red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 di Shah Alam pada hari Isnin, 11hb Julai 2011:

Ucapan semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011

Perhimpunan Bersih 2.0 dan tuntutan-tuntutan reform pilihanraya

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara,
kita laungkan juga pesan merdeka,
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita - demokrasi luka;
lama duka kita - demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Oleh: A Samad Said, Sasterawan Negara

Dua hari yang lalu, Rakyat Malaysia sekali lagi mencipta sejarah telah berarak secara aman pada 9 Julai 2011. Perarakan kali ini bertujuan untuk mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan pembaharuan pilihanraya, iaitu:

  1. Bersihkan senarai undi

  2. Menreformasi undi pos

  3. Guna dakwat kekal

  4. Masa kempen minima 21 hari

  5. Akses media yang bebas dan adil

  6. Kukuhkan institusi awam

  7. Hentikan rasuah

  8. Hentikan politik kotor

Malangnya, SPR berkali-kali bertolak dalih dengan penganjur perarakan raksasa kali ini, iaitu Bersih 2.0 dengan menggunakan pelbagai alasan kononnya SPR tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengkaji pelaksanaan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0 ini.

Sehingga ke saat-saat terakhir apabila SPR mula menghadapi tekanan kuat daripada Bersih 2.0 dan warga Internet kerana berlengah-lengah dalam melaksanakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya, barulah SPR mula tunduk dan berkata ingin berbincang dengan Bersih 2.0 dengan harapan agar perarakan ini akan dapat dipatahkan.

Memang pihak berkuasa ingin mematahkan perarakan ini. Bermula dengan tuduhan-tuduhan berbau perkauman bahawa Bersih 2.0 dipimpin oleh seorang wanita berkaum India beragama Hindu, diikuti dengan tuduhan bahawa Bersih 2.0 diperalatkan untuk menghidupkan semula fahaman komunis, sekaligus menyebabkan penyokong-penyokong Bersih 2.0 daripada Parti Sosialis Malaysia ditahan sehingga sekarang, sehingga ke cerita-cerita dongeng ciptaan UMNO dan BN seperti penemuan senjata-senjata seperti parang, molotov cocktail malahan senapang oleh Polis, pihak berkuasa cuba menyekat perarakan ini melalui pelbagai tomahan dan fitnah yang dilancarkan secara bertubi-tubi terhadap Bersih 2.0.

Tujuan mereka hanya satu, iaitu cuba menakut-takutkan rakyat dengan cerita-cerita suratkhabar lama mereka supaya rakyat akan takut dan tidak akan keluar menyokong perarakan ini. Lebih dahsyat lagi, Pemuda UMNO dan Perkasa pula ingin mengagalkan perarakan ini dengan laungan ˇ°pertempuranˇ±. Perkasa yang ekstremis mengugut masyarakat Tionghua untuk menyimpan makanan yang mencukupi dan tidak keluar ke mana-mana pada 9 Julai.

Agak-agaknya, mereka telah lupa bahawa Malaysia hari ini bukan lagi Malaysia pada zaman 1970-an. Cerita-cerita dongeng seperti ini tidak laku pada abad ke-21. Rakyat berbilang kaum telah keluar beramai-ramai untuk menyokong kesemua tuntutan Bersih 2.0.

Hakikatnya ialah perarakan Bersih 2.0 ini sebenarnya tidak diperlukan, jikalau SPR betul-betul melaksanakan kesempat-empat tuntutan Bersih 1.0 seperti yang berikut:

  1. Bersihkan senarai undi

  2. Menreformasi undi pos

  3. Guna dakwat kekal

  4. Akses media yang bebas dan adil

Keempat-empat tuntutan Bersih 1.0 ini merupakan tuntutan yang ringkas dan senang difahami. Malahan SPR pernah member respons terhadap tuntutan yang ketiga sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, iaitu penggunaan dakwat kekal.

Malangnya, sikap flip-flop kerajaan tertonjol sekali lagi apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat terkahir menjelang hari pengundian PRU-12. Akibatnya jutaan wang ringgit dibazirkan untuk membeli dakwat kekal yang tidak pernah diguna sehingga sekarang.

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca sebuah rencana yang diterbitkan di dalam media cetak aliran utama yang mempersoalkan kewajaran perarakan Bersih 2.0 ini memandangkan masih banyak masalah seperti masalah sampah, longkang, jalan dan lain-lain yang masih belum diselesaikan.

Memang betul perarakan Bersih 2.0 tidak menyelesaikan masalah-masalah ini. Bukan begitu sahaja, bahkan perarakan ini juga tidak akan menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh PBT dan Kerajaan Negeri. Walaupun begitu, masalah-masalah ini mustahil akan diselesaikan jikalau wakil rakyatnya dipilih melalui pilihanraya yang tidak adil dan tidak bersih.

Cuba bayangkan wakil rakyat siapakah yang sudi bertungkus-lumus menyelesaikan masalah-masalah ini jikalau beliau boleh menang dalam pilihanraya melalui cara yang tidak bersih? Kalau seseorang boleh menang dalam pilihanraya hanya dengan membeli undi, maka apakah keperluannya untuk bertemu rakyat dari semasa ke semasa? Apakah keperluannya untuk mendengar rintihan rakyat? Apakah keperluannya untuk bersusah payah menghadiri sidang dewan dan mangambil bahagian dalam perbahasan?

Justeru itu, pilihanraya yang adil dan bebas adalah asas untuk sebuah masyarakat yang bertamadun. Ianya juga ialah asas penyelesaian terhadap segala masalah yang dihadapi baik penduduk-penduduk akar umbi atau pemimpin-pemimpin kerajaan.

Angkara jahat UMNO untuk cuba memisahkan masyarakat Melayu daripada DAP

Akhbar Utusan Malaysia menuduh DAP ingin menubuhkan sebuah Negara Kristian di Malaysia. Laporan ini ialah cerita dongeng yang paling mengarut yang belum pernah saya baca sebelum ini.

Jikalau DAP memperjuangkan sebuah negara Kristian, bagaimana dengan ahli-ahli parti tersebut yang bukan beragama Kristian, seperti saya seorang yang beragama Buddha dan YB Kota Alam Shah yang beragama Hindu?

Seterusnya, UMNO terus mengacau ganggu cawangan-cawanagn DAP yang dianggotai oleh orang Melayu. UMNO iri hati dengan pencapaian DAP yang mampu menarik sokongan daripada masyarakat Bumiputera, lalu mereka berjaya menarik keluar seorang pemimpin cawangan di Lembah Kinrara.

UMNO tidak tersangka bahawa keluar seorang pemimpin cawangan Melayu daripada DAP akan menarik lebih ramai orang Melayu yang masuk menyertai DAP di kampung yang sama dan kini cawangan ini beroperasi dengan normal tanpa sebarang gangguan.

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) semakin rancak

Pakatan Rakyat Selangor memulakan konsep pentadbiran kerajaan negeri dengan berlandaskan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mulai tahun 2008.

Keuntungan Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) telah mencecah RM24 juta pada tahun 2010. Secara keseluruhan, keuntungan keseluruhan yang diperolehi oleh kerajaan melalui aktiviti perlombongan pasir sudah sampai melebihi RM40 juta. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program "Jom Pergi Shopping Bersama ADUN". Harapan saya ialah pelaksanaan ini boleh diringkaskan dengan hanya memberi kupon secara langsung kepada mereka.

Rizab kerajaan negeri bertambah. Mengikut apa yang dibacakan tandi oleh YAP Menteri Besar, rizab kerajaan hanya berjumlah RM400 juta pada tahun 2008. Kini sudah melebihi RM1 billion. Kalau dikira juga wang yang dibelanjakan melalui pelbagai program MES yang dinilai kira-kira RM600 juta, maka peningkatan rizab kerajaan sejak 2008 sudah sampai ke paras RM1.2 bilion.

Bagi tempoh tiga bulan yang pertama pada tahun 2011, Selangor merekodkan nilai pelaburan asing tertinggi sebanyak RM150.1bilion, diikuti dengan Pulau Pinang, iaitu RM99.1bilion dan Johor RM76.6bilion. 59 pelaburan telah diluluskan di Selangor di mana 43 daripadanya ialah pelaburan baru dan 16 yang lain ialah pelaburan lama.

Saya turut mengucapakan syabas kepada kerajaan negeri kerana sekali lagi mendahului kerajaan pusat dalam pembinaan rumah mampu milik kepada golongan muda berumur 35 tahun dan ke bawah yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.

Rumah-rumah yang akan dijual di antara RM69,000 hingga RM100,000 akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat-syarikat pemaju swasta yang bersetuju untuk menyertai program ini. Sehingga kini kerajaan negeri telah mengenalpasti enam lokasi untuk membina skim rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Ini merupakan perkembangan yang cukup bermakna. Apabila Pakatan Rakyat sudah mampu mempelopori malahan mula membina rumah mampu milik di Selangor dengan harga yang lebih murah, kerajaan persekutuan baru mengorak langkah untuk membina rumah sebegini dengan harga yang jauh lebih mahal, iaitu RM220,000.

Saya berharap lebih banyak skim sebegini dibina di kawasan-kawasan bandar supaya golongan miskin bandar juga mempunyai peluang untuk menduduki rumah mampu milik yang diusahakan oleh kerajaan. Contohnya ialah projek "PJ Elevated City" yang sekarang ini masih dalam tahap perancangan konsep. Saya pasti jikalau rumah mampu milik boleh diserap sebagai sebahagian daripada "PJ Elevated City" ini, ianya pasti akan memanfaatkan orang muda dan golongan miskin yang masih tidak mempunyai rumah sendiri di sekitar Sungai Way dan Seri Setia.

Kita juga tidak lupa bahawa kerajaan negeri berjaya membangunkan semula projek perumahan Bukit Botak yang telah begitu lama terbengkalai. Kini projek ini akan disambung semula oleh PKNS dan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan 2012. Sebanyak 1422 buah rumah teres setingkat akan dibina dan ianya akan menelan belanja sebanyak RM2.16 bilion dimana RM790 juta ditanggung oleh PKNS sendiri. Berita baik ini ditambah lagi dengan peruntukan RM9.7 juta untuk membaiki lif-lif yang rosak di rumah pangsa kos rendah di bawah Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan.

Skim yang dilancarkan ini memang bertujuan murni untuk membantu rakyat miskin tetapi kerajaan juga perlu menerap nilai-nilai seperti berdikari di kalangan penduduk rumah pangsa kos rendah. Penduduk-penduduk rumah pangsa tidak harus terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah di tempat mereka. Oleh itu, adalah bijak bahawa kerajaan hanya membiayai 80% daripada perbelanjaan keseluruhannya dan selebihnya dibiayai oleh penduduk ini. Saya berharap sumbangan kerajaan akan berkurangan dari semasa ke semasa sehingga ke 50% dan selebihnya akan ditanggung oleh penduduk sendiri.

Kerajaan Persekutuan masih boros dalam perbelanjaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan wang rakyat sebanyak RM2.8 juta untuk lawatan-lawatannya ke Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom. Bermula tahun 2006 hingga 2010, kerajaan persekutuan membayar wang sejumlah RM4900 juta untuk membiayai bil air, bil elektrik, sewa dan bil penyelengaraan. Kalau perbelanjaan ini dipecah mengikut item, maka kerajaan persekutuan membayar sewa sebanyak RM3.3 juta kepada Perbadanan Pengurusan Putrajaya, kos penyelenggaraannya pula mencecah RM3.6 juta. Apa yang lebih dahsyat lagi, dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan menanggung bil air sebanyak RM200 juta dan bil elektrik sebanyak RM10.3 juta, iaitu bil air sebanyak RM33,000 sebulan dan RM 171,000 sebulan!

