Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 8hb Julai 2011: DAP menyokong demonstrasi secara aman dan mengutuk demonstrasi ganas Ahli falsafah Yunani Plato berkata bahawa "kita boleh memaafkan kanak-kanak yang ketakutan ketika gelap; tragedi hidup yang sebenar ialah apabila manusia takutkan cahaya". Ia akan muncul di Malaysia, di mana lelaki yang memegang jawatan tinggi takut untuk berdepan dengan sekumpulan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk memperjuangkan hak- hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendapat dalam menangani permasalahan seperti kelemahan pilihan raya. Saya ingin mengulangi pendirian DAP dalam menyokong demonstrasi secara aman dan mengutuk demonstrasi ganas. Perbuatan mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu, dengan menghalang mereka daripada berhimpun dan tidak membenarkan mereka memasuki kawasan- kawasan tertentu di Kuala Lumpur pada Sabtu ini adalah tidak masuk akal dan mendedahkan ketakutan yang tidak rasional kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussein dan pihak polis. Kami bersetuju bahawa konflik dan demonstrasi ganas harus dielakkan tetapi dari peringkat awal, perhimpunan Bersih 2.0 adalah merupakan perhimpunan aman. Sememangnya tidak ada unsur keganasan, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan yang menggambarkan sebaliknya. Malah, perhimpunan Bersih 2.0 telah mendapat perkenan diraja apabila Yang di- Pertuan Agong sendiri menimbang tempat yang sesuai untuk orang ramai kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberikan persetujuan diraja untuk mengadakan perhimpuan di mana-mana stadium yang penganjur Bersih inginkan. Perdana Menteri sendiri telah menasihatkan Bersih untuk menggunakan stadium, tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini. Bukan sahaja mereka tidak membenarkan Bersih untuk menggunakan mana-mana stadium di Lembah Klang, malah, mereka kini telah mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 individu termasuk semua pemimpin Bersih. Ini tidak termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas termasuk 6 dari PSM di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960! Apa yang telah berlaku di negara kita apabila pemimpin kita dianggap seperti orang asing di tanah kita sendiri? Senarai individu yang dihalang bukan sahaja pemimpin Bersih, Datuk S.Ambiga tetapi juga Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ahli EXCO Negeri Selangor, Teresa KOK, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu dan pemimpin- pemimpin PR yang lain. Bagaimana begitu ramai pemimpin yang telah dipilih di negara ini ditahan kerana kononnya mempunyai elemen-elemen bahaya? Jangan kita pernah lupa bahawa bekas Presiden Majlis Peguam Negara Datuk Ambiga Sreenevasan telah dikurniakan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa oleh Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Michelle Obama. Pemimpin- pemimpin dunia mengangkatnya sebagai wanita yang berani tetapi di Malaysia, beliau dicerca sebegitu teruk dan dianggap sebagai musuh awam di mana pemimpin-pemimpin UMNO mendesak agar kerakyatan beliau dibatalkan. *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan
|