red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 14hb Jun 2011: 

Tidak ada beza sama ada MCA berada dalam kerajaan atau tidak kerana para pemimpin MCA tidak berani menyatakan pandangan ketika dalam Kabinet sebaliknya meluahkan ketidakpuasan hati kepada media di luar Kabinet 

DAP tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan bahawa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tidak menentang pemotongan subsidi disel ketika mesyuarat Majlis Ekonomi Negara (National Economic Council - NEC) yang memutuskan isu tersebut. Ismail juga menegur tindakan Chua yang memihak kepada nelayan dan pengusaha bot pukat tunda kelas C2 yang membuat demonstrasi atas bantahan kenaikan harga disel dari RM1.25 ke RM1.80, dan tidak memihak kepada Kerajaan adalah tidak adil kepada Kerajaan Barisan Nasional.

Adakah Chua berani untuk menafikan tuduhan Ismail Sabri dan menuntut Ismail Sabri menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan itu?

Ismail dengan tegas berkata bahawa Chua sepatutnya menyatakan keprihatinannya ketika mesyuarat NEC dan bukannya membenarkan barisan pemimpin partinya membuat aduan menerusi media pada saat ini. Dalam erti kata lain, Ismail menuduh Chua seperti talam dua muka dan bersandiwara terhadap penentangan pemotongan subsidi disel di luar Kabinet tetapi berlakon menyokong ketika berada di dalam kerajaan.

Jadi apa gunanya Chua mengugut untuk mengeluarkan parti MCA daripada kerajaan sekiranya tewas dalam pilihanraya akan datang, apabila sekarang pun dalam kerajaan MCA tidak berani untuk menentang demi kepentingan rakyat. Jadi tidak ada bezanya sama ada MCA berada dalam kerajaan mahupun tidak kerana para pemimpin MCA tidak berani menyatakan pandangan yang memihak kepada faedah rakyat ketika berada dalam Kabinet sebaliknya hanya berani untuk berlagak seperti wira menentang keras pemotongan subsidi disel dan salah guna kuasa ketika pembahagian biasiswa pengajian luar negara JPA kepada pelajar cemerlang menerusi media.

Semalam ketika di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menolak dakwaan MCA yang kononnya berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pegawai JPA dalam mengagihkan biasiswa pengajian luar negara kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM. Nazri menolak tuntutan MCA dengan mengatakan bahawa tidak ada bukti menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa atau kesilapan oleh JPA dan bukan polisi kerajaan untuk mendedahkan senarai penerima JPA.

Hal ini bertentangan dengan tuntutan MCA dan Chua sendiri yang mendesak agar semua pelajar cemerlang diberikan biasiswa pengajian luar negara dan senarai penuh didedahkan kepada umum. MCA harus menerangkan bukan sahaja kenapa menteri MCA di dalam Kabinet meluluskan perkara yang bertentangan dengan pendirian MCA tanpa protes, tetapi juga harus menerangkan kenapa MCA terus memegang jawatan kerajaan apabila mereka telah dihina secara terbuka bahawa MCA tiada peranan langsung di dalam kerajaan.

Atas dasar tersebut, hanya beberapa individu sahaja yang percaya bahawa MCA akan melaksanakan ugutannya untuk keluar daripada kerajaan sekiranya tewas dalam pilihanraya akan datang. Seperti para pemimpin SUPP yang menerima jawatan menteri, walaupun parti telah putuskan yang sebaliknya, kami yakin bahawa para pemimpin MCA akan bertindak pantas untuk mengambil kesempatan yang ada termasuk melalui 'pintu belakang' untuk mendapat sesuatu jawatan dalam perkhidmatan awam seperti yang mereka idamkan selama ini.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional