red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://liewchintong.com/ 

 

 

Perutusan Syawal 1431 Hijriah Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Liew Chin Tong pada hari Khamis, 9hb September 2010:

Perutusan Syawal 1431 Hijriah Ahli Parlimen Bukit Bendera, YB Liew Chin Tong

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir & batin kepada umat Islam di kawasan Bukit Bendera. Marilah kita perkuatkan azam dan tekad untuk memperbaharui perpaduan serta bersama-sama menolak politik perkauman bagi membina sebuah negara yang penuh nilai-nilai murni seperti adil, amanah dan sejahtera.

Saya berharap semoga 1 Syawal 1431H akan membawa kegembiraan kepada semua sebagai tanda meraikan kejayaan menahan diri dari membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan termasuk makan dan minum di siang hari selama sebulan, yang saya anggap bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tanpa taqwa yang tinggi kepada Tuhan.

Saya juga berharap sanak saudara dapat berkumpul di hari yang mulia ini untuk merapatkan silaturahim dan mempereratkan hubungan yang mungkin agak renggang ekoran komitmen masing-masing dalam kerjaya, hal-hal keluarga dan sebagainya.

Bagi masyarakat bukan Islam, hari raya adalah masa terbaik untuk mempereratkan hubungan dengan masyarakat Islam di negara ini dengan menghadiri majlis rumah terbuka selain berpeluang untuk mendalami budaya hidup masyarakat Melayu di negara ini.

Akhir kata, sekali lagi, saya bagi pihak seluruh warga kerja kerusi Parlimen Bukit Bendera ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua dan semoga kegembiraan dan kebahagian muncul dan sentiasa ada bersama-sama kita semua.


* Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional