red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Shah Alam pada hari Rabu, 6hb Julai 2011:

Hentikan hambatan ke atas Bersih 2.0 dan bebaskan segera kesemua tahanan yang berkaitan dengan Bersih 2.0 demi menghormati titah YDPA

Perdana Menteri Najib Razak haruslah melarang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menahan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam Bersih 2.0 berikutan persetujuan beliau untuk membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di dalam stadium.

Sehingga kini, lebih 180 orang telah disoal, ditahan atau didakwa oleh pihak polis, termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis Pakatan Rakyat dan para aktivis dari masyarakat sivil di atas dakwaan yang tidak senonoh seperti berhimpun tanpa permit, memakai T-shirt Bersih 2.0, memakai T-shirt berwarna kuning dan memiliki risalah kempen.

Kes yang terkini berlaku pada pagi ini apabila Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya Michael Tamil dan rakannya Bob telah dipanggil untuk memberi keterangan mengenai Bersih 2.0 di Balai Polis USJ8, dan ditahan apabila mereka tiba di balai polis tersebut.

Pada petang hari ini juga, sebelas orang Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang akan didakwa di mahkamah majistret kerana memakai T-shirt Bersih ketika mesyuarat majlis mereka.

Pada waktu yang sama, polis telah mula mengadakan sekatan jalan di banyak jalan raya di kawasan Lembah Kelang sebagai langkah untuk menyekat penyokong Bersih dari masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Selain itu, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj dan lima orang lagi aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga masih ditahan di bawah Ordinan Darurat di atas dakwaan ¡°berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong."

Tuduhan palsu yang direka oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ini adalah untuk mengelirukan orang ramai terhadap objektif sebenar Bersih 2.0 demi mengekalkan kuasa politik BN melalui cara kuku besi.

Penggunaaan Ordinan Darurat oleh kerajaan BN untuk menahan anggota PSM tanpa bicara amatlah keji kerana ia bertentangan dengan prinsip "rule of law" bagi kes mereka didengar dan dibicarakan di mahkamah.

Saya menggesa Najib Razak agar hentikan hambatan ke atas Bersih 2.0 dan bebaskan segera kesemua tahanan yang berkait bagi menghormati titah DYMM Agong, "Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan."


* Teresa Kok Suh Sim, EXCO Kanan Kerajaan Negeri Selangor & Ahli Parlimen kawasan Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional