red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://limguaneng.com 

 

 

Kenyataan media oleh Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada hari Rabu, 22hb Jun 2011: 

Keluarga Chua tidak seharusnya berbohong bahawa Pulau Pinang di bawah PR mencatatkan defisit sedangkan PR mencatatkan rekod lebihan bajet atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir berasaskan cekap, akauntabel dan telus  

Keluarga Chua di dalam MCA yang terdiri daripada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan anaknya yang merupakan Timbalan Menteri, Chua Tee Yong tidak seharusnya terus berbohong bahawa Pulau Pinang yang berada di bawah Pakatan Rakyat telah mengalami defisit sedangkan PR mempunyai rekod lebihan bajet sejak tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT. Chua Tee Yong turut mengikut tuduhan ayahnya bahawa Pulau Pinang kini mengalami bajet defisit sebanyak RM108 juta yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

Ini adalah tidak benar kerana PR Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT. Perkara ini turut disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang mana Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai pengurusan kewangan terbaik untuk dua tahun berturut-turut. Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri atau negara yang telah dipuji oleh 'Tranparency International' di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.

Pulau Pinang mencatat lebihan bajet yang paling tinggi dalam sejarah dengan RM88 juta pada tahun 2008, RM77 juta pada tahun 2009 dan RM33 juta pada tahun 2010. Anggaran lebihan bajet pada tahun 2009 sepatutnya bernilai RM92 juta sekiranya Kerajaan Negeri tidak perlu membayar RM15 juta atas perintah Mahkamah Tinggi ekoran skandal tanah Tang Hak Ju yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Malangnya akibat skandal tanah Kerajaan Negeri BN sebelum ini, Kerajaan Negeri PR kini mungkin terpaksa membayar RM40 juta kepada Tang Hak Ju. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat juga masih tidak memperoleh kembali hutang RM30 juta daripada skandal tanah Pulau Jerejak.

Ini adalah pengurusan kewangan yang sihat oleh Kerajaan Negeri sehingga membolehkan PR Pulau Pinang mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, sekolah Mubaligh, sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Sikh. Adakah RM12 juta juga diberikan oleh Kerajaan BN sebelum ini?

Prestasi kewangan cemerlang PR Pulau Pinang tidak hanya terhad kepada pentadbiran negeri sahaja tetapi juga telah memulih dan menyelamatkan MPSP daripada muflis. Dari tahun 2000 hingga 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini. Secara praktikalnya, MPSP adalah muflis semasa PR mengambil alih negeri ini.

Walau bagaimanapun, hanya dalam masa satu tahun, Kerajaan CAT PR berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis dengan mencatatkan sedikit lebihan pada tahun 2008 dan seterusnya untuk tiga tahun berturut-turut seperti berikut :-

2008 - RM 3 juta
2009 - RM 15 juta
2010 - RM 23 juta

Tidak diragukan bahawa Pulau Pinang di bawah PR menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada BN. Keyakinan tersebut diiringi dengan kejayaan Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan yang tertinggi dalam sejarah dan menduduki tempat pertama di Malaysia sebanyak RM12.2 bilion. Pulau Pinang juga mengalami penurunan indeks jenayah yang tertinggi di Malaysia dengan penurunan sebanyak 27 peratus dan menduduki tempat pertama dalam sektor pelancongan kesihatan dan pertumbuhan penumpang udara sebanyak 25 peratus di negara ini.

Keluarga Chua seharusnya mencari kebenaran melalui fakta dan bukannya berbohong dengan memutar-belitkan fakta semata-mata untuk meraih populariti dan menyerang PR. PR tidak sempurna dan bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan tetapi PR berbeza dengan BN kerana PR tidak memanjakan diri dengan rasuah dan kroni.


*Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional