red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan oleh Lau Weng San semasa membahas Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JPK-PADAT) di Shah Alam pada hari Jumaat, 1hb April 2011:

Kerajaan Selangor masih perlu melibat-gandakan usahanya dalam melicinkan pentadbiran tanah

Saya telah meneliti Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah dan saya mempunyai dua perasaan yang berbeza. Perasaan pertama ialah perasaan gembira dan besar hati, perasaan yang kedua ialah perasaan risau.

Saya berasa gembira dan besar hati kerana Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah telah melakukan tugas mereka untuk menyiasat dan membentangkan laporan yang merangkumi semua masalah yang berlaku di setiap Pejabat Tanah dan Daerah dengan begitu ringkas tetapi menyeluruh.

Saya berasa risau kerana masalah bertimbun-timbun masih ada di Pejabat Tanah dan Daerah dan saya risau ianya akan menjejaskan imej Kerajaan Pakatan di Selangor dan seterusnya menjejaskan iklim pelaburan di Selangor. Masalah-masalah khususnya masalah-masalah yang berkenaan dengan sistem pengurusan tanah secara elektronik perlu diselesaikan dengan cepat:

  • Kesukaran mengesan pemilik tanah terutamanya yang melibatkan geran-geran lama

  • Alamat tidak lengkap atau telah berpindah menyebabkan bil-bil tidak sampai dan dipulangkan ke Pejabat Daerah

  • Lokasi tanah sukar dikesan kerana lot dalam cukai tanah berbeza dengan lot di bahagian pelan

  • Hak milik wujud dalam Sistem Pungutan Hasil tanah (SPHT) tetapi tidak wujud dalam Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). SPHT juga sering menghadapi masalah.

  • Masalah tunggakan hasil tanah oleh anak-anak syarikat kerajaan.

Kerajaan negeri perlu memberi tumpuan khas untuk menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan SPHT dan SPTB.

Saya juga meminta supaya kerajaan menetapkan tempoh masa tertentu untuk melaksanakan syor-syor daripada Jawatankuasa ini kerana ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaj selepas ini tetapi tindakan perlu diambil untuk melaksanakan satu persatu cadangan-cadangan Jawatankuasa ini.

Sebagai satu permulaan, saya mencadangkan supaya pihak berkuasa negeri diberi masa dua tahun untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan dengan pengurusan tanah secara elektronik, khususnya masalah-masalah yang melibatkan SPHT dan SPTB.

Yang kedua, kerajaan harus memperbaiki pentadbiran pejabat tanah dan daerah. Saya masih ingat tiga tahun yang lalu kerajaan menubuhkan task force tanah dan beberapa cadangan telah dibawa oleh task force berkenaan untuk memperbaiki pentadbiran tanah di Selangor. Adakah cadangan-cadangan ini telah diambil kira dan jika tidak, mengapa?

Ketiga, kerajaan harus juga belajar daripada negara-negara maju khususnya negara-negara Komanwel yang mempunyai sejarah pentadbiran tanah yang sama. Salah satu contoh yang bagus ialah Singapura yang mempunyai sejarah pentadbiran tanah yang sama dengan kita tetapi mereka mampu untuk memperbaiki dan melincinkan pentadbiran tanah mereka sehingga kejayaan mereka mentadbir negara mereka menjadi buah mulut warga antarabangsa.

Akhir sekali, saya ingin menyebut tentang saranan untuk menubuhkan Bank Data Tanah yang bertujuan untuk memudahkan pengurusan di samping merancang pembangunan setara di seluruh Selangor. Saya berpendapat bahawa kita tidak boleh berangan bahawa masalah tanah di Selangor dapat diselesaikan hanya dengan penubuhan bank data tanah ini sahaja. Masih terdapat banyak yang perlu dilakukan.

Saya ingin mencadangkan supaya satu mesyuarat atau jawatankuasa yang mirip kepada Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) perlu diwujudkan di peringkat PTD khas untuk menguruskan urusan tanah yang dibawa oleh para wakil rakyat. Buat waktu sekarang, Mesyuarat Tindakan Daerah yang diadakan sebulan sekali adalah terlalu panjang dan melibatkan banyak jabatan dan agensi kerajaan. Cadangan saya ialah jawatankuasa ini perlu diwujudkan untuk:

  1. Membolehkan wakil rakyat mengikuti isu-isu tanah yang berlaku di kawasannya.

  2. Menangani masalah-masalah premium yang dihadapi oleh rakyat di kawasannya.

  3. Menangani permohonan penukaran status guna tanah atau pemutihan kilang haram di kawasannya.

Untuk cadangan-cadangan Jawatankuasa seperti membangunkan satu sistem penggunaan daftar nombor kad pengenalan sebagai kata kunci bagi pengurusan tanah, cadangan permit singkat masa untuk pemilik kilang haram yang ingin memutihkan kilang mereka dan cadangan untuk menyambung semula tempoh permit khas kepada peneroka Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, saya meminta Kerajaan Selangor agar melaporkan kepada Dewan ini usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan demi menyelesaikan masalah-masalah ini.

Adalah jelas bahawa Kerajaan Selangor masih perlu melibat-gandakan usahanya dalam melicinkan pentadbiran tanahnya. Saya berharap cadangan-cadangan di dalam Penyata ini serta cadangan-cadangan yang diujarkan saya tadi boleh diterima oleh Dewan ini.


* Lau Weng San, Setiausaha DAP Negeri Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional