http://lokesiewfook.blogspot.com/
Surat terbuka kepada Ketua Penerangan UMNO, En. Reezal Merican oleh Loke Siew Fook pada hari Isnin, 27hb September 2010: Surat terbuka kepada Ketua Penerangan UMNO, En. Reezal Merican 27 September 2010 En Reezal Merican, Saya merujuk kepada kenyataan En Reezal (Utusan Malaysia, m/s 7, 27 September 2010) yang terus melakukan fitnah dan tohmahan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana sumber perjudian untuk program pembasmian kemiskinan orang-orang Islam di negeri tersebut. Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menafikan dakwaan tersebut dan memberikan penjelasan mengenai sumber dana yang digunakan untuk program membantu rakyat miskin, namun En Reezal nampaknya tidak berminat untuk mendengar fakta dan terus menggunakan taktik kotor untuk memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat. Saya tidak berasa hairan mengapa En Reezal berbuat sedemikian kerana sememangnya anda dan parti anda telah bankrap idea politik dan ketandusan isu di Pulau Pinang dan terpaksa bergantung kepada senjata fitnah untuk kekal relevan di negeri tersebut. Namun, yang menjadi bahan ketawa kepada rakyat umum ialah cara En Reezal mempermainkan isu ini yang menunjukkan tahap hipokrasi anda pada tahap yang paling tinggi. Apakah En Reezal yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang terdahulu tidak mengetahui bahawa semua bentuk hasil cukai perjudian dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan di bawah Kerajaan Persekutuan? Sekiranya En Reezal dan rakan-rakan anda dalam Pemuda UMNO begitu cetek pengetahuannya, biar saya menyalurkan sedikit maklumat kepada anda dan rakan-rakan anda. Soalan saya di Sidang Dewan Rakyat pada 9 Jun 2010 yang lalu berbunyi; Tuan Loke Siew Fook (Rasah) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada hasil cukai perjudian diasingkan daripada Akaun Hasil Disatukan, mekanisme untuk menguruskan hasil judi, kegunaan hasil ini dan berapa peratuskah hasil ini disalurkan untuk menangani masalah sosial akibat daripada masalah perjudian. JAWAPAN:
Saya yakin En Reezal fasih dalam Bahasa Malaysia dan boleh memahami maksud jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Presiden parti yang diwakili oleh En Reezal. Untuk maklumat En Reezal juga, hasil cukai perjudian yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional adalah berjumlah RM2.3 billion sepanjang tahun 2009. Ini termasuklah cukai daripada kasino di Genting, cukai pertaruhan dari nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan sebagainya. Angka ini juga bukan direka oleh saya tetapi telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Awang Adek di Dewan Rakyat pada tempoh hari. Untuk rekod, Senator Awang Adek juga merupakan pemimpin daripada parti yang sama dengan En Reezal. Jadi, untuk pengetahuan En Reezal, sebahagian perbelanjaan mengurus negara dan perbelanjaan pembangunan adalah dari sumber hasil perjudian yang dikatakan haram oleh En Reezal. Ini termasuklah elaun dan gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti kesayangan En Reezal! Sama ada ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan pemimpin-pemimpin parti UMNO, terpulanglah kepada kebijaksanaan En Reezal untuk membuat kesimpulan! Sekian dimaklumkan, terima kasih. "MALAYSIAN FIRST" Berkhidmat untuk rakyat, LOKE SIEW FOOK Ketua Pemuda Sosialis DAP Dan Ahli Parlimen Rasah * Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah
|