Surat oleh Lim Guan Eng kepada Menteri Kesihatan Dato Sri Liow Tiong Lai pada hari Isnin, 20hb Jun 2011: Surat kepada Menteri Kesihatan Dato Sri Liow Tiong Lai atas pembatalan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan oleh Faber Medi-Servi Sdn Bhd PSUKPP/21/ 20 Jun 2011 YB Dato Sri Liow Tiong Lai Yang Berhormat Dato' Sri, MEMBATALKAN KONTRAK PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN OLEH FABER MEDI-SERVE SDN BHD UNTUK SEMUA HOSPITAL DI PULAU PINANG DEMI MENJAMIN KESELAMATAN AWAM Dengan segala hormatnya saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Dato' Sri kepada perkara di atas. 2. Kerajaan Negeri ingin meluahkan rasa kesal terhadap Faber Medi-Serve Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan penyelenggaraan kepada 72 buah hospital kerajaan di seluruh Negara. 3. Kegagalan dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh syarikat tersebut dalam tempoh masa setahun ini di Hospital Besar Pulau Pinang adalah seperti berikut :
Kejadian sedih yang mencederakan orang awam memang memalukan dan mengancam keselamatan awam. 4. Berdasarkan kepada kecuaian dan kegagalan syarikat tersebut, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Pusat untuk menamatkan kontrak perkhidmatan yang telah diberikan kepada syarikat tersebut di Pulau Pinang dan melantik menerusi sistem tender terbuka seorang kontraktor yang lebih berwibawa dalam tugasan tersebut demi menjamin kesejahteraan rakyatnya. 5. Kerajaan Negeri amat prihatin akan keselamatan warga Pulau Pinang yang mengunjungi Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya Ketua Polis Negeri Pulau Pinang pun boleh tercedera atas kecuaian pihak kontraktor yang tidak menutup "manhole" dalam lorong koridor orang awam, kualiti perkhidmatan syarikat tersebut memang buruk sekali sehingga mengancam keselamatan awam. 6. Janganlah pihak Kementerian bertindak hanya apabila berlaku kematian. Oleh yang demikian, diharap pihak Yang Berhormat Dato' Sri dapat mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri agar kontrak yang diberikan kepada syarikat tersebut dapat dibatalkan segera. 7. Pertimbangan Yang Berhormat Dato' Sri amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian. "CEKAP, AKAUNTABILITI DAN TELUS" Yang ikhlas, LIM GUAN ENG *Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
|