Kenyataan media oleh Nga Kor Ming di Ipoh pada hari Selasa, 11hb Januari 2011: DAP bantah harga barang naik Tuntut kerajaan ambil tindakan segera DAP Perak hari ini mengadakan kempen demonstrasi secara aman untuk membantah kenaikan harga barang dan kadar inflasi yang semakin membebankan rakyat. Mengikut angka Jabatan Perdana Menteri, 40% daripada jumlah keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan yang rendah kurang dari RM2,300 sebulan, dan antaranya terdapat 192,000 buah keluarga dalam negeri Perak merupakan golongan yang termasuk dalam kategori berpendapatan rendah tersebut. Oleh demikian, kenaikan harga minyak dan kesan sampingannya kini menjadikan keadaan hidup semakin meruncing. Walaupun Malaysia menghasilkan 700 ribu tong minyak mentah sehari dan jumlah keuntungan PETRONAS juga cukup lumayan dengan mencecah RM60,000 juta, tetapi harga minyak dalam negara ini telah melonjak 118% dalam tempoh 8 tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2003, harga minyak adalah RM1.30 satu liter, tetapi kini harga minyak RON 97 telah mencecah paras RM2.40 satu liter. Kegagalan kerajaan memantau aktiviti penyeludupan, kegagalan sistem penguatkuasaan undang-undang dan gejala rasuah yang serius adalah antara faktor utama kenaikan harga barang kali ini. Sebagai contoh, harga gula dalam tempoh singkat selama 12 bulan telah melambung dari RM1.45 sekilogram kepada RM2.10 sekilo. Tambahan pula, telah dilaporkan oleh media bahawa selepas Tahun Baru Cina pada bulan Februari, harga gula akan naik lagi ke paras RM2.50. Kadar kenaikan harga gula sudah sebanyak 80% dalam satu tahun, mengapakah kerajaan masih bertegas kadar inflasi dalam negara ini hanya 2% sahaja? Jika fenomena kenaikan harga barang naik tidak dibendung, adalah omong kosong sahaja gagasan kerajaan untuk menjadikan tanah air kita negara berpendapatan tinggi kerana sebelum pendapatan bertambah, rakyat sudah menderita dengan harga barang mahal dan keupayaan membeli yang semakin merosot. Dalam kempen tandatangan hari ini yang diadakan di pusat Bandaraya Ipoh, lebih daripada 630 orang rakyat dari pelbagai kaum telah tampil ke depan menyokong kempen tersebut dan antara kereta yang lalu lalang juga membunyikan hon sebagai tanda sokongan. * Nga Kor Ming, Setiausaha DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Taiping
|