Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 6hb April 2011: Suruhanjaya Siasatan Diraja atas kematian Ahmad Sarbani dan Siasatan Bebas oleh Transparency International diperlukan untuk merombak semula operasi dan kaedah SPRM DAP merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di tingkat 1, gelanggang badminton terbuka bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Conchrane, Kuala Lumpur pagi tadi. DAP melahirkan rasa marah di atas kejadian seumpama ini sedangkan trajedi kematian Teoh Beng Hock masih belum dapat diselesaikan. Adakah SPRM masih belum bangun dan mendapat pengajaran? Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafa Ali berkata Ahmad adalah salah seorang individu yang ditahan pada 1 April lalu dalam satu operasi besar- besaran yang membabitkan cukai tidak dibayar dan dibebaskan dengan ikat jamin keesokan harinya. Datuk Mustafa berkata Ahmad dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur. Menurut Datuk Mustafa, Ahmad ada bersama-sama dengan seorang pegawai SPRM sehingga jam 10.15 pagi. Pegawai SPRM itu kemudiannya meninggalkan bilik tersebut beberapa minit untuk memanggil pegawai penyiasat. Sekembalinya beliau, dia mendapati bahawa Ahmad sudah tiada di bilik berkenaan. Mayat Ahmad ditemui terbaring di tingkat satu gelanggang badminton terbuka pada jam 10.20 pagi. Kematian Ahmad dan beberapa rantaian peristiwa yang menyebabkan kematian mengingatkan kembali kematian tragis Setiausaha Politik DAP, Teoh Beng Hock di Ibu Pejabat Bangunan SPRM, Selangor. Walaupun SPRM telah berjanji bahawa kes seperti itu tidak akan berulang selepas kematian Teoh Beng Hock dan tempoh jawatan Pengarah yang lepas tidak disambung, namun kematian Penolong Pengarah Ahmad pagi tadi menunjukkan bahawa SPRM tidak pernah belajar daripada kematian tragis Teoh. Rakyat Malaysia tidak mempercayai kata-kata beberapa pemimpin BN bahawa Teoh telah membunuh diri. Malahan mereka percaya bahawa Teoh dibunuh. Persoalannya terletak kepada kerajaan, sejauh manakah kerajaan serius dalam mencari siapa yang bertanggungjawab dan seterusnya mengambil tindakan. Kematian tragis Ahmad akan menimbulkan kecurigaan yang lebih mendalam dan seterusnya menghancurkan kepercayaan orang ramai terhadap kaedah operasi dan cara penyiasatan SPRM. DAP menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kematian Ahmad. Suruhanjaya ini akan menentukan punca kematian, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan langkah perlindungan bagi memastikan suspek yang dipanggil tidak akan cedera ataupun mati ketika dalam tahanan SPRM. Pada masa yang sama juga, SPRM perlu dirombak semula bagi memastikan sama ada SPRM masih relevan untuk melaksanakan tugas anti rasuahnya secara efektif, efisen, tidak berat sebelah dan profesional tanpa ada sebarang kecederaan ataupun kematian terhadap suspek. Kegagalan SPRM dalam menyiasat tuduhan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunjukkan dengan jelas wujudnya “double-standards” dan kegagalan sistem badan tersebut dalam menegakkan undang-undang secara saksama. SPRM tanpa kredibiliti menunjukkan kerajaan BN tidak serius untuk memerangi rasuah. Untuk merombak semula, DAP mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Badan Siasatan Bebas oleh Transparency International bagi mengkaji semula operasi dan kaedah SPRM. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|