Kerajaan persekutuan juga RM50 juta diperuntukkan untuk menjalankan projek "Myemail". Projek ini diberi kepada sebuah syarikat yang bermasalah, iaitu Tricubes Berhad, sebuah syarikat GN3. Mengikut takrifan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), takrifan syarikat GN3 ialah "A company designated as an Affected Listed Company because its poor or adverse financial condition and level of operations fall into the criteria described in Bursa Malaysia's Guidance Note 3."

Petronas mencapai keuntungan sebanyak RM63 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, peningkatan sebanyak 38.5% berbanding tahun kewangan yang lalu. Dividen yang dibayar kepada kerajaan persekutuan ialah RM30 bilion. Subsidi petrol dan diesel diambil balik dan dikatakan kerajaan akan menjimatkan wang berbilion-bilion ringgit.

Kenaikan gaji guru yang diumumkan pada Mei yang lalu pula hanya memanfaatkan 5% daripada guru-guru yang terlibat. Manakala 400,000 guru yang lain langsung tidak menerima manfaat daripada kenaikan pangkat dan gaji guru-guru ini. Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pula meminta guru-guru "bersabar".

Kesemua ini menunjukkan bahawa slogan "Rakyat Diutamakan, Pencapaian Diutamakan" oleh Barisan Nasional hanya kata-kata kosong sahaja. "Satu Malaysia" kini sudah bertukar menjadi "Sapu Malaysia", iaitu "Sapu Kontrak, Sapu Tender, Sapu Projek, Sapu Malaysia."

Pemulangan kuasa kepada rakyat melalui pemilihan ketua kampung dan ahli majlis secara percubaan

Pemilihan ketua kampung secara percubaan yang akan dijalankan di tiga buah kampung baru iaitu Kampung Baru Jenjarum, Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Bagan Pulau Ketam, akan memberi lebaran dan nafas baru untuk menyuburkan demokrasi di Selangor. Ini mampu membuktikan kepada kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pemilihan di peringkat akar umbi boleh dijalankan.

Barisan Nasional (BN) yang selama ini buta demokrasi memang tidak akan memahami makna pemilihan percubaan ini kerana mereka sendiri memang tidak berhasrat untuk memulihkan sistem demokrasi tanahair yang semakin penat selepas ditadbir BN untuk 53 tahun yang lalu.

Malahan Ketua Pembangkang membuat tuduhan liar pada 10 Mei 2011 bahawa kerajaan memperuntukkan RM87.6 juta untuk menjalankan pemilihan ketua kampung kerana kerajaan tidak pernah meluluskan wang ini untuk tujuan pemilihan ketua kampung.

Sebanyak RM60,000 telah diperuntukkan untuk pemillihan secara percubaan ini yang akan dijalankan di ketiga-tiga kampung baru ini, iaitu RM20,000 untuk setiap kampung. Oleh kerana Selangor mempunyai 78 buah kampung baru dan 360 buah kampung tradisi, maka jumlah besar perbelanjaan pemilihan ketua kampung di seluruh 438 kampung ini ialah RM87.6 juta.

Saya percaya bahawa kerajaan Selangor hanya mampu menjalankan pemilihan kampung secara menyeluruh hanya apabila kerajaan mempunyai dana yang betul. Oleh itu tuduhan bahawa kerajaan Selangor membazirkan wang sebanyak RM87.6 juta untuk pemilihan ketua kampung adalah tidak benar dan bertujuan untuk memesongkan rakyat.

Pemilihan ahli majlis secara percubaan juga akan dijalankan untuk lapan zon Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang pada masa sekarang diketuai oleh ahli-ahli majlis yang berlatar belakang NGO. Saya berharap ianya pemilihan secara percubaan ini akan menunjukkan sekali lagi kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu menjalankan pilihan raya yang bersih dan adil walaupun di peringkat akar umbi sahaja.

Kerajaan negeri tidak boleh tunduk kepada Alam Flora Sendiri Berhad

Semakan kehakiman yang difailkan oleh Alam Flora Sendirian Berhad (AFSB) yang mencabar keputusan kerajaan negeri meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih kerja-kerja pembersihan ialah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan mengagalkan usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang lebih baik kepada pembayar cukai.

AFSB merupakan sebuah syarikat yang telah diberi konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan perbandaran oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini di negeri Selangor. Tujuannya adalah untuk mengambil alih tugas-tugas pengurusan sampah dan pembersihan perbandaran daripada PBT kepada sebuah syarikat swasta agar kualiti perkhidmatan dapat dipertingkatkan.

Malangnya, disebabkan tugas-tugas ini dipusatkan ke tangan sesebuah syairkat sahaja, iaitu AFSB dan bukan melalui tender terbuka, maka dalam keadaan kekurangan persaingan sihat, prestasi AFSB semakin merosot. Walaupun banyak aduan telah diterima oleh PBT terhadap AFSB ddan kontraktor-kontraktornya sejak 2008, AFSB seringkali memberi alasan bahawa banyak PBT di Selangor yang gagal menjejaskan bayarannya, sekaligus menjejaskan prestasi kewangan AFSB dan kontraktor-kontraktor yang dilantiknya.

Biarpun begitu, kualiti perkhidmatan AFSB di PBT-PBT yang menjelaskan bayaran kepada AFSB tepat waktu juga seringkali dipertikaikan. Ini berlaku kerana kerajaan negeri dan PBT tidak memainkan apa-apa peranan dalam pemilihan kontraktor-kontraktor AFSB. PBT-PBT selalunya hanya menjadi tukang bayar sahaja yang tidak memainkan sebarang peranan dalam perlantikan dan pemilihan kontraktor.

Ini menyebabkan ramai kontraktor yang tidak berdaya saing, khususnya mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan lama terus dilantik. Ada pula mereka yang dilantik ini memberi kontrak kepada orang lain di mana mereka akan mendapat komisyen daripada sub-kontraktor. Sudah tentu sub-kontraktor tidak mampu memberi perkhidmatan yang baik apbila keuntungan yang mereka sepatutnya raih dikurangkan disebabkan sistem tender yang tidak telus ini.

Kerajaan negeri telah memutuskan supaya kerja-kerja pembersihan diuruskan sendiri oleh PBT manakala AFSB masih kekal menguruskan kutipan sisa-sisa pepejal. Keputusan ini adalah berpatutan. Jika AFSB tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, mengapa ianya pula tidak diserah balik kepada PBT melalui tender terbuka?

Melalui cara ini, semua kontraktor yang berminat perlu mengemukakan permohonan mereka melalui tender terbuka dan keputusan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Tender dan Sebut Harga. Keputusan jawatankuasa ini perlu dibentangkan di mesyuarat penuh bulanan PBT. Semua ini dilakukan dengan cara terbuka dan orang ramai berhak mendapat maklumat lan jutan melalui Enakmen Kebebasan Maklumat.

Oleh itu, kerajaan negeri harus mencabar semakan kehakiman yang difailkan oleh AFSB dan pada masa yang sama mengarahkan semua PBT untuk segera mengambil alih kerja-kerja pembersihan dan mempelawa kontraktor-kontraktor yang berdaya saing untuk membida kerja-kerja ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) harus berusaha untuk menyelenggara jalan-jalan di sekitar Teluk Gong dan Pulau Indah

Teluk Gong dan Pulau Indah merupakan tumpuan para pelabur dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan Pelabuhan Barat. Banyak syarikat-syarikat pengangukutan dan logistik turut menubuhkan bengkel, depoh dan pejabat urusan mereka di sekitar Teluk Gong dan Pulau Indah.

Teluk Gong juga merupakan salah satu tumpuan peminat-peminat makanan laut dari seluruh Selangor di mana pada setiap hari minggu, restoran-restoran makanan laut di Teluk Gong pasti penuh dengan peminat-peminat makanan laut.

Oleh itu kerajaan harus memberi tumpuan khas kepada pembangunan infrastruktur di Teluk Gong dan Pulau Indah. Tempat-tempat ini pada dahulunya terdiri daripada perkampungan-perkampungan tradisi dan tanah-tanah pertanian. Kini Teluk Gong dan Pulau Indah telah bertukar wajah baru dengan pembangunan kilang-kilang pemprosesan dan pengeluaran.

Setiap hari ribuan kenderaan berat keluar masuk kawasan-kawasan ini dan oleh sebab itu, keadaan jalan-jalan utama di kawasan ini yang kebanyakkannya merupakan jalan-jalan di bawah pemantauan JKR, selalu rosak dan tidak diselenggara dengan betul.

Kerajaan juga harus berusaha untuk memutihkan kilang-kilang haram yang beroperasi di tanah-tanah pertanian di kawasan ini di mana kerajaan boleh meminta pemilik-pemilik kilang di kawasan ini membayar fi infrastruktur untuk menyelenggara jalan-jalan yang dirosakkan oleh kenderaan-kenderaan.

Sementara itu, kerajaan juga harus mendesak kerajaan persekutuan untuk menyelenggara mana-mana jalan persekutuan yang terletak di bawah penjagaan JKR Pusat. Kegagalan JKR Pusat untuk memantau dan menyelenggara jalan-jalan persekutuan ini telah menyebabkan keadaan jalan yang memang sudah teruk di kawasan ini bertambah lebih serious lagi.

Satu lagi cara yang boleh diambil oleh kerajaan ialah meluluskan satu peruntukan khas bagi menyelenggara jalan-jalan dan infrastruktur-infrastruktur yang lain di kawasan ini. Kerajaan selepas ini boleh memasukkan caj ini dalam premium atau cukai taksiran mana-mana pekilang yang berjaya diputihkan.

Cadangan ini dibuat semata-mata kerana kedudukan Teluk Gong dan Pulau Indah yang strategik. Kalau kerajaan menunggu semua kilang diputihkan dan membayar fi-fi penyelenggaraan yang sepatutnya dibayar, ianya akan mengambil masa yang sangat lama. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kilang-kilang di kawasan ini masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki kerana masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba, sekaligus melambatkan sebarang usaha untuk mempertingkatkan infrastruktur-infrastruktur di kawasan ini.

Teluk Gong dan Pulau Indah memainkan peranan dan fungsi yang sangat penting dalam menarik pelaburan asing dan domestik ke negeri Selangor. Untuk kepentingan ekonomi Selangor, adalah wajar kerajaan negeri memberi tumpuan khas kepada masalah-masalah infrastruktur di kawasan ini.

Saya juga menggesa supaya memantau penggunaan peruntukan Marris supaya kita tidak dituduh oleh kerajaan pusat bahawa kita menyalahgunakan wang ini seperti yang dituduh oleh Menteri Kerja Raya YB Shaziman Mansor.

Saya juga menggesa supaya kerajaan negeri memantau dengan betul-betul prestasi kewangan di majlis-majlis daerah di seluruh Selangor kerana kesuntukan peruntukan kewangan sudah menjadi satu masalah yang serious di PBT-PBT ini. Saya meminta kerajaan memberi peruntukan khusus dalam mana-mana perbekalan tambahan untuk pembangunan infrastruktur di PBT-PBT ini supaya masalah infrastruktur di tempat-tempat ini boleh diselesaikan secepat mungkin.

Oleh itu saya mengalu-alukan audit khas yang dijalankan oleh kerajaan negeri terhadap semua kontrak yang diberikan kepada kontraktor pembersihan di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). Ini perlu bagi mengenal pasti punca kelewatan serta melihat sama ada tuntutan pembayaran tersebut dibenarkan menurut garis panduan sedia ada.

Melalui semakan awal yang dilakukan, kerajaan negeri mendapati MDKS telah meluluskan perbelanjaan melebihi dari had yang dibenarkan. Ini kerana, kerajaan negeri hanya membenarkan MDKS membelanjakan sejumlah RM3.2 juta untuk kerja-kerja pembersihan seperti yang diputuskan pada 2007.

Sememangnya semakan-semakan seperti ini perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaik-baiknya.


* Lau Weng San, ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional