red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 3hb Jun 2011: 

Kegagalan MCA untuk memastikan 86 pelajar cemerlang SPM mendapat biasiswa pengajian luar negara membuktikan Chua Soi Lek gagal untuk memastikan sama ada MCA sepatutnya berada di dalam atau di luar Kabinet dan pentadbiran kerajaan - tidak ada bezanya!  

DAP tidak akan tunduk terhadap ancaman MCA yang mengguna pakai kaedah Perkasa dengan penggunaan sentimen perkauman, untuk menutup kegagalan mereka mengotakan janji untuk mendapatkan biasiswa pengajian luar negara kepada 86 pelajar cemerlang SPM. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong menyatakan bahawa anugerah tahun ini sebagai 'paling karut' di mana pelajar cemerlang SPM hanya diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian diploma walhal mereka yang mendapat gred yang lebih rendah mendapat tajaan biasiswa pengajian luar negara.

Sebagai reaksi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah berkeras bahawa kesemua pelajar cemerlang SPM perlu mendapat tajaan biasiswa pengajian luar negara. Walau bagaimanapun, hal ini telah ditolak oleh Kabinet, di mana pelajar-pelajar ini diberikan tajaan biasiswa pengajian di universiti tempatan dan menolak untuk menyenaraikan mereka yang layak menerima biasiswa pengajian luar negara berserta keputusannya.

Seharusnya mereka menjelaskan kegagalan dan ketidakadilan layanan BN terhadap pelajar-pelajar cemerlang ini, sebaliknya MCA telah memilih untuk menyerang DAP sedangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah menafikan pemberian biasiswa pengajian luar negara kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM berkenaan dan bukannya DAP. Jelas bahawa MCA tidak petah dalam berkata-kata, bersikap acuh tak acuh, tidak tegas dan tidak berkesan dalam membetulkan kesalahan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh BN terhadap pelajar cemerlang SPM, tetapi selalu siap siaga untuk menyalahkan DAP.

DAP tidak pernah memutar belitkan isu ini menjadi isu perkauman sebagaimana yang diperkatakan oleh Chua sebaliknya menganggap ini adalah kegagalan Kerajaan BN untuk menghargai bakat rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Bagaimana Chua melihat masalah ini sebagai perkauman apabila daripada 86 pelajar cemerlang tersebut, tiga adalah Bumiputera, seorang Bumiputera Sarawak, 71 orang Cina dan 11 orang India.

Adakah Chua menyatakan bahawa Datuk Wee Ka Siong salah apabila beliau menyatakan bahawa anugerah tahun ini adalah yang 'paling karut'? Wee telah membangkitkan isu ini setiap tahun tetapi masih tiada jalan penyelesaian yang wajar. Atau haruskah kita menunggu sehingga tiada lagi MCA untuk mendapatkan penyelesaian yang adil kepada pelajar-pelajar cemerlang. Kegagalan MCA untuk memastikan 86 pelajar cemerlang SPM mendapat biasiswa pengajian luar negara membuktikan bahawa Chua Soi Lek telah gagal untuk memberi jaminan sama ada MCA sepatutnya berada di dalam atau di luar Kabinet dan pentadbiran Kerajaan - tidak ada bezanya!

MCA mungkin takut untuk bersuara mengenai isu ini sama ada di dalam Parlimen mahupun di luar. Walau bagaimanapun, Ahli-ahli Parlimen DAP tidak akan gentar dengan kecaman MCA, sebaliknya akan memastikan hal ini dibawa ke persidangan Parlimen pada 13 Jun 2011.


*Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional