red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Usul tergempar oleh Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Isnin, 11hb Oktober 2010: 

Usul tergempar di Parlimen atas guru besar yang bersikap racis

Yang di Pertua
Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia

YB Tan Sri,

Per: Notis di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2)

Ini adalah untuk memberikan notis di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) untuk mengusulkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan seperti berikut:

“Bahawa Dewan mengizinkan YB Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Ipoh Timor untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendaki disegerakan, iaitu dua orang guru besar dari Kulai, Johor dan Bukit Selayang, Kedah yang melafazkan kata-kata racis dan menghina terhadap pelajar-pelajar mereka di sekolah dalam bulan Ogos tahun ini, sehingga kini tidak dikutuk atau diambil tindakan displin sekeras-kerasnya oleh pihak yang berkenaan selaras dengan semangat 1Malaysia.

“Dua bulan selepas guru-guru besar dari Kulai dan Bukit Selayang berkenaan – yang antara lain, melabelkan pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah mereka sebagai 'pendatang', menggesa pejalar-pelajar kaum Cina supaya 'balik Cina', serta membandingkan benang sembahyang yang dipakai oleh pelajar beragama Hindu sebagai pengikat anjing – menunjukkan sikap racis tidak sejajar dengan jawatan mereka sebagai pendidik yang berkredibel, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran masih berkeras bahawa beliau tidak berdaya mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan, sebaliknya mengizinkan kedua-dua guru besar yang berkenaan meneruskan tugas mereka seperti sediakala. Di samping itu, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan yang mengeluarkan pekeliling kepada semua guru-guru besar dan guru-guru dalam bulan Ogos untuk memberikan amaran bahawa 'tindakan akan dikenakan ke atas mereka yang mengeluarkan kata-kata racis di sekolah', tidak pula mengenakan tindakan displin ke atas kedua-dua guru besar yang berkenaan sehingga kini, menunjukkan tidak ujud iltizam politik atau falsafah pentadbiran yang betul dalam negara ini untuk membanteras ketaasuban perkauman.

“Semua ini merupakan sindiran langsung terhadap tema hari kebangsaan tahun ini iaitu '1 Malaysia Menjana Transformasi' serta membelakangkan perisytiharan 'toleransi sifar terhadap rasisma' Perdana Menteri sendiri.

“Pada masa apabila Perdana Menteri cuba mengamalkan dasar '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', seluruh pasukan pentadbiran beliau nampaknya tidak serius langsung terhadap dasar berkenaan, malah lebih cenderung untuk mendahulukan budaya rasis Biro Tata Negara – atau lebih tepat sekali, Biro Tentang Negara – yang meracuni generasi muda dan para pendidik kita selama ini dengan mesej rasis yang songsang dan lebih merupakan 'Trojan Horse' dalam usaha kita mencapai perpaduan negara.

“Perdana Menteri yang baru pulang dari Mesyuarat Asia-Eropak Ke-lapan di Brussels telah membangkitkan sekali lagi gesaan beliau di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini supaya diujudkan pergerakan sederhana global semua agama yang memainkan peranan penting di dunia yang kini menghadapi ancaman melampau. Gesaan ini sesuai sekali diulangi di negara kita sendiri yang kini semakin terancam oleh anasir-anasir ketaasuban rasis dan pelampau agama yang mengancam ketenteraman negara serta menggoncang semangat majmuk yang merupakan batu asas Malaysia.”

 

 

 

Yang benar,

Lim Kit Siang
Ipoh Timur


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional