red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://lokesiewfook.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 17hb Ogos 2011:

SPR tidak ada urusan untuk menentukan bagaimana Jawatankuasa Pemilih Parlimen Reformasi Sistem Pilihan Raya berfungsi

Saya amat terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam ulasannya mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen Reformasi Sistem Pilihan Raya. Beliau menyatakan "SPR turut menyarankan jawatankuasa berkenaan hanya dianggotai wakil rakyat yang mewakili parti politik masing-masing tanpa campur tangan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelak wujudnya pelbagai kerenah yang boleh membantutkan reformasi".

Wan Ahmad turut berkata cadangan supaya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) dilibatkan dalam jawatankuasa itu tidak seharusnya diterima kerana agenda utama dibincangkan adalah mengenai urusan pilihan raya untuk memberi kepuasan kepada parti politik yang bertanding.

Kenyataan daripada Datuk Wan Ahmad tersebut yang mewakili pandangan SPR adalah amat tidak wajar sama sekali dan penuh dengan unsur politik. Yang pertamanya, SPR tidak ada kuasa sama sekali dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen tersebut dan tidak berhak untuk menentukan halatuju dan bagaimana jawatankuasa tersebut akan berfungsi. Jawatankuasa Pemilih Parlimen perlu ditubuhkan mengikut peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat (Standing Orders) Dewan Rakyat dan terma-termanya serta keanggotaannya perlulah diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Walaupun keanggotaan dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen adalah terhad kepada Ahli-Ahli Parlimen, namun sebarang Jawatankuasa Pemilih Parlimen perlulah mendapat pandangan umun daripada pelbagai pihak supaya cadangan yang bakal dibentangkan adalah menyeluruh dan mewakili kepentingan semua lapisan masyarakat.

Justeru, sekiranya badan bukan kerajaan khasnya BERSIH tidak dilibatkan dalam proses konsultasi dalam Jawatankuasa Pemilih Parlimen tersebut, penubuhan jawatankuasa tersebut adalah tidak bermakna. BERSIH telah membuktikan kredibiliti mereka dalam memperjuangkan reformasi sistem pilihan raya di Malaysia dengan mendapat sokongan luar biasa pelbagai kaum dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai yang lepas. Adalah wajar supaya Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang bakal dibentuk kelak memberikan ruang kepada BERSIH dan masyarakat sivil secara umumnya untuk memainkan peranan aktif dalam proses menjana agenda perubahan tersebut.

SPR perlu menukar paradigma mereka bahawa sistem pilihan raya hanya melibatkan parti-parti dan ahli-ahli politik. Sistem pilihan raya melibatkan setiap rakyat dan seharusnya semua pihak mengembeleng tenaga dan usaha untuk menghasilkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil dan memacu demokrasi yang dewasa dan mantap. Keprihatinan pelbagai pihak dalam reformasi sistem pilihan raya adalah satu petanda yang baik terhadap kesuburan sistem demokrasi negara kita.


* Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Rasah

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional