Kenyataan persidangan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Rabu, 27hb April 2011: Jangan kita mempertikaikan masa depan anak-anak kita. Sebaliknya kita harus memberikan harapan, mengajar erti kesayangan dan membina keyakinan diri supaya mereka dapat mencapai impian dan tidak terpinggir atas sebab warna kulit mereka Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin patut membaca dengan penuh kenyataan saya sempena Hari Easter 2011 supaya beliau tidak terkeliru dengan fitnah yang disebarkan oleh sebuah blog yang dikendalikan oleh pemimpin UMNO. Saya sertakan di sini sebahagian pesanan saya yang relevan: "... Kita memerlukan perubahan. Perubahan demi kebaikan. Walaupun perubahan itu sukar, nahas akan menimpa jika kita tidak berusaha untuk berubah. Kita kena berubah cara pemikiran kita untuk melihat setiap warga Malaysia sebagai insan yang menghadapi masalah dan mempunyai aspirasi yang sama dengan kita. Kita patut meraikan kepelbagaian yang tersurat dan tersirat dalam masyarakat kita. Kita patut beralih daripada jerat ketakutan yang berdasarkan kebencian, rasisme dan ekstremisme. Kita tidak patut takut akan kelainan dan kepelbagaian. Kita patut mengelakkan idea atau pemikiran bersifat 'Hitlerian', di mana seseorang itu dianggap lebih tinggi tarafnya hanya berdasarkan warna kulit. Kita mesti berani berubah. Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk berubah demi kebaikan. Rakyat Malaysia tidak lagi mahukan suasana di mana kebebasan dikawal, hak asasi dicabul, dan di mana penyalahgunaan kuasa, korupsi dan salah pengurusan itu beleluasa. Dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, rakyat Sarawak sudahpun berkata 'cukup-cukuplah'. Rakyat Sarawak inginkan satu sistem urustadbir yang cekap, pemerkasaan demokrasi, peluang saksama dan keadilan untuk semua serta penghapusan korupsi dan penyelewengan wang. Sepertimana Hari Easter melambangkan pembaharuan hidup, bolehlah kita mengambil peluang ini untuk membaharukan keimanan, kesayangan dan harapan kita dalam usaha menentang kejahilan, ketakutan dan penindasan." (Tamat) Adakah ianya salah untuk menentang Hitler atau idea-idea bersifat Hitler seperti ketuanan atau penguasaan sesuatu kaum atas kaum lain? Saya mencabar mana-mana ahli politik BN untuk menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia membolehkan ketuanan mana-mana satu kaum ke atas kaum-kaum yang lain. Parti DAP dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menentang dengan keras dasar ketuanan kaum, sama ada ketuanan Cina, ketuanan India atau ketuanan Melayu. Kita hanya mengikut ketuanan rakyat! Saya ingin mengulangi kata-kata awal tadi. Kita perlu memberikan anak-anak kita harapan, mengajar erti kesayangan dan membina keyakinan diri supaya mereka dapat mencapai impian dan tidak terpinggir atas sebab warna kulit mereka. Rakyat Malaysia berasa bimbang apabila sesetengah ahli politik menyindir bahawa anak-anak kita tidak cukup bagus, atau tidak dapat berdikari tanpa pertolongan khas hanya disebabkan warna kulit mereka. Bagaimana kita boleh membina semangat dan keyakinan diri mereka jika kita sentiasa merendahkan martabat mereka? Ibu bapa juga bimbang apabila anak mereka tidak dipilih atau mendapat peluang sungguhpun prestasi mereka cemerlang hanya atas sebab warna kulit. Bagaimanakah seseorang ibu atau bapa itu boleh menerangkan kepada anaknya yang dia tidak berjaya mendapat tempat di universiti walaupun keputusannya cemerlang? Bukankah itu sesuatu yang kejam jika kita mematahkan semangat anak-anak kita, jika kita menghalang mereka daripada mencapai impian-impian mereka? Saya percaya bahawa setiap anak Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, mampu menjadi yang terbaik dan berdaya saing dalam dunia ini. Hanya dengan memupuk dan menggalakkan semangat daya maju setiap anak Malaysia, barulah kemajuan boleh dicapai oleh negara kita. Apakah kita belum mengambil iktibar daripada kegagalan kita untuk memanfaatkan modal insan yang sedia ada? Adakah kita ingin melihat lagi ramai rakyat Malaysia berhijrah demi mencari rezeki di negara lain? Sudah lebih 2 juta rakyat Malaysian yang telah berhijrah sejak tahun 1957. Kebelakangan ini pula, semakin ramai golongan profesional Melayu yang meninggalkan tanah air. Tahun lepas, negara jiran Singapura sudahpun melebihi Malaysia buat kali pertama sebagai ekonomi ke-tiga besar di ASEAN selepas Indonesia dan Thailand. Walaupun Singapura tidak mempunyai sebarang sumber asli, KDNK mereka telah bertambah kepada USD 210 bilion berbanding USD 205 bilion untuk Malaysia. Saiz Malaysia adalah 478 kali lagi besar berbanding dengan Singapura, dan penduduk kita adalah 5 kali ganda. Kenapakah negara kita sekarang ketinggalan? KDNK per kapita kita sekarang hanya USD 6,975 manakala Singapura pula adalah USD 36,537. Kita harus memupuk dan mengekalkan modal insan kita. Anak-anak kita harus percaya bahawa mereka dapat membina satu kehidupan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Dengan itu, marilah kita memberi harapan dengan menekankan sifat-sifat seperti prestasi, kemahiran dan integriti sebagai tunggak kejayaan. Marilah kita bersatu dengan aspirasi bersama untuk keadilan, kebenaran, kebebasan, demokrasi dan kebajikan sosial. Marilah kita membina satu masa depan yang lebih bersih, lebih hijau dan lebih bijak untuk anak-anak kita. *Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|