red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Seremban pada hari Jumaat, 1hb Oktober 2010:

Respon kepada Ketua Penerangan Pemuda UMNO Reezal Merican

Saya merujuk kepada laporan dalam The Malaysian Insider pada 1 Oktober 2010 yang bertajuk "Wang ihsan: Umno minta Loke jangan 'bising, bukan orang Pulau Pinang" yang memetik Ketua Penerangan Pemuda UMNO Datuk Seri Reezal Merican yang menyifatkan saya tidak mempunyai hak untuk bersuara dalam isu tersebut kerana ini adalah isu Pulau Pinang dan saya bukan anak Pulau Pinang.

Saya berasa amat lucu dengan maklum balas daripada Reezal kerana ini menunjukkan beliau tidak mampu menjawab hujah saya bahawa Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional telah menggunakan sumber hasil perjudian sejak merdeka lagi. Reezal bukan sahaja buta maklumat dan hipokrit, malah saya menyifatkan beliau juga seorang yang buta perlembagaan.

Bukankah hak bersuara setiap warganegara Malaysia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia? Bukankah Pulau Pinang sebahagian daripada Persekutuan Malaysia? Jadi, mengapa sebagai warganegara Malaysia saya dinafikan hak saya oleh Reezal untuk bersuara tentang sesuatu isu yang bangkit di sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia?

Saya cadangkan Reezal untuk menggunakan masanya sebaik-baik untuk memahami Perlembagaan Malaysia terlebih dahulu daripada terus membuat tohmahan dan fitnah terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Kalau mengikut logik Reezal bahawa seseorang yang bukan anak Pulau Pinang tidak berhak bersuara tentang hal-ehwal Pulau Pinang, saya ingin bertanya kepada Reezal sama ada beliau juga mencadangkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak ada hak untuk member komen tentang isu wang ehsan Kerajaan Pulalu Pinang kerana Muhyiddin juga bukan anak Pulau Pinang dan berasal dari Johor.

DAPSY akan terus bersuara untuk mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat dan membongkar sikap hipokrit pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Reezal Merican. Pemimpin UMNO Pulau Pinang sepatutnya insaf dengan kebodohan mereka untuk terus membangkitkan isu wang ehsan Kerajaan Pulau Pinang untuk fakir miskin kerana daripada 100,000 warga emas Pulau Pinang yang telah menerima wang saguhati RM100 dari Kerajaan Negeri, UMNO hanya mampu mendapat 40 warga emas untuk memulangkan wang tersebut. Itu hanya 0.04% daripada mereka yang memberi keyakinan kepada Kerajaan Pulau Pinang. 40 orang tersebut juga disyaki diperdaya oleh UMNO Pulau Pinang.

Untuk makluman Reezal juga, saya rakyat Malaysia dahulu dan rakyat Negeri Sembilan kemudian. Mungkin beliau rakyat Pulau Pinang terlebih dahulu, rakyat Malaysia kemudian? Kegagalan "Satu Malaysia" lagi!


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional