red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Teks ucapan oleh Lim Guan Eng di Program Pembersihan Pantai sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth dan Majlis Pelancaran http://greenstate.penang.gov.my/ pada pukul 7.30 pagi, hari Sabtu, 25hb September 2010: 

Teks ucapan di Program Pembersihan Pantai sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa dan Majlis Pelancaran http://greenstate.penang.gov.my/ 

Salam hormat dan selamat sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, Selamat pagi,

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada para hadirin sekalian kerana dapat hadir bersama di pagi ini bagi menjayakan Program Pembersihan Pantai Antarabangsa pada hari ini. Program ini juga diadakan serentak dengan 100 lebih buah negara di seluruh dunia. Sekali lagi, selaras dengan usaha kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang negeri bertaraf antarabangsa maka kita menyertai usaha klobal membersihkan pantai dan memelihara alam sekitar.

Pada pagi ini kita bersama-sama berada di Pantai Robina, Teluk Air Tawar dan Pantai Bersih bagi menyaksikan satu lagi usaha kerajaan untuk mengumpulkan Tuan-tuan dan Puan-puan untuk bersama dalam usaha untuk mengembalikan keceriaan persisiran Pantai di Pulau Pinang.

Pulau Pinang yang dikelilingi oleh laut di bahagian Pulau dan sebahagian di daratan semenanjung, seperti dimana kita berada sekarang ini, mempunyai pantai-pantai yang menarik yang panjangnya sekitar 201.4km di kepulauan Pulau Pinang, dan 8.3km di pulau-pulau kecil seperti Pulau Jerejak, Pulau Aman dan Pulau Rimau , dan 66.4 km di bahagian daratan di Seberang Perai.

Daripada itu, persisiran pantai Seberang Perai sepanjang 30 km merupakan kawasan pantai berpasir yang sesuai untuk berkelah dan riadah, 70 km kawasan bakau merupakan kawasan sumber pembiakan ikan, 30 km kawasan pembangunan pelabuhan, 40 km kawasan berlumpur dan 20km kawasan berbatu. Kita juga mempunyai 150 sistem sungai yang mengalir ke laut.

Maka dengan ini saya ingin menyeru semua pihak, penduduk tempatan dan orang ramai yang sering berkunjung ke pantai-pantai di Pulau Pinang, agar bersama dengan Kerajaan Negeri dan semua Agensi serta NGO agar turut serta untuk memelihara kebersihan dan keindahan pantai di Pulau Pinang, atau setidak-tidaknya membantu dengan menjaga kebersihan semasa mengunjung ke pantai-pantai di Pulau Pinang.

Maka dengan itu saya turut menyeru mereka di kawasan tersebut untuk membantu dalam menjaga alam sekitar, yang mana sekiranya kawasan sekitar tuan-tuan kalau tidak dijaga akan akhirnya menjejaskan pantai kita, dan akan turut menjejaskan imej Negeri Pulau Pinang yang kita cintai.

Para hadirin sekalian, saya difahamkan JPS telah menyiapkan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu ( ISMP, Integrated Shoreline Management Plan). Pelan ini akan membantu para perancang yang akan melaksanakan pembangunan di zon persisiran pantai.

Dengan garispanduan yang disediakan ini saya yakin dan percaya segala pembangunan yang akan dilaksanakan di zon persisiran pantai akan mengambilkira segala aspek termasuk kualiti alam sekitar di persisiran pantai Pulau Pinang.

Saya ingin tekankan bahawa apa yang akan kita lakukan bersama pada pagi ini merupakan penyelesaian bukan struktur (non-structural measures). Ini merupakan sesuatu usaha yang tidak boleh dibeli atau dibina, melainkan dengan komitmen dan kerjasama penuh dari semua pihak. Pihak kerajaan boleh mengadakan pendekatan undang-undang dalam pelaksanaan ini, tetapi saya masih percaya kepada pendekatan kerjasama dan kefahaman kepentingan usaha ini, kerana kejayaan usaha ini, merupakan satu kejayaan kepada penduduk P.Pinang secara keseluruhan.

Dato'-Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya muliakan, Sekali lagi saya menyeru marilah kita mengubah sikap dan memberi komitmen yang serius kepada penjagaan alam sekitar kita khususnya kepada sungai dan pantai dan biarlah ianya menjadi gaya hidup seharian kita dalam usaha murni ini.

Akhir sekali, saya ingin merakam setinggi penghargaan kepada MPSP, USM, Nokia, Toray, dan semua ahli jawatankuasa yang telah berjaya menganjurkan program pembersihan pantai pada pagi ini.

Dengan ini, saya merasmikan Pelancaran Program Pembersihan Pantai Taman Robina dan Pantai Bersih, Telok Air Tawar, Pulau Pinang. Sekian terima kasih.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional