red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://speakforperak.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh V. Sivakumar di Batu Gajah pada hari Rabu, 17hb Ogos 2011:

BN tolak soalan DUN yang berkepentingan rakyat

Sungguh sedih apabila kerajaan BN yang mebonekakan Dato Ganesan menolak soalan-soalan yang relevan dan berkepentingan rakyat yang dikemukakan oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat. Setiap ADUN dikehendaki untuk menyerahkan 3 soalan lisan dan 5 soalan bertulis untuk setiap kali persidangan Dewan Negeri Perak. Begitu juga kali ini kami wakil rakyat telah menyerahkan soalan-soalan kami di Pejabat Setiasusaha Dewan Negeri seperti mana yang dikehendaki. Tetapi, banyak diantara soalan-soalan kami telah ditolak tanpa alasan yang munasabah.

Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke 22(4) menetapkan bahawa:

Seseorang ahli tidak boleh bertanya lebih daripada tiga soalan bagi jawapan lisan dan tidak lebih daripada lima soalan bagi jawapan bertulis dalam mana-mana mesyuarat Dewan; dan tiap-tiap soalan itu tidak boleh mengandungi lebih daripada tiga soalan pecahan.

Inilah kali pertama dalam Sejarah Dewan Negeri Perak begitu banyak soalan-soalan lisan dan bertulis yang dikemukakan oleh wakil rakyat telah ditolak oleh Dato Ganesan dengan alasan-alasan yang tidak sahih dan tidak masuk akal. Beliau terbukti dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk melarikan diri daripada tanggunjawab perlembagaan. Dato Ganesan seharusnya berasa malu kerana sanggup diperalatkan dan menjadi 'anak patung' Barisan Nasional. Beliau terpaksa melakukan semua ini kerana beliau adalah Speker yang masuk melalui 'pintu belakang' dan harus tunduk kepada semua desakan dan tuntutan pemimpin UMNO.

Sekali lagi Dato Ganesan secara terbuka dapat dilihat sebagai seorang yang tidak berkaliber malah sanggup menjual maruah jawatan Speaker semata-mata untuk membantu kawan-kawannya yang tidak berani menjawap soalan-soalan daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun Dato Ganesan dan golongan pengecut ini harus sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan segala tindak-tanduk dan gelagat mereka. Bila soalan daripada wakil rakyat ditolak, ini bermaksud soalan rakyat telah ditolak secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai satu contoh, soalan bertulis ke 5 yang saya kemukakan adalah seperti berikut :

Penasihat Kepada Menteri Besar Perak Dato Veerasingam pernah menyatakan dalam media bahawa beliau telah diberi peruntukan RM1 juta untuk masyarakat India oleh Kerajaan Negeri.

i) Adakah kenyataan ini benar?

ii) Jika benar, senaraikan semua projek-projek atau pemberian sumbangan yang dibuat oleh beliau untuk mengakaunkan RM1 juta tersebut.

iii) Adakah jumlah yang sama atau lebih besar telah diberikan kepada Dato Chang Ko Youn?

Soalan ini adalah soalan berkepentingan rakyat yang melibatkan wang sejumlah RM1 juta. Oleh yang demikian rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran kenyataan yang dibuat oleh beliau melalui media massa baru-baru ini. Tambahan pula, ada isu-isu yang kontroversial yang bersangkut-paut berhubung dengan perkara yang dibangkitkan.

Kenapakah soalan ini perlu ditolak oleh Kerajaan? Ini menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung dengan peruntukan RM1 juta itu. Rakyat berhak mengetahui adakah wang itu telah dibelanjakan dengan waras untuk tujuan-tujuan yang memberi manfaat kepada mereka. Tetapi, sikap kerajaan melarikan diri daripada menjawab soalan ini adalah seperti 'ada udang disebalik batu'.

Oleh yang demikian saya mendesak kerajaan memberi jawapan kepada soalan ini secara bertulis secepat yang mungkin. Ini adalah penting untuk memastikan Dewan Negeri masih lagi berfungsi sebagai satu pentas untuk 'semak dan imbang' dalam sistem pentadbiran kita. Kita tidak boleh seleweng daripada prinsip bahawa badan eksekutif iaitu kerajaan harus bertanggungjawab kepada Dewan Negeri dan tidak boleh hidup tanpa sokongannya. Jika soalan-soalan pembangkang disekat seperti ini, maka secara berdikit-dikit rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada demokrasi berparlimen.

Kerajaan seharusnya menggunakan Dewan Negeri sebagai medan untuk memberi pandangan yang membina dan menerima kritikan yang bernas asalkan ia tidak membangkitkan perasaan perkauman yang terlampau.


* V. Sivakumar , Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional