red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Ucapan oleh Lim Guan Eng di taklimat 'Greater Penang Transformation Programme' di Auditorium A, Tingkat 5, Komtar, George Town pada hari Khamis, 2hb Jun 2011: 

Pakej pembayaran upah minimum harus menjadi aspek penting dalam 'Greater Penang Masterplan' 

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan Y.B Senator Dato' Sri Idris Jala dan pasukan beliau dan merakamkan ucapan penghargaan kerana sudi hadir meluangkan masa menyampaikan gambaran tentang 'Greater Penang Masterplan' (GPM). Kami bersyukur kerana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat berganding bahu dalam membawa perubahan dan transformasi untuk warga Pulau Pinang. Formula GPM akan membawa inisiatif dan cita-cita untuk pertumbuhan ekonomi yang pesat dan berterusan dengan kesaksamaan sosial mengikut dasar-dasar berikut:

  • Pro-pertumbuhan

  • Pro-pekerjaan

  • Pro-bakat

  • Pro-kebajikan; dan

  • Pro-kemiskinan (pro-poor)

Bagi tujuan ini, GPM harus menyediakan pakej pembayaran upah yang minimum bagi Pulau Pinang. Manakala tahap pembayaran adalah tertakluk kepada perbincangan yang bakal diadakan bersama dengan pemegang amanah yang berkepentingan (stakeholders) untuk menetapkan tahap upah minimum di Pulau Pinang tidak lama lagi. GPM harus menggariskan dasar dan projek yang membolehkan Pulau Pinang untuk mencapai aspirasinya menjadi bandaraya antarabangsa dan bandaraya intelek. Bakat menjadi salah satu sumber utama. Begitu juga dalam mengatasi kekurangan infrastruktur dan jalanraya serta komunikasi fizikal termasuklah sistem digital jalur lebar.

Pulau Pinang sebagai bandaraya antarabangsa dan bandaraya intelek juga harus menjadi sebuah bandaraya yang sesuai didiami dengan mengatasi masalah 3C's iaitu Crime, Cleanliness and Traffic Congestion (Jenayah, Kebersihan, Kesesakan Lalulintas). Pulau Pinang telah mencapai banyak kemajuan, akan tetapi seandainya GPM mampu mengatasi 3C's, maka kejayaan akan terbantut.

Saya berharap agar usahasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan bersama stakeholders yang dipilih akan memberi nilai tambah serta meletakkan Pulau Pinang sebagai hab perniagaan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa. Ini termasuklah daya tarikan untuk bakat-bakat baru, pembinaan kreativiti dan inovasi dalam perkembangan sains dan teknoligi, mewujudkan bandaraya bertaraf antarabangsa dan sesuai didiami, meningkatkan mutu sistem pengangkutan dan infrastruktur, mempromosikan ruangan hijau, saling berhubungkait dan meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh.

Adalah jelas bahawa Pulau Pinag telah mencapai pelbagai kejayaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya, Pulau Pinang mendahului carta pelaburan negara dengan nilai pelaburan berjumlah RM12.26 bilion daripada keseluruhan jumlah pelaburan Malaysia RM42.7 bilion atau 36% nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI); negeri hijau pertama di Malaysia; kadar pengurangan indeks jenayah tertinggi (27%) dalam negara; penyumbang utama kepada pelancongan perubatan negara iaitu 60% daripada nilai pendapatan Malaysia, kesungguhan Pulau Pinang untuk melindungi, memulihara dan mempromosi Tapak Warisan Dunia UNESCO - George Town dan pelbagai lagi.

Pulau Pinang penuh dengan kegirangan dan diiktiraf sebagai negeri yang paling meriah di Malaysia. Hal ini hanya akan menjadi kenyataan apabila Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dan kita harus memanfaatkannya sama ada melalui penggunaan tenaga kerja, kemahiran dan keusahawanan warga Pulau Pinang dalam semua sektor bagi menjayakan GPM.

Kerajaan Negeri telah menzahirkan ketulusan untuk menjalinkan kerjasama yang efektif dengan Kerajaan Persekutuan dan sanggup mengetepikan 'Penang Industrial Blueprint' 2011-2015 demi GPM. Akhir sekali, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar dapat bekerjasama dengan PEMANDU dan stakeholders yang berkenaan untuk mewujudkan program yang memberi fokus kepada warga Pulau Pinang.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional