red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 4hb Disember 2011: 

Kerajaan Persekutuan BN mengamalkan "double-standards" dengan menolak CPI TI sebagai subjektif tetapi menerima GCI sebagai objektif 

Kerajaan Persekutuan BN jelas mengamalkan "double-standards" dengan menolak laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dihasilkan oleh Transparency International (TI) sebagai subjektif kerana ia memberi pandangan yang negatif tetapi menerima Indeks Daya Saing Global (GCI) oleh World Economic Forum sebagai objektif kerana gambaran lebih positif yang diberikan. Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bahawa kedudukan CPI Malaysia yang menurun adalah "subjektif" dan "boleh dipersoal", dan bertambah bahawa kaji selidik yang berdasarkan persepsi tidak seharusnya digunakan sebagai kaedah penilaian.

Menurut TI, CPI Malaysia bagi tahun 2011 telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 dan kedudukan Malaysia telah jatuh ke tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding dengan tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Lebih teruknya, laporan TI yang telah mengkaji selidik seramai 1,000 responden telah mengenal pasti bahawa pihak polis dan parti-parti politik merupakan institusi-institusi yang dilihat sebagai paling korup di negara kita. Kebanyakan daripada responden juga percaya bahawa tahap rasuah atau korupsi di negara kita akan berkekalan untuk tiga tahun akan datang. Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali juga menyatakan bahawa CPI Malaysian akan terus menurun kerana "elemen-elemen kerajaan" yang memudahkan "rasuah besar" masih lagi berleluasa.

Ini adalah satu contoh penafian oleh Kerajaan Persekutuan BN yang tidak ingin mengaku bahawa keadaan rasuah semakin teruk walaupun Perdana Menteri telah menjalankan pelbagai program seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan. Sikap tidak sedar diri ini amat jelas apabila Kerajaan BN memuji diri kerana kedudukan Malaysia telah meningkat 5 tangga dari 26 kepada 21 dalam Indeks Daya Saing Global (GCI) World Economic Forum pada tahun ini.

Kenapa GCI tidak dikatakan sebagai satu kaedah penilaian yang subjektif? Kenapa kaedah penilaiannya tidak dipersoal? Adakah begitu kerana laporannya memberi gambaran yang lebih positif? Kerajaan BN tidak seharusnya bersikap seperti burung unta yang membenamkan kepala dalam tanah tetapi mengaku bahawa negara kita sedang mengalami masalah rasuah yang serius.

Jika penilaian TI telah dilakukan selepas skandal "lembu dan kondo" sebanyak RM250 juta telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, tahap penurunan CPI Malaysia barangkali akan lebih teruk. Akan tetapi, keengganan seorang pakar ekonomi yang terpelajar seperti Husni untuk menghadapi kebenaran menunjukkan bahawa tidak ada harapan untuk membasmi rasuah selagi negara berada di bawah pemerintahan UMNO dan BN yang sanggup menggadaikan prinsip untuk kepentingan politik.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional