red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Surat aduan rasmi yang dihantar kepada SPR oleh Loke Siew Fook pada hari Rabu, 19hb Mei 2010:

Surat aduan rasmi kepada SPR - Kelemahan dalam perjalanan proses pilihan raya kecil Sibu

19 Mei 2010

Yg Bhg Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia

Tan Sri,

ADUAN RASMI MENGENAI KELEMAHAN DALAM PERJALANAN PROSES PILIHANRAYA KECIL SIBU
_____________________________________________________________________

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Saya bagi pihak DAP ingin membuat aduan secara rasmi kepada pihak SPR mengenai beberapa perkara berkenaan proses pengundian dan pengiraan undi untuk PRK Sibu khususnya mengenai undi pos seperti berikut:

i) Beberapa Kod Undi Pos melihatkan undi yang kembali melebihi undi yang dikeluarkan. Ini melibatkan Kod 708, 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 undi dikeluarkan dan 161 kembali serta Kod 43, 47 undi dikeluarkan dan 67 kembali. Bagaimana ia boleh berlaku ada lebihan undi yang kembali daripada yang dikeluarkan? Ini menimbulkan keraguan tentang kesahihan undi-undi ini.

ii) Terdapat 290 pengundi yang dikatakan petugas SPR pada hari pengundian telah memohon untuk menjadi pengundi pos. Undi pos dikeluarkan pada 12 Mei dan barung pengundi disediakan untuk mereka mengundi. Mengapa petugas-petugas tersebut tidak mengundi pada ketika itu dan dibenarkan untuk membawa pulang kertas undi mereka? Apa alasannya? Pada 15 Mei, ejen DAP mengesyaki beberapa kesahihan beberapa “pengundi” yang datang membuang undi (gambar dilampirkan). Beberapa orang ini melarikan diri apabila diminta untuk menunjukkan kad pengenalan. Terdapat 190 pengundi daripada kategori ini tidak memulangkan undi mereka selepas kita membuat bantahan secara terbuka. Dalam senarai 290 pengundi pos ini juga, kita mendapati seorang daripada mereka bukan pengundi berdaftar iaitu Justin Leo B. Lewis (540131-13-5063)

iii) Setiap undi pos perlu dikembalikan dengan satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi. Semasa proses membuka sampul undi pos tersebut, ejen undi pos DAP telah membantah beratus-ratus surat akuan tersebut yang mempunyai tandatangan yang meragukan daripada saksi yang sama. Walaupun, ARO undi pos telah menerima bantahan kita dan menolak undi-undi tersebut, namun pegawai SPR Pusat yang bernama En. Ismail telah menolak keputusan ARO dan menerima semula undi-undi tersebut. Apa justifikasi untuk pegawai SPR menolak keputusan ARO? Dalam surat akuan yang sama, banyak surat yang meletakkan alamat yang tidak lengkap namun tetap diterima oleh pegawai SPR tersebut walaupun pihak kami membantah.

iv) Keputusan undi pos dilambatkan selama 2 jam oleh pihak SPR yang menyebabkan proses pengumuman keputusan keseluruhan lewat lebih dari 2 jam daripada yang dijangka. Walaupun proses pengiraan undi pos tamat pada jam lebih kurang 8.30 malam, namun pihak SPR mengambil mengambil lebih satu jam untuk menjumlahkan semua undi pos tersebut. Tambahan pula, SPR tidak mengeluarkan Borang 15 kepada ejen calon. Atas bantahan keras kami, maka pegawai SPR menunjukkan kepada kami Borang tersebut yang tidak mempunyai tandatangan kedua-dua pihak. Mengapa perkara ini berlaku dan menidakkan hak kita untuk mengambil Borang 15 itu sebagai bukti rasmi jumlah undi yang diperolehi?

v) Mengapa SPR memilih Rumah Panjang sebagai tempat mengundi? Di peti undi Sg Sebedil, ejen mengundi DAP telah dilarang memasuki tempat mengundi yang terletak dalam Rumah Panjang Limbang. Di peti undi tersebut, DAP hanya mendapat 5 undi. Bagaimana perkara ini berlaku dan SPR tidak berdaya untuk memastikan hak ejen mengundi parti yang bertanding dipertahankan?

3. Saya berharap pihak SPR akan mengambil berat tentang isu-isu yang dinyatakan di atas dan kami menyeru SPR membuat siasatan terperinci dan memberikan satu jawapan kepada pihak kami dalam masa yang terdekat.

Sekian, terima kasih.

 

Berkhidmat untuk rakyat,

 

 

………………………………….
LOKE SIEW FOOK
AHLI PARLIMEN RASAH
KETUA PEMUDA SOSIALIS DAP


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional