Samada Pakatan Rakyat berupaya muncul dari berbagai masalah dalamannya baru-baru ini dan menjadi lebih kuat, kohesif, berdisplin dan berarah tujuan jelas, menyatupadukan rakyat Malaysia dan membentuk kerajaan baru demi merealisasikan potensi penuh Malaysia, samada dalam segi kemanusiaan dan sumber-sumber semulajadinya?

Hanya masa yang akan membuktikan semua ini.

Biarkan semua rakyat Malaysia bersatu padu dengan satu tekad bersama: menjadikan pilihanraya umum ke-13 ini satu titik permulaan baru Malaysia supaya betul-betul bersatu padu, adil, makmur dan harmoni, di mana semua rakyat jelata, tidak kira kaum, agama atau kawasan, semuanya berbangga dengan negara tercinta kita bersama.

Pindaan Ke Atas Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen kawasan Ipoh Timur, Lim Kit Siang:

Untuk menambahkan perkataan-perkataan berikut pada akhir Usul yang berkenaan:

“dan Mengambil Ketetapan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Peta Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia yang diketuai oleh seorang Ahli Parlimen Pembangkang untuk menyelia dan melapor mengenai perlaksanaan dan kemajuan Peta Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia”


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional