red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Petaling Jaya pada hari Rabu, 26hb Januari 2011:

Jelas UMNO biadap terhadap sistem Raja Berperlembagaan apabila mereka menolak pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor

Sidang khas Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari 2011 berjaya mencipta dua sejarah. Sejarah yang pertama ialah Pakatan Rakyat (PR) berjaya membawa satu pindaan yang merupakan satu penambahbaikan dari segi struktur dengan tujuan memperbetulkan kesilapan masa silam.

Sejarah yang kedua senarai panjang kebiadaban UMNO terhadap Sultan-Sultan Melayu akan berpanjangan lagi dengan bertambahnya satu lagi contoh, iaitu keengganan UMNO untuk menyokong pindaan terhadap Fasal (1) Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pertama, pindaan yang dicadangkan ini sejajar dengan semangat persekutuan. Fasal (1) Perkara 52 yang sedia ada merupakan pindaan pada tahun 1993. Peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Menteri Besar dan Tuanku Sultan Selangor sebelum tahun 1993 telah dilucutkan dengan pindaan pada tahun itu di mana pelantikan ketiga-tiga jawatan ex-officio itu, yakni Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, dilantik secara terus menerus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan.

Pindaan ini juga sejajar dengan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarch) yang diamalkan di negara ini sekian lama tetapi telah dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mengikut pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Shad Saleem Faruqi, sehingga tahun 2005 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 42 kali. Oleh kerana setiap kali Perlembagaan Persekutuan dipinda, ianya melibatkan beberapa pindaan individu, maka beliau menjangka bahawa jumlah pindaan yang sebenar adalah sebanyak 650 kali. Ramai pakar undang-undang termasuk beliau percaya bahawa semangat asal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah terkakis dengan serius.

Perkara yang sama juga berlaku pada Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ini dimana terdapat sebanyak 109 pindaan. Walaupun sesetengah pindaan yang dilakukan adalah bersifat teknikal ataupun dari segi pentadbiran, tetapi terdapat banyak juga pindaan mempunyai motif politik.

UMNO dan BN kini sedang menyebar fitnah dan tipu bahawa pindaan yang dibawa oleh PR itu sebenarnya mengurangkan kuasa Sultan dalam pelantikan ketiga-tiga orang ex-officio itu. Dakwaan ini adalah tidak ikhlas kerana di bawah sistem Raja Berperlembagaan, memang Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan Perdana Menteri. Keadaan ini juga boleh dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan di mana perlantikan hakim, peguam negara, pengerusi SPR dan sebagainya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Justeru itu, tindakan UMNO dan BN mencabar PR supaya member kuasa penuh kepada Sultan dalam hal ini adalah tidak rasional, tidak masuk akal, hipokrit malah bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kalau UMNO dan BN ikhlas, maka mereka perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.

Biar apa sekalipun, sikap UMNO dan BN menolak pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor pada hari Isnin jelas memperlihatkan kebiadapan, keangguhan dan kesombongan UMNO terhadap institusi Raja Berperlembagaan.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional