red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia oleh Lim Guan Eng pada hari Selasa, 25hb Mei 2010: 

Kegagalan UPE melibatkan dan membincangkan permohonan program/projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang 

25 Mei 2010

Y.A.B. Dato' Sri Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat YAB Perdana Menteri Malaysia
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAVA

Yang Amat Berhormat Dato' Sri,

KEGAGALAN UPE MELIBATKAN DAN MEMBINCANGKAN PERMOHONAN PROGRAM/PROJEK PEMBANGUNAN DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH OLEH KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

Saya ingin menarik perhatian Yang Amat Berhormat Dato' Sri rnengenai perkara yang disebutkan di atas.

2. Sebagai makluman Yang Amat Berhormat Dato' Sri, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi program/projek pembangunan berjumlah RM12.56 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Permohonan ini melibatkan sejumlah 534 buah program/projek yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 25 Februari 2010 selaras dengan Garis Panduan Kedua Rancangan Malaysia Kesepuluh - Penyediaan Pelan Pelaburan Sektor Awam, 2011 - 2012. Program/projek yang dipohon oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk terus memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menjamin kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang.

3. Dimakluman bahawa fokus dan keutamaan yang diberikan penekanan oleh Kerajaan Negeri dibawah RMKe-10 adalah untuk menyediakan program/projek yang memberikan kesan positif kepada Negeri Pulau Pinang seperti berikut:

i. program/projek yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri;

ii. program/projek yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi;

iii. program/projek yang dapat menambahkan peluang pekerjaan;

iv. program/projek yang dapat menggalakkan perkembangan industri sama ada industri pembuatan, pelancongan dan sebagainya; dan

v. program/projek yang membolehkan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa tercapai.

4. Adalah disedia maklum bahawa dalam proses penggubalan sesuatu dokumen rasmi, Kerajaan memberikan ruang kepada penglibatan semua pihak baik dari sektor awam mahupun swasta, pihak stakeholders dan pelanggan bagi mendapatkan input yang komprehensif dan tepat dalam merangka program/projek dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun.

5. Namun begitu, saya ingin melahirkan rasa kekecewaan dalam hal ini kerana daripada peringkat awal penggubalan RMKe-10, Kerajaan Negeri tidak dilibatkan langsung. Justeru, senarai program/projek yang telah dikemukakan kepada pihak UPE, JPM pada 25 Februari 2010 hanyalah meliputi jabatan dan agensi negeri sahaja tidak termasuk jabatan dan agensi persekutuan di negeri Pulau Pinang. Selanjutnya, dalam memuktamadkan senarai program/projek RMKe-10 bagi Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri (Unit Perancang Ekonomi) tidak dijemput langsung dan sudah semestinya ianya memberi kesan kepada ketetapan fokus pembangunan.

6. Kegagalan melibatkan kerajaan dan agensi Negeri Pulau Pinang boleh dilihat sebagai satu tindakan partisan yang tidak sihat. Sebagai negeri yang menyumbang 31% daripada nilai eksport negara, peranan penting Pulau Pinang tidak harus diketepikan.

7. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri amat menaruh harapan yang tinggi agar peruntukan RMKe-10 yang bakal diagihkan kepada Negeri Pulau Pinang akan dipertimbangkan secara adil dan saksama. Oleh yang demikian, sebarang usaha untuk memuktamadkan program/projek pembangunan di bawah RMKe-10 oleh Yang Amat Berhormat Dato?Sri dapat diberikan peluang penglibatan Kerajaan Negeri demi kemajuan negeri dan kesejahteraan penduduk Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

 

 

"CEKAP, AKAUNTABILITI DAN TELUS"
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

 

 

 

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang

*Lampiran surat yang dihantar kepada Perdana Menteri(PDF)


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional