red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 9hb Disember 2011: 

6 langkah-langkah integriti untuk menghentikan politik wang dan menyelesaikan kebimbangan Transparency International 

Hari Anti-Rasuah Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 9 Disember 2011 hanya boleh disambut dengan penuh bermakna jika kita mengambil 6 langkah-langkah integriti untuk menghentikan politik wang. Prestasi Malaysia telah merosot dalam laporan terkini Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2011, di mana negara kita telah jatuh 4 kedudukan ke tangga ke-60 daripada 183 negara daripada tangga ke-56 daripada 178 negara tahun lepas.

CPI 2011 Malaysia telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 tahun ini dan tangga ke-60, berbanding tangga ke-37 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2033. Malah Timbalan Presiden TI Malaysia Mohammad Ali telah menyatakan bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana "elemen-elemen kerajaan" yang memudahkan "rasuah besar" masih lagi berleluasa.

Dakwaan yang berat daripada TI ini menjelaskan sedikit sebanyak serangan UMNO yang penuh fitnah, kebencian dan maki hamun terhadap DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam semasa Perhimpunan Agung UMNO. Tidak pula ada kritikan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah mendedahkan jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion. Tidak pula disebut tentang skandal lembu dan kondo, di mana RM250 juta yang sepatutnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk pembelian kondo mewah, dan bagaimana duit itu boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Yang lebih teruknya, kaji selidik TI ke atas 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara. Juga dilaporkan bahawa kebanyakan warga Malaysia percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa 3 tahun akan datang.

Oleh itu, DAP mencadangkan 6 langkah-langkah integriti untuk menambahbaikkan kedudukan anti-rasuah kita dengan menghentikan politik wang dan membanteras rasuah dalam polis.

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan. Kerugian RM5 bilion dalam skandal Perwaja, skandal Port Klang Free Trade Zone dan skandal saham bumiputra RM52 bilion kesemuanya berjumlah lebih daripada USD 100 bilion, iaitu jangkaan kerugian rakyat Malaysia akibat daripada penyelewengan dan rasuah.

Ketiga, hak untuk maklumat tidak sulit hendaklah dilindungi di bawah Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah membuat pengisytiharan aset mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri. Pelanggaran peraturan ini berlaku secara terang-terangan sampai SPR sendiri telah mengaku bahawa RM110 juta telah dibelanjakan untuk poster pilihan raya sahaja dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Dengan 219 kawasan parlimen dan 445 kawasan DUN yang ditandingi dalam PRU 2004, had perbelanjaan pilihan raya sepatutnya RM88.3 juta. Adalah amat jelas bahawa hanya BN sahaja yang dapat membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk poster pilihan raya dalam PRU tersebut. Meskipun demikian, tiada sebarang tindakan yang telah diambil oleh SPR.

6 langkah-langkah integriti ini boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa. Langkah-langkah asas seperti menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, mengurangkan peluang rasuah, melaksanakan sistem integriti kebangsaan melalui undang-undang dan institusi-institusi yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional