Kenyataan media oleh Dr. Hiew King Cheu di Kota Kinabalu pada hari Khamis, 30hb Jun 2011: Musa Aman perlu menjelaskan tentang lebihan ekspot kayu balak Ekspot kayu balak dari Sabah yang berlebihan dan berterusan pada dekad yang lalu telah menghabiskan bekalan kayu balak untuk industri kayu tempatan seperti kilang papan dan kilang perabot. Saya menerima banyak aduan daripada sektor industri kayu yang menyatakan kebimbangan mereka yang mendalam kerana tidak mendapat bekalan kayu balak yang diperlukan untuk meneruskan pengeluaran. Akibatnya, banyak kilang memproses kayu terpaksa gulung tikar dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan. Tiada masa depan dalam industri kayu di Sabah jika keadaan ini tidak diberi perhatian segera dan tindakan susulan oleh Kerajaan. Industri kayu pada suatu masa dahulu adalah sumber pendapatan terbesar Sabah dan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini. Itulah sebabnya mengapa kita pernah menjadi negeri terkaya yang pesat dengan aktiviti pembangunan. Sangat menyedihkan apabila kita melihat peringkat ekonomi sekarang jatuh dengan cepat dan kini kita telah menjadi negeri termiskin di Malaysia. Ramai pelabur dalam industri ini telah mengalami kerugian yang banyak. Mereka tidak berpuas hati dan menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil apa-apa tindakan untuk melindungi industri kayu. Keadaan malang ini menjadi tanggungjawab sepenuhnya kerajaan Negeri Sabah. Penderitaan industri pemprosessan kayu bukan baru sekarang berlaku, tetapi ia telahpun bermula sejak beberapa dekad yang lalu dimana pada masa itu masih terdapat banyak kayu balak yang boleh diperolehi dari hutan. Dasar-dasar perhutanan kita telah gagal sama sekali dan berjuta-juta wang ringgit yang dilaburkan oleh kerajaan untuk penghutanan semula nampaknya tidak mendatangkan sebarang hasil sehingga ke hari ini. Hari ini pun kita boleh nampak ribuan kayu balak memenuhi pelabuhan Sabah, sedia untuk diekspot keluar. Mengapa pula kayu balak ini diekspot dan tidak digunakan dalam industri kayu tempatan? Kerajaan negeri sebelum ini menggalakkan penubuhan industri kayu tempatan tetapi mengapa kerajaan sendiri tidak melindungi dan menyediakan bahan mentah untuk industri? Jika tiada jaminan bekalan bahan mentah, siapa yang mahu menubuhkan industri kayu? Hari ini, terdapat banyak industri berasaskan kayu telah ditubuhkan di negeri ini, tetapi tanpa bekalan kayu balak bolehkan mereka bertahan dan mengekalkan operasi mereka ? Banyak kilang industri kayu yang telah ditutup atau sedang mengalami kerugian besar. Ini semua kerana kesilapan kerajaan negeri yang membenarkan ekspot kayu balak yang berlebihan. Saya meminta kerajaan Sabah terutama Ketua Menteri Datuk Musa Aman untuk menjelaskan apakah dasar negara pada industri kayu sekarang ini? Adakah industri ini akan menghadapi kepupusan ataupun semua kilang kayu akan ditutup kerana tiada bekalan kayu balak? Musa Aman adalah orang yang tepat untuk menjelaskan dan menjawab pertanyaan rakyat yang menderita akibat tindakan kerajaan yang tidak melindungi dan menjaga kepentingan industri kayu tempatan. Mereka telah melabur berjuta-juta ringgit, dan kini tidak mendatangkan sebarang hasil. Kerajaan negeri harus menghentikan semua eksport kayu balak dari hutan kita. Lesen-lesen ekspot yang ada sekarang harus dibatalkan atau ditarik balik. Lebih baik menghentikan kegiatan pengekspotan kayu balak ini sekarang bagi menyelamatkan industri kayu kita daripada gelojoh untuk mendapatkan wang segera hasil daripada pengeksportan kayu balak. Kegiatan ini hanya menguntungkan beberapa pihak tertentu sahaja tetapi industri kayu tempatan adalah periuk nasi bagi beribu-ribu orang. Industri-industri ini pasti juga akan menyumbang pendapatan yang besar untuk Sabah. Nilai-nilai ini pastinya akan bertambah apabila kayu balak tersebut telah diproses menjadi produk akhir. Saya tidak faham mengapa kerajaan negeri tidak boleh memikirkan secara logik serta menggambarkan kepentingan aspek ini dalam ekonomi. Ini adalah sesuatu hal yang sangat penting dan kerajaan perlu bertindak segera sebelum terlambat. * Dr Hiew King Cheu, Ahli Parlimen Kawasan Kota Kinabalu
|