red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 6hb Disember 2011: 

Cabar Najib menunjukkan bukti bagi amaran ganasnya kepada orang bukan Melayu yang tidak bersalah supaya tidak membangkitkan kemarahan orang Melayu, dan sekiranya gagal baik beliau keluarkan sahaja sijil kematian untuk 1Malaysia 

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak harus menunjukkan bukti bagi amaran ganasnya kepada orang bukan Melayu yang tidak bersalah supaya tidak membangkitkan kemarahan orang Melayu, dan sekiranya gagal beliau harus keluarkan sijil kematian untuk 1Malaysia. Najib telah mengejutkan seluruh negara apabila memainkan sentimen perkauman terhadap orang bukan Melayu dalam ucapannya kepada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di Shah Alam semalam. Beliau memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya "jangan sesekali mereka mencuit perasaan orang Melayu dengan nak ubah apa termaktub dalam perlembagaan kita".

Najib menekankan bahawa UMNO tidak akan berkompromi walau satu inci atas kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan hanya UMNO sahaja yang boleh mempertahankan orang Melayu. Adakah dengan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu dan melaungkan diri sebagai pembela bangsa itu memberi hak kepada UMNO untuk melibatkan diri dalam skandal RM250 juta "lembu dan kondo" melalui syarikat keluarga seorang Menteri Persekutuan UMNO? Adakah dengan memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencuit perasaan orang Melayu itu membolehkan skandal RM13 bilion Port Klang Free Trade Zone atau pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion?

Masa sudah tiba untuk berjuang untuk aspirasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. DAP menolak politik diskriminasi UMNO yang berkeras dengan konsep Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian. DAP juga mengecam UMNO dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu.

Kita tidak boleh membenarkan UMNO merampas Perlembagaan Persekutuan untuk memecahbelahkan rakyat dengan perasaan permusuhan dan kebencian, dan juga untuk menjadikan perjuangan untuk semua rakyat Malaysia sebagai satu tindakan yang salah. UMNO selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka. Namun demikian, UMNO selalunya gagal menyebut bahawa Artikel 153 juga mempertahankan kepentingan-kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

Adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agung memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Dalam erti kata lain, Perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan konsep "Malaysia dahulu" dan bukan kemudian!

Minda perkauman UMNO yang meletakkan kaum sebelum negara inilah sebab kenapa Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa kekurangan penyertaan orang bukan Melayu dalam angkatan tentera menunjukkan semangat patrotisme yang rendah. Atau juga kenyataan hina dan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang menanamkan kebencian dengan menyamakan orang India sebagai anjing dan Cina sebagai pendatang yang harus kembali ke negara China. Atau juga pegawai BTN yang memanggil orang Cina "mata sepet" dan orang India pula dihina sebagai "si botol". Atau pemimpin-pemimpin UMNO yang secara terbuka mengumumkan mereka tidak memerlukan undi orang Cina atau India.

Yang paling teruk sekali, suratkhabar UMNO iaitu Utusan Malaysia seolah-olah ingin menyambut tragedi Mei 13 1969 sebagai "hari keramat"! Betapa teruknya UMNO sampai mereka boleh meraikan pembunuhan orang termasuk kanak-kanak yang tidak bersalah? Namun begitu, tidak ada tindakan yang dikenakan terhadap Utusan yang bertindak seolah-olah mahukan satu lagi 13 Mei dengan menyambut 13 Mei sebagai "hari keramat".

Baru-baru ini di Perhimpunan Agung UMNO, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan telah mengugut bahawa orang Melayu akan kehilangan hak kerana masyarakat Cina sudah mula menguasai politik dan ekonomi negara, dan bahawa DAP adalah "Agen Kristian" kerana Ronnie Liu, Xavier, Elizabeth dan Teresa Kok merupakan EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Setelah disiasat berulang kali, pihak berkuasa sudah pun mengakui bahawa tidak ada berlaku sebarang penyebaran agama Kristian oleh DAP. Adakah seseorang itu tidak berlayak untuk menjadi ahli EXCO kerana beliau itu seorang penganut Kristian? Tambahan pula, Ronnie Liu bukan seorang penganut Kristian.

Bagaimana pula masyarakat Cina boleh bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi apabila bilangan penjawat awam yang berbangsa Cina makin menurun? Di samping itu, masyarakat Cina sudah tidak lagi menguasai sektor-sektor ekonomi seperti perbankan, insuran, industri automobil, pembinaan, komunikasi dan pengangkutan.

DAP tidak pernah mengambil pendirian anti-Melayu atau anti-Islam. Kenaikan tiga kali ganda peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam di Pulau Pinang, berbanding dengan apa yang telah diberi semasa pentadbiran BN di bawah Koh Tsu Koon, serta penerusan peruntukan untuk sekolah-sekolah agama yang telah ditamatkan oleh UMNO menjadi bukti bahawa DAP menghormati Islam dan adil kepada semua.

Bagi tindakan yang dikenakan ke atas peniaga haram pula, lebih daripada 70% tindakan telah diambil ke atas peniaga bukan Melayu. Bagi sistem tender terbuka Kerajaan PR Pulau Pinang pula, 70% daripada kontrak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dimenangi oleh kontraktor Melayu, lantas membuktikan bahawa kontraktor Melayu mampu berdaya saing. Hanya kontraktor kroni UMNO sahaja yang tidak mampu bersaing.

Kerajaan PR Pulau Pinang juga tidak pernah mengusir walaupun sebuah rumah kampung Melayu. Satu-satunya rumah kampung Melayu yang pernah dirobohkan di Pulau Pinang telah diroboh oleh pemaju-kaitan-UMNO yang dipengerusikan seorang bekas ADUN UMNO.

Najib harus menyelamatkan konsep 1Malaysia dengan membuat 5 komitmen penting. Pertama, dahulukan Malaysia sebelum kaum. Kedua, rakyat Malaysia berhak untuk menikmati hak asasi dan masyarakat sivil. Ketiga, peluang saksama harus diberi kepada semua. Keempat, keluhuran undang-undang di mana yang dipentingkan adalah apa yang diketahui dan bukan siapa yang dikenali. Kelima, kita harus membina masyarakat yang berintegriti dan cerdik untuk mencapai ekonomi pendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan.

Sekiranya Najib gagal, baik beliau keluarkan sahaja sijil kematian untuk 1Malaysia.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional