red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Selasa, 11hb Januari 2011:

SUK lama tidak boleh berunding bagi pihak kerajaan negeri tanpa penurunan kuasa daripada MB dan EXCO

Setiausaha Kerajaan Selangor sebelum ini, iaitu Datuk Ramli Mahmud, tidak boleh berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan negeri yang baru bagi pihak Kerajaan Selangor tanpa penurunan kuasa daripada Menteri Besar dan EXCO.

Justeru itu, saya menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berunding semula dengan Kerajaan Selangor berkenaan dengan pelantikan ini kerana pelantikan Dato' Khusrin Munawi sebagai SUK baru telah dilakukan atas landasan yang silap.

Lebih-lebih lagi, Datuk Ramli Mahmud merupakan kakitangan awam kanan yang berasal daripada Jabatan Perkhidmatan Awam. Dari segi hierakinya jawatan beliau terletak di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN). Bagaimana seorang yang berpangkat lebih rendah berunding dengan seorang yang berpangkat lebih tinggi dalam organisasi yang sama? Ini adalah tidak masuk akal sama sekali dan satu-satunya cara penyelesaian yang paling baik terhadap kemelut yang dihadapi oleh Selangor ialah kedua-dua Kerajaan Selangor dan JPA berunding semula berkenaan dengan pelantikan ini.

Saya telah membaca dengan teliti laporan akhbar serta kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin berkenaan dengan pelantikan Dato' Mohd Khusrin bin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Apa yang saya terasa terkejut ialah komunikasi surat-menyurat di antara Jabatan Perkhidmatan Awam serta Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dengan Kerajaan Selangor tidak di bawah pengetahuan YAB Dato' Menteri Besar Selangor. Lebih-lebih lagi perkara yang dibincangkan ialah perkara yang sangat penting iaitu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Saya berpendapat bahawa sekurang-kurang Dato' Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan tentang isi kandungan surat-menyurat antara Setiausaha Kerajaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana Dato' Menteri Besar dan EXCO yang mewakili kerajaan Selangor, bukannnya Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sudah tentu bahawa apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang amat malang sekali di mana Dato' Menteri Besar Selangor tidak dimaklumkan langsung tentang apa keputusan akhir JPA dan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak boleh mewakili Kerajaan Selangor dalam membuat keputusan yang begitu penting ini.

Biar apa sekalipun, saya percaya bahawa jalan keluar yang paling bagus adalah kedua-dua Kerajaan Selangor di bawah Dato' Menteri Besarnya dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk duduk bersama, berbicara dan mencapai kata sepakat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru ini.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional