Ucapan oleh Lau Weng San semasa membahas Bajet 2011 Negeri Selangor pada hari Selasa, 9hb November 2010: Ucapan semasa membahas Bajet 2011 Negeri Selangor Pendahuluan Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar kerana telah membentangkan bejet kerajaan negeri Selangor tahun 2011 semalam. Selintas lalu, Bajet 2011 merupakan satu bajet yang berupa kesinambungan daripada bejat-bajet yang dibentangkan sebelum ini dan ianya berdasarkan konsep kerajaan negeri Selangor sejak 2008, iaitu "Merakyatkan Ekonomi Rakyat". Bajet 2011 memang tidak mencanangkan hasrat pembinaan bangunan setinggi 100 tingkat, ianya juga tidak seperti bajet kerajaan persekutuan yang disarat dengan dasar-dasar populist, walaupun begitu, dengan saiz sekitar RM1.4 bilion, Bajet 2011 kerajaan Selangor menjanjikan pulangan kepada rakyat secara keseluruhan dari jangka panjang dan pendek. Malahan saya berpendapat pujian harus diberi kerana nampaknya apa yang dicanangkan oleh kerajaan Selangor dua tahun yang lalu, termasuk cuti salin 90 hari, pembaharuan bandar, pembersihan Sungai Klang, kenaikan elaun kepada guru KAFA dan banyak lagi sekarang sudah menjadi sebahagian daripada program kerajaan persekutuan. Tahniah kerana Selangor sekali lagi menerajui perubahan dan kali ini kita berada di hadapan kerajaan persekutuan. Masalah sosial orang India Perkara pertama yang saya ingin bangkitkan di sini ialah masalah sosial yang dihadapi oleh golongan minoriti di Selangor - masyarakat India. Masalah sosial seperti kadar pengangguran tinggi di kalangan pemuda-pemudi India, taraf pendidikan yang rendah serta pendapatan isirumah yang rendah dan masalah-masalah lain yang dihadapi oleh masyarakat India sehingga sekarang masih belum dapat diselesaikan. Pada tahun lalu, mesyarakat Selangor dikejutkan dengan percubaan membunuh diri oleh kakak mendiang R. Surendran yang ditembak mati polis di Taman Klang Utama, sekaligus mendedahkan masalah sosial India di Selangor yang memerlukan perhatian khas Kerajaan Negeri. R. Surendran bersama-sama dengan lima orang suspek jenayah berketurunan India mati ditembak polis di Taman Klang Utama. Polis mendakwa kelima-lima mereka yang berusia 17 hingga 30 tahun adalah anggota geng 'PCO Boy', yang terlibat dalam beberapa kejadian rompakan. Kakak kepada mendiang R. Surendran cuba membunuh diri dengan minum racun atas kesedihan yang amat sangat selepas kehilangan adiknya yang mati ditembak polis. Wanita berkenaan dikatakan turut memberi minum racun itu kepada empat orang anaknya. Kejadian ini sekali lagi menunjukkan betapa seriousnya masalah sosial yang melanda masyarakat India di Selangor. Kerajaan harus melihat masalah ini sebagai masalah yang kita hadapi dan tidak melihat ia sebagai masyarakat orang India sahaja. Ini sama juga dengan masalah sosial yang sedang dihadapi dengan pemuda-pemudi Melayu yang terjerumus dengan gejala Mat Rempit dan Mat Minah. Masalah-masalah sosial ini akan terus mengugat ketenteraman dan kestabilan sosial negeri Selangor. Jikalau ianya dibiarkan berpanjangan, ianya akan memberi impak jangka panjang terhadap prestasi ekonomi Selangor. Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu melakukan sesuatu untuk membangunkan masyarakat ini dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran sosial. Selain daripada peruntukan untuk membantu SJKT, peruntukan kepada kuil dan institusi-institusi kebudayaan India, satu pendekatan yang lebih efisyen diperlukan agar dapat menghasilkan satu lonjatan kuantum (quantum leap) dalam menaik-taraf kehidupan masyarakat ini. Pendidikan merupakan satu aspek penting dalam membina modal insan yang berkualiti tinggi. Saya menggesa kerajaan supaya mempercepatkan proses pemberian tanah kepada SJKT di Selangor untuk membina sekolah mereka. Selain itu, kerajaan turut boleh membuat pewartaan kepada SJKT-SJKT yang ada di Selangor supaya sekolah-sekolah ini tidak terus hilang apabila estet atau ladang dibersihkan untuk pembangunan. Kerajaan tidak harus lupa fakta bahawa lebih setengah daripada pekerja-pekerja ladang dan estet di negeri Selangor terdiri daripada warga asing. Mungkin pada masa dahulu mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada warga India tetapi ianya sudah berubah dalam masa sepuluh tahun yang lalu. Kini pekerja-pekerja ini telah berhijrah ke kawasan bandar. Saya masih ingat terdapat seorang penduduk India di flat Impian Baiduri, DUN Taman Medan yang datang ke pejabat saya untuk bantuan kebajikan. Saya dapat mengenal beliau kerana beliau sering datang ke pejabat saya. Walaupun beliau merupakan penduduk di Impian Baiduri, tetapi beliau berasal dari Ijok dan merupakan pengundi di DUN Ijok, iaitu kawasan YAB Menteri Besar sendiri. Beliau menghadapi masalah untuk menghantar anaknya ke sekolah kerana beliau menganggur sedangkan anaknya amat cemerlang dari segi akademik. Saya pasti kepincangan sedemikian rupa juga berlaku kepada urban poor yang lain dan saya menggesa kerajaan untuk mengkaji keberkesanan Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang. Saya sempat membaca tentang beberapa program yang telah dilaksanakan di bawah tabung ini seperti
Pada pendapat saya program-program di bawah Tabung ini perlu dirancakkan dan disemarakkan supaya rakyat mengetahui tentang program-program yang dijalankan ini. Selain itu saya menggesa kerajaan untuk memberi nama baru kepada tabung ini memandangkan kebanyakkan golongan bawahan masyarakat India sudah berhijrah ke kawasan bandar, maka saya melihat adalah perlu untuk kerajaan menukarbentuk Tabung ini supaya kebajikan golongan yang saya maksudkan ini terbela. Saya turut meminta Jawatankuasa Membanteras Masalah Sosial yang didirikan di bahawa portfolio pembangunan insan untuk menilai kembali keberkesanan program-program yang dirancang dengan membekalkan secara bertulis kepada Dewan Yang Mulia ini senarai program yang telah dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah sosial di kalangan masyarakat India. Masalah kemiskinan bandar Saya juga meminta kerajaan untuk meninjau cadangan sama ada mungkin kita menyerap golongan ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk berkhidmat dengan PBT secara kontrak sebagai pembersih bangunan, jalan dan longkang yang diuruskan/dimiliki oleh PBT. Daripada membayar wang berjuta-juta ringgit kepada Alam Flora yang seringkali dikritik, mengapa PBT tidak mengambil golongan ini dengan membayar gaji terus-menerus kepada mereka tanpa melalui kontraktor? Ini akan mengurangkan kebergantungan PBT kepada Alam Flora, mengurangkan perbelanjaan PBT dan sekaligus meningkatkan taraf hidup golongan ibu tunggal dan kelas bawahan. Pembangunan semula bandar di Petaling Jaya berjalan dengan perlahan Saya ingin menyentuh tentang program pembangunan semula bandar dan program pembaharuan bandar yang diumumkan oleh Kerajaan Selangor sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan Selangor pada tahun 2009. Sementara kerajaan menumpukan perhatian kepada pembaharuan Bandar Klang sebagai Bandar DiRaja yang dikomplimen dengan pembersihan Sungai Klang, saya ingin menarik perhatian kerajaan tentang program pembangunan semula yang berjalan dengan perlahan di Petaling Jaya. Terdapat beberapa kawasan di Bandar Petaling Jaya yang memerlukan pembangunan semula. Kawasan-kawasan ini sama ada telah uzur, menjadi semakin tidak "livable" ataupun telah bertukar wajah menjadi penempatan warga asing. Saya menggesa kepada kerajaan untuk menyiasat kerana terdapat banyak tanah yang berpoket-poket di Petaling Jaya sama ada masih belum dibangunkan ataupun dibiarkan begitu sahaja walaupun mempunyai hakmilik. Terdapat juga bangunan-bangunan yang sekarang sudah menjadi bangunan hantu. Tempat-tempat ini termasuk lah beberapa kawasan lapang di SS2, Sea Park dan sebagainya. Justeru itu, kerajaan harus memainkan peranan yang proaktif untuk membangunkan tanah-tanah ini supaya seluruh bandar Petaling Jaya menjadi bandar yang berdaya maju. Pembangunan modal insan Pembangunan modal insan di Selangor harus mengambil kira penarikan balik golongan cendekiawan untuk berkhidmat di Malaysia amnya dan Selangor khasnya. Untuk tahun 2011, kerajaan telah memperuntukkan RM7.8 juta untuk 390 program, latihan dan kursus di bawah Jawatankuasa Tetap pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Perkara pertama yang saya ingin sentuh ialah koleksi buku di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) perlu diperbanyakkan dan dipelbagaikan. Koleksi buku berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin masih berada dalam peratusan yang sangat rendah dan PPAS perlu menggiatkan usahanya untuk menambahkan koleksi bukunya dalam bahasa-bahasa lain. Saya mencadangkan PPAS untuk mengadakan program anjuran bersama dengan NGO, JKKK dan lain-lain. Saya turut berasa gembira dengan beberapa perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara UNISEL dengan beberapa universiti-universiti terkemuka di dunia. Namun begitu, kerjasama ini tidak harus setakat menandatangani perjanjian persefahman dan perlanjutan pengajian mahasiswa-mahasiswi UNISEL ke universiti-universiti ini yang memang terkenal dengan ilmu teknikalnya, malahan UNISEL harus bersaing dengan unversiti-unversiti terkemuka ini dan membandingkan diri dengan mereka. Saya berharap UNISEL dapat mengambil bahagian dalam kajian-kajian yang dijalankan oleh badan-badan akademik antarabangsa supaya UNISEL dapat mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada padanya agar UNISEL dapat berkembang menjadi sebuah universiti teknikal yang berprestij di persada antarabangsa. Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mengambil langkah proaktif bersama-sama dengan kerajaan persekutuan untuk menarik balik profesional warga Malaysia yang berkhidmat di luar negara untuk kembali berkhidmat di Malaysia dan Selangor khasnya. Untuk rakyat Malaysia/anak Selangor yang telah berhijrah ke luar negara, kita tidak harus berputus asa kerana saya percaya kita masih boleh menggunakan jaringan network yang ada pada mereka untuk menarik pelaburan ke Malaysia dan Selangor khasnya. Cadangan saya ini sebenarnya diambil daripada negara jiran Singapura yang telah mengadakan satu jaringan antara sektor swasta dan awam di Singapura dengan rakyat Singapura yang telah berhijrah ke luar negara. Malahan satu laman web http://www.majulahconnection.com/ telah diadakan untuk memainkan peranan ini. Justeru itu, saya menggesa Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan dan jawatankuasa Tetap Pelaburan untuk mengkaji cadangan ini. Kempen tanpa beg plastik perlu diperluaskan Walaupun kempen tanpa beg plastik telah dilancarkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu, tetapi masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian. Penggunaan beg plastik masih popular di kalangan pembeli. Justeru itu, adalah perlu untuk kerajaan negeri memperluaskan kempen ini ke pasar-pasar yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Semasa program ini dilancarkan pada awal tahun 2010, kerajaan berkata satu kajian akan dijalankan selepas enam bulan kempen ini dilancarkan berdasarkan maklum balas daripada para peruncit. Terdapat juga cadangan supaya para peniaga akan dikenakan syarat di mana mereka yang tidak mengambil bahagian dalam kempen ini tidak akan dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka dengan PBT. Saya berpendapat bahawa sebelum kita tergesa-gesa melaksanakan dasar ini, satu kajian teperinci perlu dilakukan tentang keberkesanan kempen ini, iaitu setakat mana kempen ini telah membantu mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri Selangor. Jika tidak, kita tidak akan tahu sejauh mana kempen ini telah membantu kerajaan negeri mengurangkan penggunaan beg plastik. Selain itu, perlunya ketelusan dalam pengurusan tabung yang disumbangkan oleh 20 sen setiap satu beg plastik yang dibayar para pembeli setiap hari Sabtu. Sehingga sekarang, rakyat negeri Selangor tidak dimaklumkan tentang ke mana perginya wang 20 sen setiap satu beg plastik yang dibayar dan saya menggesa kerajaan negeri untuk membuat pengumuman dari semasa ke semasa tentang wang yang dibayar oleh para pembeli. Secara keseluruhannya, kempen tanpa beg plastik merupakan satu dasar yang baik daripada kerajaan Selangor. Walaupun begitu, kelemahan-kelemahan yang terdedah semasa pelaksanaannya, seperti apa yang saya terangkan sebentar tadi, perlu diperbetulkan dengan segera. Kerajaan juga harus menggalakkan penghasilan beg plastik yang boleh dibiodegradasi. Buat masa sekarang, beg-beg plastik yang mesra alam sekitar ini hanya diguna oleh pasaraya-pasaraya besar sahaja manakala peniaga-peniaga kecil masih menggunakan beg-beg plastik yang kurang mesra alam sekitar atau lebih teruk lagi, langsung tidak mesra alam sekitar. Maka saya menggesa kerajaan untuk meninjau cara-cara yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan penggunaan beg-beg plastik yang mesra alam sekitar dan mengurangkan atau mengharamkan penggunaan beg-beg plastik yang langsung tidak mesra alam sekitar. Kerajaan juga perlu lebih kreatif dan mencontohi kerajaan-kerajaan tempatan di luar negara. Apa yang boleh dicontohi ialah kerajaan tempatan mempelopori kempen ini dengan mengeluarkan beg-beg plastik mesra alam sekitar dan disyaratkan untuk digunakan oleh peniaga-peniaga di kawasan pentadbirannya. Beg-beg plastik ini juga boleh digunakan untuk membungkus sampah dan mana-mana beg sampah yang tidak dibungkus oleh beg plastik khas ini tidak akan dikutip. Saya percaya kos beg plastik mesra alam sekitar ini akan berkurang jikalau ianya dapat dihasilkan dan digunakan secara pukal di bawah kawalan PBT. Industri pelancongan di kawasan pesisiran pantai Selangor Dalam membangunkan industri pelancongan di negeri Selangor, kita tidak boleh menafikan bahawa di negeri Selangor, khususnya di kawasan pesisiran pantai Selangor masih mempunyai banyak potensi untuk mengembangkan industri eko-pelancongan. Potensi pelancongan yang ada:
Contohnya di kawasan Tanjung Sepat dan Morib semakin popular dan dikenali sebagai kawasan pelancongan, kawasan-kawasan ini begitu berjaya sehingga berjaya menarik kunjungan pelancong dengan rekod sebanyak 80 buah bas pelancong dalam sehari. Oleh itu, saya meminta kerajaan negeri berikhtiar menaiktaraf jalan-jalan di kawasan ini dan melengkapi dengan lampu jalan supaya ianya dapat menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini. Kebajikan Orang Asli Saya pernah membangkitkan beberapa soalan bertulis dan lisan sebelum ini di Dewan Yang Mulia ini berkenaan dengan pencapaian-pencapaian yang telah dikecapi oleh Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor. Saya menggesa kerajaan supaya sentiasa bertanggungjawab kepada Dewan Yang Mulia ini dengan membentangkan laporan dari semasa ke semasa berkenaan dengan kerja dan pencapaian-pencapaian badan bertindak ini. Saya berpendapat bahawa wakil rakyat dan orang ramai harus diberitahu kerana ramai tidak begitu mengetahui apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu mempertingkatkan taraf kehidupan orang asli di Selangor. Dengan ini juga, adalah mudah untuk wakil-wakil rakyat yang mempunyai penempatan orang asli di kawasan mereka memantau program-program kerajaan negeri di perkampungan orang asli kawasan mereka. Pembentangan laporan yang dimaksudkan ini juga akan membantu orang ramai dan wakil rakyat untuk mengetahui apa yang belum dilakukan oleh kerajaan untuk membantu masyarakat orang asli supaya wakil rakyat dapat merancang program-program mereka di kawasan orang asli. Sistem 10-90 Bina Dahulu Jual Kemudian Dalam Perumahan Sehingga sekarang, kerajaan negeri Selangor masih dibelenggu dengan berpuluh-puluh projek perumahan dan pembangunan hartanah yang terbengkalai. Kerajaan Selangor membazikan sumber kewangan dan tenaga manusia yang banyak untuk memulihkan projek-projek yang terbengkalai ini dan ini seharusnya memberi ikhtibar kepada kita semua bahawa sekarang sudah sampai masanya untuk melaksanakan sistem 10-90 Bina Dahulu Jual Kemudian ataupun lebih dikenali sebagai "Build-Then-Sell" oleh industri perumahan. Sistem yang masih diamalkan sekarang, iaitu sistem Jual Dahulu Bina Kemudian atau "Sell-Then-Build" memang merugikan para pembeli rumah kerana pemberi rumah yang tidak bernasib baik perlu membayar balik pinjaman wang dan mereka masih tidak dapat rumah mereka. Sementara waktu, mereka perlu membayar sewa rumah di tempat yang lain dan ini adalah amat tidak adil buat pembeli-pembeli rumah. Keadaan akan bertambah teruk jikalau pemaju yang terlibat menggulung tikar. Saya lihat kerajaan Selangor akan terus-menerus dihantui oleh masalah rumah terbengkalai jikalau sistem "Build-Then-Sell" tidak dilaksanakan. Justeru itu, konsep "Build-Then-Sell" merupakan jawapan kepada kepincangan ini kerana segala para pembeli rumah akan dilindungi, manakala kerajaan tidak begitu terlibat kerana impak negatif terhadap pembeli rumah telah banyak dikurangkan. Oleh itu pemaju yang terlibat dengan bank yang bertanggungjawab untuk memulihkan projek-projek terbengkalai ini. Ini secara tidak langsung akan memastikan hanya pemaju yang bertanggungjawab dan berkemampuan sahaja yang dapat menjalankan sesuatu projek perumahan. Saya menggesa kerajaan Selangor untuk memimpin perubahan ini dan tidak perlu menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana kebenaran berkenaan dengan pembangunan bergantung kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan kedua-duanya terletak di bawah kuasa negeri. * Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku
|