red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://pgforward.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Ng Wei Aik di Georgetown, Pulau Pinang pada hari Jumaat, 25hb Februari 2011:

Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat: 1-BN, 3 Pendirian!

Walaupun merupakan parti-parti komponen Barisan Nasional, tetapi UMNO, MCA dan Gerakan mempunyai pendirian yang berbeza terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010.

Gerakan memberi sokongan secara prinsipnya terhadap RUU tersebut manakala MCA membantah kewujudan RUU yang sedang dibentangkan untuk mendapat maklum balas awam sebelum diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga ADUN UMNO yang merupakan ahli-ahli jawatankuasa pilihan iaitu Y.B. Datuk Arif Shah bin Haji Omar Shah, Y.B. Dato' Hajjah Jahara binti Hamid dan Y.B. Dato' Seri Dr. Haji Hilmi bin Haji Yahaya tidak pernah menghadiri maklum balas yang telah dianjurkan.

Ini menunjukkan bahawa mereka gagal dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang telah diberi amanah oleh pengundi-pengundinya. Adakah ini merupakan 1-Barisan Nasional lagi yang bersatupadu dan boleh diyakini seperti yang diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpinnya?

Tidak seperti pemimpin-pemimpin Gerakan yang mengemukakan cadangan-cadangan yang bernas untuk memartabatkan lagi RUU tersebut, pemimpin-pemimpin MCA yang hadir dalam maklum balas awam telah merekodkan bantahan mereka atas sebab RUU tersebut telah bercanggahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta memperuntukkan kuasa yang luas kepada Pengerusi Lembaga Rayuan.

Walaupun demikian, MCA sebagai Parti Pemerintah di Peringkat Kerajaan Persekutuan seharusnya menyokong RUU tersebut dan pada masa yang sama, mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memansuhkan kedua-dua akta tersebut demi menjamin akses dan kebebasan rakyat terhadap maklumat-maklumat rasmi yang berkepentingan awam.

Jikalau tidak, maka MCA secara khususnya atau Barisan Nasional secara amnya akan kehilangan sokongan awam yang sekian lama dahagakan kebebasan maklumat tanpa sekatan atau kongkongan daripada pihak-pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri terpaksa membentangkan RUU tersebut dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dengan keizinan Penasihat Undang-Undang Negeri walaupun terdapat kelemahan-kelemahan yang ketara di antara peruntukan-peruntukannya. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berhasrat untuk meminda lagi peruntukan-peruntukan tertentu berdasarkan pandangan-pandangan awam yang dikumpul oleh jawatankuasa pilihan yang telah ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

Kita mengalu-alukan peranan Barisan Nasional sebagai parti pembangkang untuk memberi input-input yang bernas demi menambahbaik lagi RUU tersebut. Tetapi, janganlah berlagak seperti seekor raksasa yang berkepala tiga dan parti-parti komponennya seharusnya mengambil suatu pendirian yang konsisten tanpa mengelirukan rakyat terhadap RUU tersebut.


Ng wei Aik, Setiausaha DAP Negeri Pulau Pinang & ADUN Kawasan Komtar

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional