red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 8hb Julai 2011:

Perintah larangan 91 individu hadir di Kuala Lumpur menghalang saya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen Kuala Lumpur

Saya merasa amat marah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggunakan perintah mahkamah untuk menghalang 91 aktivis dan pemimpin parti politik, termasuk saya, dari berada di pusat bandar Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Perintah larangan mahkamah sebegini adalah ultra vires dan melampaui kuasa yang termaktub dalam Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjanjikan hak berhimpun dan hak bersuara.

Tindakan PDRM tersebut jelas dibuat demi menjaga kepentingan politik kerajaan Barisan Nasional.

Berikutan dengan perjumpaan dengan Yang DiPertuan Agong, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan telahpun mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersih 2.0 sudi menerima tawaran Perdana Menteri Najib Razak supaya mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Namun begitu, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan PDRM masih lagi memhambat Bersih 2.0 dengan tindakan kuku besi, dan mereka masih lagi mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram. Tindakan PDRM untuk menekan demokrasi, mengaibkan hak perlembagaan dan mengadakan sekatan jalan menunjukkan mereka tidak hormat kepada institusi diRaja dan titah YDPA Agong yang menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Bagi diri saya selaku Ahli Parlimen Seputeh, perintah mahkamah yang melarang saya hadir di pusat bandar Kuala Lumpur merupakan halangan bagi saya untuk menjalankan tugas untuk mengawasi perhimpunan Bersih 2.0 selaku Ahli Parlimen Seputeh.

Lebih-lebih lagi, saya bekerja dan tinggal berhampiran pusat Bandar Kuala Lumpur. Tidakkah perintah mahkamah ini juga telah menjadikan saya seolah-olah di bawah tahanan rumah (house arrest)?

Saya menggesa pihak PDRM menghormati kepada titah YDP Agong dan hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan henti biarkan PDRM diperkudakan oleh kerajaan Barisan Nasional.


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional