red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://wengsan.blogspot.com/ 

 

 

Kenyataan media oleh Lau Weng San di Shah Alam pada hari Khamis, 31hb Mac 2011:

Pengurusan tertinggi PKNS perlu memberi penjelasan

Pengurusan tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) perlu memberi penjelasan sepenuhnya terhadap beberapa tuduhan yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor beberapa hari ini kepada Kerajaan Selangor.

Sementara itu, Kerajaan Selangor perlu melaporkan perkara yang sebenarnya kepada Dewan termasuk laporan audit yang telah dijalankan terhadap PKNS. Tuduhan-tuduhan ini termasuk tuduhan bahawa projek-projek besar PKNS sejumlah RM14bilion diberi kepada PKNS Holding dan bukan dilaksanakan oleh PKNS sendiri. Dengan ini, dikatakan projek-projek ini diserah kepada PKNS Holding supaya pemberian kontrak tidak perlu dilaporkan kepada Jawatankuasa Tender PKNS, iaitu ibu syarikat sendiri.

Saya juga membangkitkan isu pemberian kontrak telemarketing PKNS sejumlah RM2.6 juta untuk tiga tahun kepada tiga buah syarikat yang dikatakan berkaitan antara satu sama lain.

Kontrak ini dikatakan berjumlah RM1.3 juta untuk tempoh satu tahun sahaja tetapi ianya sengaja dipecahkan kepada tiga kontrak kecil dengan nilai kontrak yang diberi kepada setiap satu syarikat ini tidak melebihi RM500,000 kerana sebarang kontrak yang melebihi RM500,000 perlu diserah kepada Jawatankuasa Tender. Oleh kerana saiz kontrak bernilai kurang daripada RM500,000, maka tempoh kontrak dilanjutkan daripada setahun ke dua tahun supaya nilai kontrak hakiki menjadi dua kali ganda daripada nilai awal.

Sementara itu, didapati daripada laman web Majlis Perbandaraya Subang Jaya (MPSJ) bahawa salah sebuah syarikat kawalan makhluk perosak di bawah panel MPSJ ialah Konsortium SJ Pest Control di mana nama salah seorang pegawai kanan PKNS merupakan individu yang bertanggungjawab bagi konsortium ini.

Persoalan tertimbul bagaimana seorang yang mempunyai kepentingan komersial di luar PKNS menyandang jawatan tinggi dalam PKNS?

Saya berharap pengurusan PKNS dan kerajaan Selangor dapat menjelaskan pertanyaan-pertanyaan ini dengan sejelas-jelasnya agar ianya tidak dijadikan isu yang berpanjangan. Apa yang penting, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang telah melakukan penyelewengan.

Tuduhan-tuduhan yang dibangkitkan oleh ADUN Sungai Burung, Dato' Samsudin Lias bahawa PKNS memberi upah yang terlampau tinggi kepada pekerja-pekerja kontrak merupakan tuduhan-tuduhan lama yang pernah dibangkitkan oleh ADUN PAS Hulu Kelang, YB Saari Sungib.

Lebih-lebih lagi, perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Sungai Burung ialah perkara-perkara yang dikitar semula di mana Menteri Besar telah mengarahkan Jabatan Audit Selangor untuk menjalankan audit terhadap PKNS untuk mengesahkan tuduhan-tuduhan yang dibawa. Maka tanggapan bahawa isu-isu ini dibongkarkan oleh ADUN Barisan Nasional adalah tanggapan silap yang tidak mencerminkan keadaan sebenar.

Malahan tindakan BN mengulangi perkara-perkara ini mempunyai motif politik. Walaupun saya bersama ADUN yang berkenaan dalam meminta kerajaan memberi penjelasan, tetapi saya kesal kerana ADUN Sungai Burung tidak menggunakan peluang yang ada pada beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam untuk bukan sahaja mempersoal perkara-perkara ini, malah mencegah dan mengelakkan perkara-perkara ini daripada berlaku. Mengapa beliau melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PAC sedangkan beliau akan berada pada kedudukan yang paling baik untuk mencegah perkara ini?

Jikalau BN benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan urus tadbir korporat baik di dalam PKNS, mengapakah mereka membantah dasar keupayaan, beramanah dan ketelusan (CAT) yang diamalkan oleh kerajaan Selangor apabila Datin Paduka Low Siew Moi dilantik sebagai pemangku pengurus besar PKNS semata-mata Datin Paduka Low Siew Moi bukan seorang bumiputera? Mengapa sekarang pula ADUN-ADUN BN begitu prihatin dengan prinsip urus tadbir korporat baik sedangkan merekalah yang membantah dasar CAT kerajaan Selangor pada masa dahulu?

Maka, saya menyeru ADUN-ADUN BN supaya betul-betul ikhlas dalam tindakan mereka dan bukan menjadi pengikut malahan pengitar-semula isu-isu yang telah dibangkitkan oleh ADUN Backbenchers PR semata-mata untuk kepentingan politik mereka.


* Lau Weng San, Setiausaha Organisasi DAP Negeri Selangor & ADUN Kampung Tunku

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional