red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://teresakok.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Teresa Kok Suh Sim di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 25hb Mac 2011:

Kenyataan Joseph Salang bahawa penganut Kristian di Sarawak "tidak harus memperbodohkan diri mereka sendiri" mempamerkan kesombongan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sudah mabuk kuasa

Kenyataan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum yang mengatakan bahawa penganut Kristian tidak harus "memperbodohkan diri mereka sendiri (should not make fools of themselves)" dalam isu penahanan buku-buku al-Kitab amat mengecewakan tetapi langsung tidak menghairankan. Beliau cuma mempamerkan kesombongan yang biasa dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sudah terlampau biasa berkuasa selama 53 tahun sehinggakan mereka langsung tidak peka dan tidak peduli akan kesengsaraan rakyat biasa.

Menurut The Malaysian Insider, Joseph Salang telah mengeluarkan kenyataan tersebut mengenai penyertaan penganut Kristian di Sarawak di dalam "prayer rally" anjuran Sarawak Ministers Fellowship untuk berdoa agar al-Kitab yang ditahan dilepaskan serta-merta. "Prayer rally" yang pertama telah diadakan di Christian Accumenical Worship Centre di Kuching pada 23 Mac 2011 dan berjaya menarik hampir 3,000 penganut Christians. Ini menunjukkan betapa pentingnya isu ini bagi mereka.

Kenyataan Joseph Salang menunjukkan bahawa beliau langsung tidak hormat terhadap hak warga Malaysia untuk mengamalkan agama pilihan sendiri seperti yang termaktub di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga tidak simpati terhadap aduan penganut-penganut Kristian di Sarawak. Beliau harus sedar bahawa al-Kitab mereka telah ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri selama lebih dua tahun, dirosakkan dengan cop "For Christians" dan kemudiannya cop "For Christianity", dan sehingga beberapa hari yang lalu, dikenakan cop nombor bersiri.

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein pula menghina penganut Kristian apabila beliau berkata, "Kamu (penganut agama Kristian) boleh juga mengadu bahawa al-Kitab sudah jadi busuk kerana disimpan begitu lama," ketika sidang akhbarnya pada 17 Mac 2011.

Kenyataan Salang, menunjukkan bahawa beliau kurang berbudaya walaupun beliau menyandang jawatan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan. Sekiranya beliau berbudaya, beliau akan dapat mengamati bahawa buku al-Kitab merupakan buku suci bagi penganut agama Kristian. Mereka yang berbudaya hormat terhadap apa-apa buku-buku suci, tanpa mengira kepercayaan diri sendiri.

Oleh itu, tindakan Kerajaan menghalang akses terhadap al-Kitab dan merosakkan al-Kitab membuktikan sekali lagi bahawa 1Malaysia merupakan suatu pembohongan. Sebarang alasan yang diberikan oleh Kerajaan tidak boleh diterima sama sekali. Jadi, kenyataan Joseph Salang memperkecilkan aduan penganut Kristian bagaikan menabur garam di luka.

Saya menggesa Joseph Salang agar bangun dari mabuk kuasa BN, akui bagaimana tindakan BN salah terhadap penganut agama Kristian di seluruh negara, dan minta maaf atas kenyataannya.

Saya juga menggesa kesemua parti komponen BN di Sarawak - Parti Rakyat Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Sarawak United People's Party, Sarawak Progressive Democratic Party - bangun dari koma mereka, kutuk sekeras-kerasnya penahanan dan perosakan al-Kitab, seru agar al-Kitab dilepaskan serta-merta tanpa sebarang syarat, dan seru agar segala sekatan terhadap pengimpotan buku al-Kitab pada masa depan dimansuhkan, seperti bagaimana pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah lakukan.

Jika Joseph Salang gagal berbuat demikian, rakyat Sarawak akan dapat lihat dengan jelas bahawa parti-parti komponen Sarawak sekali lagi sudah akur terhadap pemimpin-pemimpin BN di Putrajaya dan telah menjual hak dan maruah rakyat Sarawak demi kepentingan politik peribadi mereka.


* Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, EXCO Kanan Negeri Selangor & Ahli Parlimen Seputeh

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional