red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Khamis, 6hb Januari 2011:

Menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berunding semula dengan Kerajaan Selangor berkenaan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru

Saya menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berunding semula dengan Kerajaan Selangor berkenaan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru di mana ini merupakan satu-satunya cara penyelesaian yang paling baik terhadap kemelut yang dihadapi oleh Selangor.

Saya telah membaca dengan teliti laporan akhbar serta kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin berkenaan dengan pelantikan Dato' Mohd Khusrin bin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Satu perkara yang amat menarik perhatian saya ialah kenyataan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang mengatakan bahawa tiga orang calon telah dikenalpasti oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dan ketiga-tiga calon itu telah dirujuk untuk pertimbangan dan persetujuan Kerajaan Negeri Selangor melalui surat bertarikh 23 November 2010.

Satu lagi surat bertarikh 3 Disember 2010 juga telah dirujuk kepada Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu untuk memperakukan 3 orang calon yang sama untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Surat tersebut juga memohon mendapatkan perkenan Sultan Selangor (sebagai amalan).

Apa yang saya terasa terkejut ialah komunikasi surat-menyurat di antara Jabatan Perkhidmatan Awam serta Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dengan Kerajaan Selangor tidak di bawah pengetahuan YAB Dato' Menteri Besar Selangor, khususnya berkenaan dengan perkara yang begitu penting, ialah pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Saya berpendapat bahawa sekurang-kurang Dato' Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan tentang isi kandungan surat-menyurat antara Setiausaha Kerajaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana Dato' Menteri Besar yang mewakili kerajaan Selangor dan bukannnya Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sudah tentu bahawa apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang amat malang sekali di mana Dato' Menteri Besar Selangor tidak dimaklumkan langsung tentang apa keputusan akhir JPA dan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak boleh mewakili Kerajaan Selangor dalam membuat keputusan yang begitu penting ini.

Biar apa sekalipun, saya percaya bahawa jalan keluar yang paling bagus adalah kedua-dua Kerajaan Selangor di bawah Dato' Menteri Besarnya dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk duduk bersama, berbicara dan mencapai kata sepakat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru ini.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional