Ucapan penangguhan oleh Liew Chin Tong di Parlimen pada hari Rabu, 22hb Jun 2011: Hampir 30,000 pekerja asing tanpa izin disebat dari 2005 sehingga 2010 Dalam jawapan parlimen Menteri Dalam Negeri kepada saya hari ini tentang jumlah pekerja asing tanpa izin yang telah disabit hukuman sebatan, beliau telah menyatakan bahawa mulai tahun 2005 sehingga 2010, seramai 29, 759 iaitu hampir 30,000 pesalah warga asing telah disebat di bawah Akta Imigresen 1959/63. Perangkaan ini adalah memeranjatkan dan menunjukkan pengabaian isu hak asasi oleh Kerajaan Malaysia. Saya menentang polisi kerajaan ini atas sebab-sebab berikut. Pertama, hukuman sebatan merupakan satu hukuman yang kejam dan sepatutnya dihapuskan daripada cara-cara hukuman. Kerajaan harus jelas bahawa asas keadilan jenayah adalah bertujuan untuk membaiki insan-insan yang bersalah dan bukan memusnahkan modal insan pesalah. Cara-cara hukuman yang lebih bersifat pemulihan (rehabilitative) haruslah diambil oleh kerajaan supaya pesalah bukan saja akan dihukum, tetapi juga akan bertaubat. Kedua, warga asing yang berjelajah ke Malaysia tanpa izin lazimnya mangsa perdagangan orang atau golongan miskin di negara mereka. Padahal, sebab akal yang membolehkan kehadiran mereka di Malysia adalah mereka yang terlibat dalam perdagangan orang di negara asal dan di Malaysia. Adalah kejam jika kita menjatuhkan hukuman yang begitu berat terhadap golongan yang sudahpun menjadi mangsa perdagangan antarabangsa. Ketiga, saya difahamkan sekurang-kurangnya 60% yang disebat adalah warga negara Indonesia. Tidak sukar difahami sentimen anti-Malaysia kalau hukuman begitu kejam diteruskan. Kerajaan Malaysia harus menimbangkan implikasi hubungan antarabangsa berikutan situasi tersebut. * Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP & Ahli Parlimen Bukit Bendera
|